Sebagaimana sedia maklum, amalan mandi embun ini sudah masyhur di kalangan pendekar dan pahlawan Melayu silam, dan ianya amat berkesan untuk proses penyembuhan dalaman dan luaran.
Disebutkan di sini sekadar perkongsian, rahsia di sebalik mandi embun yang diamalkan Mat Kilau.
Embun merujuk kepada air yang terhasil dari wap-wap udara (gas) yang berlaku tatkala berada dalam masa atau keadaan tertentu. Pada alam, ia berlaku pada subuh hari yakni semasa alam berada di antara dua keadaan iaitu gelap dan terang (zon peralihan).
Amalan mandi embun
Mandian embun boleh memberikan tenaga jasmani yang meliputi kulit, otot, tulang, darah dan organ-organ tubuh yang lain. Begitu juga tenaga naluri yang menguatkan akal dan hati. Dan yang paling penting ialah bahagian spiritual atau rohani iaitu bahagian dalaman diri.
Sifat air embun mampu menghasilkan dan menjanakan tenaga-tenaga yang tersebut, maka amalan mandi embun ini boleh memindahkan potensi energi dari alam semula jadi menyerap ke dalam tubuh melalui liang-liang roma dan seterusnya menggerakkan dan merangsangkan kelenjar-kelenjar bagi menghasilkan hormon tubuh yang seimbang.
Keadaan suhu waktu subuh yang nyaman dan sejuk amat akrab dengan frekuensi sistem saraf otak.
Baca juga : Filem Mat Kilau Jadi Biopik Terhebat, Panggung Wayang Bergempa!
Ketika suhu sejuk melingkungi luaran tubuh, bahagian dalaman tubuh pula berperanan mengekalkan suhu panas di setiap organ tubuh. Koordinasi sejuk dan panas ini melengkapkan keseimbangan keduanya.
Tatkala tubuh berusaha menahan kesejukan dingin pagi dan siraman air embun, tindak balas dalaman akan berlipat ganda untuk mengekalkan suhu dalaman tubuh dengan keadaan getaran tubuh yang menghasilkan haba. Dengan terhasilnya tindak balas ini, menjanakan tenaga atau energi dalaman tubuh.
Penemuan video lama Pahlawan Melayu Pahang sedang “mandi embun” telah mengejutkan ramai pihak. Ini kerana selama ini, kita semua hanya dapat melihat gambar pahlawan tersebut sahaja. Dalam rakaman video tersebut Mat Kilau diusung oleh orang kampung, menantu dan ahli keluarganya untuk dimandikan air embun pagi yang menjadi kelaziman atau amalan hariannya selama ini.
Amalan mandi embun yang berterusan bakal melatih tubuh menjadi semakin mantap yang lama kelamaan membentuk kan kualiti luar biasa pada tubuh. Di samping digabungkan dengan teknik amalan amalan perangsang yang lain seperti bacaan zikir, puasa, meditasi, pernafasan, senaman khusus, muraqabah dan petua-petua yang lain. Seterusnya menjadikan seseorang pendekar itu hebat dalaman dan luaran nya.
Bagi pengamal kerohanian, amalan mandi embun ini merupakan simbolik kepada Zat suci yang menjadikan dan menyimpan energi kerohanian yang suci dan tinggi. Ianya mampu menjernihkan Sodr, Qalb dan Fuadh agar mencapai kecerahan alam diri yang tinggi.
Moga roh Pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau ditempatkan kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh hendaknya. Al-Fatihah.