Undi Pilihanraya

Kesemua 19 pusat pengundian melibatkan 68 saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis ditutup tepat pukul 5.00 petang setelah dibuka pada jam 7.30 pagi tadi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi setakat jam 4.00 petang sahaja ialah 76.14 peratus yang merupakan sasaran SPR sehingga tamat proses pengundian hari ini.

PRK ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin.

Calon PRK Kimanis 2020

Kesemua peti undi daripada 19 saluran dibawa ke pusat penjumlahan undi di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di sini dan keputusan dijangka diumumkan selewatnya pada pukul 10 malam.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) – Bongawan dan Membakut – dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir yang berada luar negara.

Pemilih terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan DUN Membakut 13,391 pemilih.

Pilihan Raya Kecil Kimanis
gambar sumber : MKini

Kemenangan Anifah Aman terdahulu dibatalkan

BN disokong oleh PAS dan parti pembangkang tempatan manakala Warisan disokong oleh Pakatan Harapan. Kempen PRK ini bermula pada 4 Jan lalu dan berlangsung selama dua minggu.

PRK ini diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Anifah Aman di Kimanis pada pilihan raya umum 2018 selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mematuhi prosedur pilihan raya yang sepatutnya.

Dalam pilihan raya umum lepas, Anifah yang mewakili BN menang tipis dengan 156 undi majoriti.

Anifah meraih 11,942 undi, sementara Karim yang turut bertanding ketika itu, meraih 11,786 undi. Calon ketiga pada saingan itu, Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah mendapat 1,300 undi.

PRK Kimanis SPR
PRK Kimanis SPR undi

Keputusan penuh PRK Kimanis 2020

Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang – 10,677 undi
Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin – 12,706 undi

Undi ditolak – 320 undi

Datuk Mohamad Alamin (BN) menang di PRK Kimanis dengan majoriti 2,029 undi.

* BN menang di Kimanis – keputusan tak rasmi. Update keseluruhan akan dimaklumkan

Ini adalah pilihan raya kecil ke-10 sejak pilihan raya umum 2018, dan yang kedua untuk Sabah. Pilihan raya kecil pertama di Sabah ialah PRK Sandakan yang dimenangi DAP pada 11 Mei tahun lepas.

Sehingga kini, Pakatan Harapan telah memenangi lima PRK (Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong, Port Dickson, Sandakan) manakala BN memenangi empat PRK (Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai). Warisan yang merupakan sekutu Pakatan Harapan, mewakili gabungan pemerintah dalam PRK Kimanis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge