Lambang negara Malaysia ataupun lebih dikenali sebagai Jata Negara mempunyai maksud, ciri, falsafah serta nilai yang tersendiri. Kebanyakkan negara yang wujud di dunia ini mempunyai lambang mereka yang tersendiri. Sebagai contoh, Indonesia meletakkan garuda sebagai lambang negaranya manakala Singapura pula memilih Singa sebagai lambangnya. Persamaan jata negara Malaysia pula adalah menyamai karakteristik Heraldic Eropah.

Setiap negara akan mewujudkan lambang atau jata negara mereka yang tersendiri dengan menggabungkan ciri-ciri yang ada di dalam negara mereka. Negara tersebut akan menyatukan semua ciri ke dalam satu bentuk lambang yang memberikan identiti kepada negara tersebut. Sesiapa sahaja yang melihat lambang mana mana negara pasti akan mendapat first impression tentang negara tersebut.

Isu yang sedang panas melanda di media sosial baru-baru ini merupakan sebuah isu yang berkaitan dengan Jata Negara Malaysia. Perkara ini susulan daripada tularnya sebuah gambar yang menyerupai Jata Negara Malaysia. Kulit buku itu memaparkan Jata Negara kita diparodikan dan diubah menjadi sebuah bentuk yang boleh dikatakan hina dan jelek.

Kronologi dan Sejarah Jata Negara Malaysia

Jika anda ingin tahu, Jata Negara Malaysia mengalami beberapa kali perubahan Perubahan ini berlaku mengikut keadaan pada waktu itu serta faktor yang berkaitan dengan identiti negara. Ia berubah supaya kekal relevan dan mengikut ciri semasa negara kita ini

Versi asal Jata Negara digunakan sejak tahun 1895. Pada ketika ini, Jata Negara meletakkan moto “Diperlihara Allah” yang ditulis dalam Jawi. Jata Negara ini digunakan ketika era Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang mana hanya melibatkan 4 buah negeri sahaja iaitu Pahang, Perak, Selangor and Negeri Sembilan.

Setelah kerajaan Persekutuan Tanah Melayu terbentuk pada tahun 1948, Jata Negara diubah buat kali pertama. Ia melibatkan beberapa penambahan logo yang mewakili negeri negeri yang bergabung dalam kerajaan persekutuan. Simbol mahkota yang dahulunya diguna pakai juga turut diubah kepada simbol bulan dan bintang kerana ia lebih sinonim dan mesra dengan negara kita

Perisai yang pada mulanya hanya mempunyai 4 warna sahaja yang mewakili Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah ditambah dengan 5 keris yang melambangkan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Lambang untuk negeri Pulau Pinang yang berbentuk Princess of Wales feathers serta negeri Melaka yang berbentuk A Famosa turut ditambah di dalam perisai tersebut. Moto “Dipelihara Allah” telah ditukarkan kepada “Bersekutu Bertambah Mutu” yang bertulisan Jawi serta “Unity is Strength” dalam Bahasa Inggeris.

Pada tahun 1963, sebuah kerajaan yang diberi nama sebagai persekutuan Malaysia telah wujud selepas penyertaan Singapura, Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Tanah Melayu. Dengan penggabungan ini, sebuah Jata Negara yang baharu telaah dibentuk mengikut keadaan identiti semasa negara.

Lambang Singapura, Sabah dan Sarawak telah ditambah ke dalam perisai tersebut. Lambang negeri Melaka dan negeri Pulau Pinang pula diubah kepada Pokok Pinang dan Pokok Melaka. Namun, jata ini tidak bertahan lama atas sebab keluarnya Singapura dari Malaysia.

Selepas Singapura meninggalkan Kerajaan Persekutuan Malaysia, Jata Negara sekali lagi mengalami perubahan dengan pengguguran lambang Singapura. Lambang Singapura itu telah digantikan dengan lambang Bunga Raya yang merupakan Bunga Kebangsaan Malaysia.

Pengubahsuaian kali terakhir yang kekal sehingga ke hari ini telah dilakukan ke atas Jata negara. Pada kali ini, ia tertumpu kepada mengubah rekaan dua ekor harimau yang lebih realistik. Terdapat juga sedikit perubahan pada lambang negeri Sarawak, Pulau Pinang and Sabah. Moto yang sama masih digunapakai iaitu “Bersekutu Bertambah Mutu”.

Falsafah Jata Negara Malaysia

Setiap lambang dan logo yang terdapat di dalam Jata Negara Melaysia mempunyai falsafah serta maksud yang tersendiri. Jika kita lihat Bintang Pecah 14 yang Terdapat pada bahagian atas perisai itu menandakan 13 buah negeri dan kerajaan Persekutuan yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia dan Kerajaan Persekutuan. Bintang dan Anak Bulan yang amat sinonim dengan Malaysia pula membawa maksud agama Islam diangkat sebahagai agama rasmi di Malaysia

Dua ekor Harimau yang diletakkan di kiri dan kanan perisai itu melambangkan simbol keberanian, kegagahan dan kekuatan. Di dalam perisai itu pula, terdapat ke semua lambang negeri-negeri yang terdapat di dalam Malaysia. Bunga Raya turut diletakkan bagi mengangkat dan menunjukkan bahawa ia merupakan Bunga Kebangsaan Malaysia.

Moto ataupun Cogan “Bersekutu Bertambah Mutu” ditulis di dalam Jawi dan rumi di dalam awan-awan. Warna kuning yang digunakan pada awan-awan melambangkan warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja Raja.

Kenapa penting untuk kita hormati Jata Negara

Jata Negara adalah lambang rasmi dan identiti negara kita. Apabila ada pihak yang cuba menukar dan menjadikannya bahan ketawa maka ia merupakan sebuah penghinaan kepada negara yang merdeka ini.

Jata Negara ini juga menjadi lambang perpaduan negara kerana ia menggambarkan ciri-ciri yang ada di Malaysia. Jata ini menunjukkan semua negeri yang ada di dalam Malaysia ini bergabung dan membentuk perpaduan walaupun berbilang kaum dan berbeza agama.

Jata Negara memberikan identiti kepada negara serta mampu memangkinkan semangat patriotik dalam setiap jiwa manusia yang bergelar warganegara. Tindakan mempersendakan perkara seperti ini sama sekali tidak boleh dimaafkan.

Walaupun berbeza agama, kaum, asal usul, fahaman dan pegangan ideologi politik tetapi janganlah mengangkat dan mempermainkan isu seperti ini kerana ia melibatkan maruah negara serta mampu mengugat keharmonian negara

Ini bukan soal politik ataupun peperangan konservatif dengan liberal tetapi ini merupakan sebuah isu yang besar Setelah Jalur Gemilang dipermainkan dengan diterbalikkan pada edisi yang lepas, kali ini Jata Negara pula diparodikan. Selepas ini apa pula?

Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Cukup itu cukup! – Thepatriots-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge