Mandi air panas atau sejuk

Alat pemanas air sudah menjadi satu peralatan “wajib ada” di setiap rumah pada zaman sekarang.

Jika dahulu, nenek moyang kita akan menjerang air menggunakan cerek, lalu dituang ke dalam tong atau kolah untuk mendapatkan air mandian yang suam.

Ini kerana, mandi air panas pada waktu pagi sememangnya memberikan sedikit keselesaan dan ketenangan. Namun adakah mandi air sejuk tidak memberikan sebarang manfaat?

Sebenarnya, mandi air panas dan mandi air sejuk, kedua-duanya mempunyai kebaikan yang tersendiri pada tubuh.

bilik mandi

Manfaat mandi air sejuk

1. Memperbaiki aliran darah

Pendedahan kepada air sejuk menjadikan salur darah pada permukaan kulit menjadi lebih kecil. Ini akan mengalihkan laluan aliran darah jauh daripada permukaan kulit.

Apabila aliran darah menjauh daripada kulit, saluran darah dalam tisu badan yang lebih dalam akan menjadi lebih besar.

Ini akan membantu memperbaiki peredaran darah dalam tisu yang lebih dalam.

Satu kajian pada tahun 2019 menyatakan, dengan mandi air sejuk selepas bersukan atau bersenam boleh membantu meningkatkan hidrasi umum dengan cara menyejukkan tubuh badan.

2. Merendahkan tahap kortisol

Kortisol adalah sejenis hormon yang dilepaskan oleh tubuh sebagai respons kepada keadaan stres.

Dengan merendahkan tahap kortisol dalam darah boleh membantu mengurangkan tahap stres dalam tubuh.

Para penyelidik juga mendapati, apabila seseorang itu mandi air sejuk, tahap kortisol mereka akan menurun sekali gus merendahkan tahap stres seseorang individu.

3. Mengurangkan rasa sakit

Berdasarkan review yang dilakukan pada tahun 2014, pendedahan kepada air sejuk boleh memicu respons kesakitan automatik yang disebut sebagai stress-induced analgesia (SIA).

SIA adalah sejenis respons kesakitan automatik yang berlaku setelah berlakunya pendedahan kepada rangsangan stres seperti mandi air sejuk.

air sejuk

4. Mengurangkan lenguh-lenguh dan keletihan

Terdapat satu kajian yang membandingkan antara pendedahan air sejuk dan air suam terhadap prestasi fizikal dalam kalangan atlet.

Hasil kajian tidak menunjukkan sebarang perbezaan terhadap prestasi fizikal kedua-dua kumpulan atlet.

Namun, keletihan dan juga lenguh pada otot dilihat berkurangan secara signifikan dalam kumpulan atlet yang menerima pendedahan kepada air sejuk.

Keburukan mandi air sejuk

  • Mandi air sejuk bukanlah pilihan yang baik sekiranya anda berada dalam persekitaran yang sudah sejuk. Ini kerana mandi air sejuk akan membuatkan tubuh badan anda lebih sejuk lalu menyebabkan anda perlu lebih banyak masa untuk menghangatkan kembali tubuh anda
  • Sekiranya anda jatuh sakit, mandi air sejuk juga tidak bersesuaian. Suhu yang sejuk akan menjadi sedikit sukar ke atas sistem imun tubuh badan anda
mandi air panas

Manfaat mandi air panas

1. Meningkatkan kesihatan kardiovaskular

Satu kajian pada tahun 2014 menunjukkan, mandi air panas boleh membantu memperbaiki aliran darah bagi mereka yang mempunyai kegagalan jantung yang kronik.

Ini disebabkan oleh pelebaran salur darah yang berlaku apabila terdedah kepada suhu yang tinggi.

Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa individu yang merendamkan kaki dan betis mereka dalam air panas atau suam selama 30 minit menunjukkan pengurangan kekakuan arteri.

Mereka yang tidak menggunakan air panas atau suam tidak mengalami kesan seperti berikut.

2. Memperbaiki kesihatan otot dan sendi

Organisasi seperti National Heart, Lung, and Blood Institute mengesyorkan agar seseorang individu mandi air panas atau suam sebelum tidur bagi memperbaiki kualiti tidur.

Air panas membantu memperbaiki kualiti tidur disebabkan oleh gabungan antara bagaimana tubuh badan menjadi relaks semasa mandi dan penurunan suhu badan selepas mandi.

3. Memberikan kelegaan daripada simptom pernafasan dan selesema

Mandi air panas dengan stim panas berada di sekeliling anda telah lama menjadi satu remedi semula jadi untuk mengurangkan simptom selesema dan juga batuk.

Suhu panas daripada air mandian dan juga stim boleh membantu perkara-perkara seperti:

  • Membuka laluan pernafasan
  • Memudahkan kahak untuk keluar
  • Membersihkan saluran hidung anda

4. Memperbaiki kesihatan otak

Kajian pada tahun 2018 telah menyiasat kesan pendedahan air panas terhadap faktor neurotropik yang berasal dari otak (BDNF).

BDNF adalah sejenis protein yang mempunyai beberapa fungsi yang penting di dalam otak dan juga saraf tunjang, termasuklah:

  • Menggalakkan kewujudan sel saraf
  • Menggalakkan perkembangan dan kematangan sel saraf
  • Menggalakkan pembelajaran dan juga memori

Dalam kajian tersebut, satu kumpulan peserta kajian mandi dalam air panas dengan suhu 42°C.

Satu kumpulan lain pula mandi menggunakan air dengan suhu 35°C. Kedua-dua kumpulan ini telah mandi selama 20 minit.

Hasil kajian mendapati, kumpulan yang mandi air panas mempunyai tahap BDNF yang lebih tinggi berbanding kumpulan yang mandi air sejuk.

mandian air sejuk

Keburukan mandi air panas

  • Mandi air panas boleh mengeringkan kulit dan menyebabkan berlakunya iritasi. Air panas boleh merosakkan sel keratin yang berada pada lapisan paling luar kulit anda iaitu epidermis. Apabila sel ini terganggu, kulit akan menjadi lebih kering dan menghalang sel daripada menyerap kelembapan
  • Keadaan kulit juga akan menjadi lebih buruk. Suhu yang lebih tinggi menjadikan kulit lebih mudah kering dan memburukkan keadaan seperti ekzema
  • Mandi air panas boleh menyebabkan kegatalan. Suhu yang panas boleh menyebabkan sel mast (yang mengandungi histamin) untuk melepaskan kandungan mereka pada kulit lalu menyebabkan gatal-gatal
  • Mandi air panas boleh meningkatkan tekanan darah anda juga. Sekiranya anda mempunyai masalah dengan tekanan darah tinggi atau penyakit kardiovaskular, mandi air panas hanya akan memburukkan lagi keadaan sedia ada

Apa pilihan anda?

Kedua-dua jenis mandian sama ada mandi air panas dan mandi air sejuk mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri.

Oleh itu, pilihlah jenis mandian yang bersesuaian dengan keadaan semasa anda.

Walaupun anda gemar mandi air panas, jangan sesekali melakukannya secara kerap kerana ia boleh mengeringkan kulit anda.

3 Comments

  1. mandi air sejuk di waktu pagi lebih menyegarkan. ia lebih bagus dari minum secawan kopi.

Leave a Reply to Wan Zawawi Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge