Kerajaan bersetuju membenarkan 11 jenis ekonomi bawah Fasa 1 beroperasi semula berkuatkuasa 16 Ogos 2021.
Kemudahan terbaharu itu terpakai kepada semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan syarat, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri berkenaan mestilah mencapai sekurang-kurangnya 50% dan individu-individu yang ingin memanfaatkan kemudahan ini juga mestilah menerima vaksinasi lengkap.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan perbincangan dengan semua pemegang taruh dalam sektor berkepentingan.
Sebagai contoh, sehingga 14 Ogos, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa (18 tahun ke atas) di Lembah Klang mencapai 64.7%. Maka, individu yang telah lengkap vaksinasi di Lembah Klang boleh memanfaatkan kemudahan ini apabila ia mula berkuatkuasa.
11 jenis aktiviti ekonomi yang dibenarkan kembali beroperasi di dalam Fasa 1 ialah:
1. Kedai cuci kereta
2. Kedai elektrik dan elektronik
3. Kedai barangan rumah dan peralatan dapur
4. Kedai perabot
5. Kedai peralatan sukan
6. Kedai aksesori kereta
7. Pusat pengedaran dan jualan kereta
8. Pasar pagi dan pasar tani sahaja
9. Kedai pakaian, fesyen dan aksesori
10. Kedai barang kemas
11. Kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja)
Bagi kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; serta kedai gunting rambut dan pusat atau salun kecantikan, terdapat SOP kesihatan tambahan yang wajib dipatuhi.
Ia termasuklah memakai sarung tangan, mengehadkan masa urusan antara pekerja dan pelanggan serta tidak membenarkan penggunaan bilik persalinan. SOP ini mungkin merumitkan tetapi ia demi keselamatan pekerja dan pelanggan.
Selain itu, kedai peralatan ‘outdoor’, kedai bunga serta kedai alat permainan antara 11 aktiviti ekonomi di dalam sektor perdagangan dan pengedaran di bawah Fasa 2 turut dibenarkan beroperasi esok.
Aktiviti ekonomi lain adalah kedai barang fotografi dan perkhidmatan fotografi; kedai barangan terpakai; kedai kraftangan dan cenderahati; kedai antik; kedai permaidani; kedai kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif; kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi; serta kedai tembakau (termasuk vape dan rokok elektronik).
Semua aktiviti itu adalah tambahan kepada 11 aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula di dalam Fasa 1.
Pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula ini juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19.
Ia bagi membuktikan individu tersebut sudah menerima vaksinasi lengkap, iaitu melepasi 14 hari tarikh suntikan dos kedua dan 28 hari suntikan dos tunggal.
Kemudahan yang diumumkan hari ini bukan sahaja dapat memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat dari sudut emosi dan kesihatan mental malah turut membantu memulihkan semula secara berperingkat situasi khususnya kumpulan yang terlibat dalam sektor ekonomi.
Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan yang diberikan sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta SOP yang ditetapkan.
Jika berlaku jangkitan di premis yang menerima kemudahan ini, KKM akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko serta tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenalpasti melanggar SOP