Air Selangor

Sebuah kilang ditutup dan disita selepas dikesan menjadi punca pencemaran di Sungai Selangor hingga menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak semalam.

Pencemaran sumber air mentah Sungai Selangor yang berpunca daripada kilang terbabit telah menyebabkan hentitugas operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter berkata usaha menghilangkan kesan pencemaran sedang giat dijalankan.

Kilang punca gangguan air

“Usaha menghilangkan kesan pencemaran dalam sumber air sedang giat dilaksanakan sejak semalam tanpa henti.

“Ini bagi memastikan air yang bersih dan selamat,” katanya.

Jelasnya antara usaha yang sedang dibuat ketika ini adalah meletakkan serbuk arang untuk mengurangkan kesan bau pencemaran, pengepaman air dari kolam Bestari Jaya, serta pelepasan air Empangan Sungai Tinggi bagi tujuan pembersihan serta pencairan bahan pencemaran.

Menurut kenyataan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) semalam, insiden pencemaran berpunca daripada premis perindustrian di kawasan Sungai Gong yang melakukan pelepasan berbau seakan pelarut ke dalam sungai.

gangguan air selangor

Sungai Gong menurut Air Selangor, merupakan anak sungai kepada Sungai Sembah yang merupakan anak sungai utama Sungai Selangor.

Ganguan bekalan air sejak semalam melibatkan 1,292 kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Setakat jam 8 pagi tadi, operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang masih belum beroperasi. — AlHijrah Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge