Sesebuah rumah tangga akan menjadi lebih sempurna apabila dikurniakan rezeki yang tidak putus-putus. Apatah lagi jika suami isteri istiqomah melaksanakan perintah Allah SWT maka mencurah-curahlah rezeki yang datang. Dalam ajaran Islam terdapat beberapa amalan pembuka rezeki yang sangat dianjurkan untuk dilakukan.
Untuk memastikan rezeki dalam hubungan suami isteri mengalir dengan mudah dan melimpah ruah, pastikan kita dan pasangan mengikuti amalan ini.
1. Ikhlaskan niat berkahwin kerana Allah SWT.
Berkahwin merupakan salah satu pintu rezeki kerana ia mampu menyatukan hati dua insan dalam satu tujuan iaitu mencapai keredaan Allah SWT. Jika ingin rumah tangga anda terus mengalirkan rezeki yang luas, ikhlaskan niat anda dan pasangan berumah tangga kerana Allah SWT.
2. Sentiasalah menggembirakan pasangan.
Penghambat utama rezeki dalam rumah tangga bergantung kepada suami dan isteri itu sendiri. Sentiasalah bermesra dan menggembirakan pasangan agar hubungan yang terjalin bertambah bahagia serta saling hormat-menghormati lantas mengundang rezeki yang banyak dalam rumah tangga.
3. Banyakkan bersedekah.
Amalan bersedekah tanpa mengharapkan balasan sememangnya digalakkan dalam Islam kerana amalan terpuji ini mampu menambahkan rezeki. Apabila kita meringankan bebanan orang lain yang dalam kesusahan, maka Allah SWT akan menggandakan rezeki dan memberikan kesenangan dalam kehidupan harian kita.
4. Berbakti dan mendoakan ibu bapa.
Berbuat baiklah dengan orang tua dan jangan sesekali menderhaka kepadanya selain jangan bersikap kedekut dengan mereka.
Sabda Rasulullah SAW:
‘Siapa berbakti kepada ibu bapanya, maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.’ (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Sabda Rasulullah SAW:
‘Apabila hamba itu meninggalkan doa untuk kedua orang tuanya, nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.’ (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
Baca juga : 10 Rezeki daripada ALLAH yang Perlu Direbut dan Dinikmati
5. Ramaikan cahaya mata.
Kehadiran cahaya mata merupakan nikmat bagi setiap pasangan yang telah berkahwin. Ini kerana anak boleh diibaratkan sebagai tali pengikat yang dapat menguatkan lagi hubungan suami isteri.
Firman Allah SWT:
‘Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan, Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka.’ (QS. Al An’am, 6: 151)
6. Jangan kedekut belanja isteri.
Dalam rumah tangga tidak boleh ada sifat kedekut sesama pasangan. Jika mahu menggandakan rezeki, suami janganlah kedekut membelanjakan isteri. Nescaya apa yang dibelanjakan itu akan digantikan Allah dengan rezeki yang berlipat kali ganda.
7. Gunakan bahasa lembut dan panggilan manja.
Percayalah dengan menggunakan bahasa yang lembut dan mesra apabila berkomunikasi dengan pasangan mampu membuatkan rezeki terus mengalir. Tentu sahaja pasangan akan rasa lebih tenang dan bahagia jika dipanggil dengan panggilan manja ataupun menggunakan bahasa lembut sekali gus membuatkan ikatan suami isteri bertambah erat.
8. Tenangkan hati isteri ketika resah.
Seorang suami yang baik pasti mampu memahami sisi emosi seorang isteri apabila isteri dilanda masalah. Ini kerana isteri yang jiwanya sentiasa tenang akan memancarkan rasa cinta dan kasih sayang terhadap suami tanpa berbelah bagi.
Baca juga : Siapa Sakitkan Hati Isteri, Bukan Sahaja Rezeki Jadi Sempit…
9. Cium dan peluk isteri sebelum keluar rumah.
Apabila keluar rumah, cium dan peluklah isteri sebagai tanda suami menghargainya sebagai insan teristimewa. Amalan ini akan memberikan aura positif bukan sahaja dalam diri seorang isteri sepanjang hari tetapi juga memberi semangat untuk suami mencari nafkah yang lebih banyak buat keluarganya.
10. Salam dan cium tangan suami sebelum keluar rumah.
Begitu juga buat isteri, tingkatkan rezeki dalam rumah tangga anda dengan bersalaman dan mencium tangan suami sebelum suami keluar rumah. Amalan ini menunjukkan yang anda reda serta menghargai suami yang bertungkus lumus mencari sumber rezeki untuk anda dan anak-anak.
11. Bergurau senda sebelum tidur.
Hubungan suami isteri akan bertambah erat dan penuh warna-warni apabila adanya gurau senda dalam rumah tangga. Sebelum melelapkan mata, curilah masa untuk bergurau senda dengan pasangan, mudah-mudahan rezeki anda berdua akan sentiasa dimurahkan.
Sudah tentu banyak lagi tips-tips dan amalan pembuka rezeki suami isteri dan seterusnya keluarga bahagia. Jom kita buat yang wajib dan tambahkan yang sunat. Inshaa Allah, moga bermanfaat!