Peringatan untuk semua, akan perihal dan keadaan manusia di akhir zaman yang penuh dengan cabaran dan ujian bagi orang-orang yang ingin berpegang dengan agama. Pada waktu itu, umat Islam perlulah menjaga agama mereka dan dalam masa yang sama perlu meninggalkan nikmat dunia yang sementara ini.

Tambahan pula, persekitaran dan suasana pada waktu itu tidak membantu seseorang itu untuk menunaikan segala kewajipan dan tuntutan agama, bahkan apa yang ada disekelilingnya lebih mendorong untuk melakukan maksiat dan perkara-perkara yang boleh meruntuhkan keimanan seseorang itu.

Disebabkan itu, Nabi SAW mengumpamakan orang yang hidup di zaman itu seperti seorang yang memegang bara api dalam melaksanakan tuntutan agama.

1. Rasulullah SAW pernah berpesan kepada para sahabat, bahawa akan tiba satu masa nanti, orang yang berpegang teguh dengan agama Islam ini berada dalam keadaan yang sukar sehingga mereka disifatkan sebagai menggenggam bara api. Sabda Rasulullah:

يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيهِمْ عَلَى دِينِهِ كَالْقَابِضِ عَلَى الْجَمْرِ

“Akan datang satu zaman, mereka yang bersabar (dalam berpegang kepada Agama) adalah seumpama mereka yang menggenggam bara api.” (HR al-Tirmizi)

2. Bahkan di dalam hadith yang lain, Rasulullah menjelaskan bahawa Islam akan dilihat asing, mereka yang berpegang teguh pada ajaran Islam semakin sedikit dan dilihat aneh. Sabda Rasulullah:

بَدَأَ الإِسْلاَمُ غَرِيباً، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيباً، فَطُوبى لِلْغُرَبَاءِ

“Islam bermula sebagai asing (sesuatu yang dianggap asing dan ganjil). Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil” (HR Muslim)

3. Ketika menghuraikan hadith ini, al-Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa, mereka yang benar-benar berpegang kepada ajaran Islam akan dilihat asing dan semakin sedikit seperti permulaannnya dahulu. Bahkan mereka dianggap aneh dan pelik, tidak selari dengan perkembangan semasa, malah dilihat kolot atau ekstremis.

4. Para sahabat bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang dimaksudkan dengan asing tersebut? Lalu Rasulullah menjawab:

الذين يصلحون حين فساد الناس

(Yang dilihat asing tersebut adalah) mereka yang cuba melakukan Islah (pembaikan) ketika mana rosaknya manusia. (HR Tabrani)

5. Hari ini kerosakan dalam agama banyak yang berlaku. Sebahagian muslim melihat tidak mengapa dengan ‘dosa peribadi’, mengambil ringan isu LGBT, merasakan tidak mengapa dengan arak, bahkan menolak hukuman murtad yang dianggap keras atau mundur.

6. Manakala mereka yang bersungguh berpegang dengan sunnah dan mempertahankan Islam untuk memperbaiki masyarakat pula yang dianggap pelik, kolot, tidak progresif bahkan bercanggah dengan kemajuan.

7. Begitulah sunnah dalam memperjuangkan kehidupan beragama, berpegang dengan ajaran Islam. Semoga Allah menyatukan hati-hati umat Islam dalam berhadapan dengan golongan liberal yang merosakkan agama.

Sedarlah zaman yang sedang kita lalui saat ini adalah zaman fitnah. Untuk itu, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mempersiapkan diri kita agar kita tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan tahap keimanan kita.

Akhirnya, Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang istimewa kepada orang-orang yang sabar

Semoga Allah membimbing kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge