Setiap orang sentiasa mengharap memiliki keluarga yang Bahagia dan harmoni. Kebahagiaan bukan hanya dilihat pada pemilikan harta seperti rumah, kenderaan, wang ringgit, pekerjaan yang baik, serta pangkat, malah yang lebih penting kebahagiaan itu diukur dengan memiliki hati yang bersih, rohani yang kukuh, emosi yang tenang dan akal yang baik.
Semua orang ingin mengecapi kebahagiaan dalam berumah tangga. Ingin memiliki “Baiti Jannati”. Rumah kita adalah syurga kita.
Kita mengharapkan keluarga dan rumah tangga sebagai sebahagian daripada taman-taman syurga. Sebagai Muslim kita perlu memperbanyakkan doa kepada Allah kerana doa umpama tali yang menghubungkan antara hamba dengan Pencipta.
Mari kita usahakan antaranya melalui amalan doa yang berterusan:
1. Doa Memohon Pasangan dan Keturunan Penyejuk Hati
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
“Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan dan zuriat keturunan kami sebagai penyejuk hati kami dan dan jadikanlah kami sebagai imam ikutan bagi orang bertakwa.” (Surah al-Furqan 25: 74)
2. Doa Ahli Keluarga Menjadi Soleh
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء
رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
“Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikian juga keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankan doaku. Wahai Tuhan kami, ampuni aku, kedua-dua ibu bapaku dan orang beriman pada hari perhitungan.” (Surah Ibrahim 14: 40-41)
Doa Nabi Ibrahim AS sewaktu menziarahi anak dan isterinya yang ditinggalkan di Makkah.
3. Doa Memohon Zuriat Yang Baik
رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ
“Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa”. (Surah Al-Imran: 38)
4. Doa Memohon Cinta dan Kasih Sayang
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَالْعَمَلَ الَّذِي يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu dan aku memohon kepadaMu amalan yang dapat menyampaikanku kepada cintaMu. ” (Hadis Hasan, Riwayat Tirmidzi)
5. Doa Mohon Kebaikan dan Jauhi Kejahatan
اللَّهُمَ حَبَّبْ إِلَيْنَا الْإِيمَانَ وَزَيِّنْهُ فِي قُلُوبِنَا وَكَرِّهْ إِلَيْنَا الْكُفْرَ
وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الرَّاشِدِينَ
“Ya Allah, jadikanlah kami cinta kepada keimanan dan jadikanlah ia indah di hati kami, bencikanlah kami pada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan, serta masukkanlah kami dalam golongan orang yang mendapat petunjuk.” (Surah Al-Hujurat: 7)
6. Doa Memohon Keampunan
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“Wahai Tuhan Kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan menyayangi kami, nescaya kami menjadi orang yang rugi.” (Surah al-A‘raf 7: 23)
Doa Nabi Adam dan Hawa setelah terlanjur di dalam syurga sebelum diturunkan ke bumi. Suami isteri yang baik ialah orang yang cenderung melihat kesalahan diri sendiri terlebih dahulu daripada melihat kesalahan pasangannya.
7. Doa Agar Tidak Dendam Sesama Ahli Keluarga
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالإِيمَانِ
وَلا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوفٌ رَّحِيم
“Wahai Tuhan Kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami sebarang perasaan hasad dengki dan dendam terhadap mana-mana orang beriman. Wahai Tuhan kami! Sungguhnya Engkau amat pengampun dan pengasih.” (Surah al-Hashr 59: 10)
Berusahalah melakukan amal yang dicintai Allah melalui penjagaan waktu solat, berbakti kepada ibu bapa dan berjihad di jalan Allah dalam pelbagai ruang amal kebaikan.
Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya.
Hidup berkeluarga dan bermasyarakat menuntut kita bersifat rahmah kepada ahli keluarga dan anggota masyarakat di sekeliling. Pastikan kita tidak tergolong orang yang dilaknat Allah