Hari Arafah, yang jatuh pada 9 Zulhijjah dalam kalendar Hijrah, adalah hari yang sangat istimewa bagi umat Islam. Pada hari tersebut, jutaan jemaah haji berkumpul di Padang Arafah, satu ibadah yang menjadi kemuncak ibadah haji. Bagi mereka yang tidak menunaikan haji, Doa Hari Arafah tetap membawa makna yang mendalam dan penuh dengan keberkatan.
Hari Arafah bukan hanya sekadar hari dalam kalendar Islam, tetapi ia adalah peluang untuk kita memperbaharui iman dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan segenap hati dan jiwa.
Keistimewaan Hari Arafah
- Hari Pengampunan Dosa: Hari Arafah dikenali sebagai hari di mana Allah SWT mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya. Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya dari api neraka selain daripada Hari Arafah.” (Hadis Riwayat Muslim).
- Hari Doa Mustajab: Doa yang dipanjatkan pada hari ini mempunyai peluang yang sangat tinggi untuk dimakbulkan. Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Hadis Riwayat Tirmizi).
- Hari Peningkatan Iman dan Taqwa: Berada di Padang Arafah atau berdoa dan berpuasa pada hari ini meningkatkan keimanan dan ketakwaan seseorang. Puasa pada Hari Arafah bagi yang tidak menunaikan haji diampuni dosa-dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang (Hadis Riwayat Muslim).
Amalan yang Disunatkan pada Hari Arafah
- Berpuasa: Puasa pada Hari Arafah disunatkan bagi mereka yang tidak berada di Tanah Suci. Puasa ini membawa ganjaran besar dan menjadi satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
- Banyakkan Doa dan Zikir: Pada hari ini, disarankan untuk memperbanyakkan doa dan zikir. Doa hari Arafah yang paling utama adalah:
“لَا إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّٰهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُۥ لَهُ ٱلْمُلْكُ وَلَهُ ٱلْحَمْدُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ”
(Tidak ada Tuhan selain Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan segala puji. Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu). - Solat Sunat: Melaksanakan solat sunat seperti solat Dhuha, solat Tahajud, dan solat Taubat adalah antara amalan yang digalakkan.
- Bersedekah: Bersedekah pada hari ini sangat dianjurkan kerana ganjarannya yang berlipat ganda.
Doa Hari Arafah
Pada hari Arafah nanti perbanyakkanlah doa kita, kerana seperti yang dinyatakan sebelum ini, pada hari tersebut, doa hari Arafah kita berada pada tahap paling dekat untuk dimakbulkan oleh Allah S.W.T.
Berikut merupakan antara cadangan doa hari Arafah yang telah dikongsikan oleh Sahabat Pencinta Al-Quran, yang boleh anda amalkan sewaktu hari Arafah nanti:
- Ya Allah, kurniakan padaku kejayaan terbesar – selamat dari api neraka dan masuk ke Syurga Firdaus.
- Ya Allah, masukkan aku dan keluargaku dalam golongan yang beriman, yang menerima kitab amal di tangan kanan kami.
- Ya Allah, kurniakan padaku kematian yang diberkati. Izinkan aku mengucapkan syahadah sebelum aku menghembuskan nafas terakhir. Kurniakanlah padaku syafaat Rasulullah SAW.
- Ya Allah, masukkanlah aku dalam kalangan Rasulullah SAW, keluarganya dan para sahabat di Syurga Firdaus.
- Ya Allah, selamatkan rakan-rakan bukan Islamku dari neraka. Kurniakan mereka hidayah Islam.
- Ya Allah, satukan aku dalam Syurga Firdaus dengan-orang yang aku sayangi semata-mata keranaMu.
- Ya Rabb, sempurnakan agamaku dan ibadatku. Selamatkan aku daripada kejahatan dan izinkan aku menyempurnakan sebahagian daripada agamaku.
- Ya Allah, terima amalan baikku dan tingkatkan pahala dan rahmat untukku. Padamkan dosa-dosaku dan ampunkan aku sepenuhnya. Limpahi rahmatMu untukku dan selamatkan aku dari kehinaan pada hari hitungan amal.
- Ya Allah, apabila aku mati, biarkan jiwaku dan rekod amalanku menjadi amalan tertinggi
- Ya Allah, kurniakan kepadaku, ibu bapaku, keluarga dan anak-anakku bimbingan, ketabahan dan peningkatan iman.
- Ya Allah, masukkan aku dalam golongan yang Engkau lindungi, mendapat pengampunanMu dan mendapat naungan pada hari ketika tidak ada naungan selain dari ArashMu.
- Ya Tuhanku, tingkatkan keyakinan dan tawakkalku padaMu. Jangan singgahkan keraguan dalam kepercayaanku dalam keesaanMu, kehebatanMu dan kekuasaanMu.
- Ya Allah, tingkatkan kecintaanku untukMu dan NabiMu.
- Ya Allah, ampuni aku dan tingkatkan kurnian rahmat dan rezekiMu.
- Ya Allah, beri aku lebih banyak peluang untuk berbuat baik dan mendapat keredhaanMu.
- Ya Allah Ya Rabb, sucikan niatku hanya untukMu semata dan lindungi aku dari menunjuk-nunjuk atau kebanggaan palsu. Selamatkan aku dari sifat angkuh, sombong, menunjuk-nunjuk dan mengungkit ungkit nikmat.
- Wahai Penciptaku dan Tuhanku, jangan Kau biarkan aku sendirian. Berkati aku dengan pasangan yang sesuai dan anak-anak yang akan menjadi penyejuk mataku.
- Ya Allah Ya Tuhanku, jadikan aku dari kalangan orang yang sabar dan patuh kepadaMu dan kepada ibu bapaku.
- Ya Allah, selamatkan aku dari fitnah Dajjal.
- Ya Allah, selamatkan aku dari azab kubur dan azab api neraka.
- Ya Allah, tingkatkan usahaku dalam kerja-kerja sadaqatul jariah.
- Ya Allah, berkati hidupku dengan kesihatan yang baik, agar aku dapat bersujud padamu dengan mudah sehingga akhir hayatku.
- Ya Allah, lindungi aku dan seluruh umat Islam dalam menentang penindas-penindas yang zalim. Selamatkan kami dari fitnah dan permudahkan bagi kami mengharungi zaman yang sukar ini.
- Tuhanku, berkati hidupku dengan yang terbaik di dunia ini, yang terbaik di akhirat nanti. Sesungguhnya aku memang memerlukan kurniaan dariMu Ya Allah.
- Ya Allah, tingkatkan kesyukuranku semata-mata kepadaMu.
- Ya Rabb, selamatkan aku dari kemunafikan.
- Ya Allah, izinkan aku dan suamiku menjadi antara jemaah menunaikan Haji sebelum kami dijemput olehMu.
- Ya Allah, lindungi kami dari syaitan, jin dan arak. Lindungi kami dari perbuatan jahat dan niat mereka.
- Ya Allah, ampuni dan berikan rahmat kepada ibu bapa kami, kerana mereka menjaga kami ketika kami masih kecil.
- Ya Allah, aku berdoa dan memohon daripadamu untuk mengurniakan bimbingan kepada pemuda dan umat Islam. Selamatkan kami semua dari kufur, putus asa, salah laku dan syirik.
- Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk melawan kemalasan dan tidur, semoga aku dapat bangun untuk tahajjud dan solat subuh setiap hari.
- Ya Allah, ampunkan segala dosaku, dosa kedua ibu bapaku dan ampunkan segala dosa seluruh muslimin dan muslimat di seluruh dunia.
Diharapkan daripada doa hari Arafah yang diamalkan ini nanti sebahagian daripadanya dapat dimakbulkan Allah S.W.T. Amin Ya Rabbal’ Alamin.
Penghayatan Doa Hari Arafah
Bagi mereka yang tidak berkesempatan menunaikan haji, Hari Arafah adalah peluang emas untuk merasai sedikit pengalaman spiritual yang dirasai oleh jemaah haji. Walaupun hanya dengan berpuasa, Doa Hari Arafah, dan berzikir, seseorang dapat merasakan keagungan dan keberkatan hari ini.
Menjaga hati dan niat sepanjang hari, serta memperbanyakkan ibadah, adalah kunci untuk meraih ganjaran yang dijanjikan Allah SWT. Hari Arafah mengingatkan kita akan pentingnya ketakwaan dan pengampunan dalam kehidupan kita sebagai hamba-Nya.
Semoga kita semua diberikan kekuatan untuk menghayati dan mengamalkan segala kebaikan dan Doa Hari Arafah. Mudah-mudahan Allah SWT menerima segala amalan kita dan mengampuni dosa-dosa kita, amin.