Seramai empat juta pengguna domestik akan menikmati faedah di bawah Bantuan Prihatin Elektrik tambahan. Seramai empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik sebulan kurang RM77 atau penggunaan bawah 300kWj, akan menikmati bekalan elektrik percuma selama tiga bulan di bawah Bantuan Prihatin Elektrik tambahan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pengguna yang terlibat akan mendapat bekalan elektrik percuma bagi bulan April, Mei dan Jun yang akan dikreditkan dalam bil bulan Julai.

Pengguna domestik yang menggunakan elektrik melebihi 300kWj akan menerima potongan bil elektrik sebanyak RM231 iaitu RM77 sebulan bagi April, Mei dan Jun. Bantuan ini merupakan tambahan kepada diskaun bil elektrik di bawah Bantuan Prihatin Elektrik yang telah dilaksanakan sejak 1 April lepas.

Baca juga : Bil Mahal? Ini Cara Kira Penggunaan Elektrik di Rumah

Sekiranya pengguna dengan penggunaan sebulan kurang 300kWj telah membuat bayaran bil bagi April, Mei dan Jun, bayaran itu akan dikreditkan semula ke dalam bil bulan Julai.

Bagi pengguna dengan penggunaan elektrik 300kWj ke atas yang telah menjelaskan bil mereka, akan menerima potongan bil sehingga RM231 untuk tempoh tiga bulan itu dalam bil bulan Julai nanti. Kajian yang dibuat oleh ST mendapati sebahagian besar pengguna elektrik yang terkesan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah pengguna dalam blok tarif 301-600kWj dengan kadar tarif 51.6 sen/kWj.

Disebabkan penggunaan elektrik yang tinggi semasa PKP, kumpulan ini telah terkeluar daripada blok tarif yang sebelumnya dan memasuki blok tarif yang seterusnya iaitu dengan kadar 54.60 sen/kWj yang menyebabkan bil elektrik melonjak naik sekali gus menyaksikan pengurangan diskaun daripada 15 peratus kepada hanya dua peratus.

Bil Elektrik Tinggi

Bagi membantu pengguna yang termasuk dalam kategori itu, kerajaan telah memperkenalkan diskaun tambahan kepada pengguna elektrik dalam blok tarif 601-900 kWj dengan bil elektrik antara RM232.35 hingga RM395.60. Diskaun tambahan lapan peratus menjadikan 10 peratus sebulan bagi bil elektrik bulan April hingga September, berbanding hanya dua peratus yang dinikmati sejak April lepas.

Jumlah pengguna yang terlibat adalah seramai 916,000 orang atau 12 peratus daripada keseluruhan pengguna domestik. Kos keseluruhan Bantuan Prihatin Elektrik tambahan ini adalah sebanyak RM942 juta menjadikan jumlah keseluruhan diskaun yang diberikan kepada pengguna bagi tempoh 1 April hingga 30 Sept depan sebanyak RM2.2 bilion.

Bantuan elektrik percuma

Dana Bantuan Prihatin Elektrik ini dibiayai oleh kerajaan menerusi Kumpulan Wang Industri Elektrik, Kementerian Kewangan dan TNB. Kerajaan berharap agar penjimatan melalui Bantuan Prihatin Elektrik tambahan ini akan dapat membantu meringankan beban rakyat dari segi perbelanjaan isi rumah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge