Dua lelaki yang disyaki terlibat melakukan samun bersenjatakan parang terhadap seorang wanita warga emas hingga kerugian RM25,000 di Bandar Tun Razak, Cheras dekat sini Sabtu lalu berjaya diberkas.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kedua-dua suspek warga tempatan itu diberkas dalam dua serbuan berasingan kelmarin dan semalam di sekitar Lembah Klang.
Berdasarkan hasil risikan, suspek pertama yang berumur 35 tahun diberkas lebih kurang pukul 12.15 pagi.
Sekali lagi polis melakukan serbuan sekitar pukul 11 pagi keesokannya dan berjaya menahan suspek kedua berumur 29 tahun serta merampas peralatan yang disyaki digunakan dalam kejadian tersebut berserta wang tunai RM5,300.
Semakan mendapati kedua-dua suspek memiliki 18 rekod jenayah lampau, antaranya berkaitan samun dan dadah. Reman ke atas suspek pertama telah dibenarkan selama enam hari hingga 1 April depan manakala suspek kedua pula selama tujuh hari hingga 4 April bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Melalui penahanan kedua-dua suspek ini, enam kes samun dapat diselesaikan, masing-masing dua dibawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan empat di IPD Dang Wangi.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang warga emas disamun dua lelaki bermotosikal yang bersenjatakan parang menyebabkan dia kerugian RM25,000 dalam kejadian di Bandar Tun Razak, Cheras dekat sini Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi, warga emas berusia 77 tahun itu berada di luar kediaman anaknya untuk pergi makan dan susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan luka pada bahagian tangan. – KOSMO-