Nak tahu khasiat budu? Artikel ini akan berkongsi tentang manfaat dan khasiat budu untuk kesihatan yang mungkin kita tidak tahu.
Budu merupakan hidangan makanan yang terkenal yang datang dari negeri serambi Mekah, Kelantan. Pelbagai jenis masakan atau makanan dihidangkan bersama budu seperti nasi kerabu, colek, ulam-ulaman dan nasi panas.
Budu merupakan sejenis sos ikan bilis yang dijerukkan dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia dan dunia. Penduduk kepulaan Natuna memanggil budu sebagai ‘pedek’ atau ‘pedok’ manakala warga Kalimantan memanggilnya ‘rusip.’ Penduduk di selatan Thailand turut menggunakan budu dalam makanan seharian mereka disebabkan faktor geografi mereka yang dekat dengan negeri Kelantan.
Secara tradisinya, budu disediakan dengan mencampurkan ikan bilis bersama garam pada nisbah 2:1 hingga 6:1. Campuran ini akan dijerukkan atau dibiarkan selama 4 ke 7 bulan. Warna merah pada sesetengah budu datang daripada penambahan gula kabung dan asam jawa.
Walaupun ada yang menganggap budu sebagai makanan orang kampung, budu sebenarnya menyimpan pelbagai khasiat kesihatan yang bermanfaat kepada tubuh kita. Malah, ada yang menganggap budu boleh menjadi ‘suplemen’ yang bagus untuk kesihatan otak. Hal ini menarik perhatian para penyelidik untuk terus mengkaji kandungan sebatian kimia dalam budu dan manfaat kesihatannya.
Berikut ialah hasil laporan penyelidikan lepas yang mengkaji khasiat kesihatan budu.
Anti Bakteria dan Antimikrob
Para penyelidik dari UPM Serdang pada tahun 2009 ada menjumpai beberapa strain bakteria baik dalam budu yang ternyata mempunyai beberapa khasiat kesihatan. Tiga jenis bakteria baik tersebut telah dikenal pasti sebagai LA17, LA22 dan LA02.
Mereka mendapati bahawa bakteria dalam budu boleh menghasilkan bahan yang bertindak sebagai antibakteria untuk merencat pertumbuhan pathogen atau mikoorganisma jahat yang lain. Hal ini menunjukkan bahawa selain membantu sistem pencernaan yang lebih baik, bakteria baik dalam budu dapat bertindak memberi perlindungan daripada serangan mikrob luar.
Budu Berpotensi Mencegah Kanser
Dalam budu, terdapat pelbagai sumber protein dan asid amino yang bagus untuk kesihatan. Antara peptida yang membentuk protein dalam budu ialah pecahan peptida hidrofobik. Sekumpulan penyelidik di Universiti Kebangsaan Seoul, Korea Selatan pada tahun 2003 menyedari akan manfaat peptida ini.
Mereka melakukan uji kaji ke atas kesan anti karsinogen atau aktiviti melawan kanser menggunakan ekstrak peptida dalam sos ikan bilis atau budu ini. Kesannya, terdapat peningkatan proses apoptosis atau kemusnahan sel kanser sehingga ke peringkat DNA sel kanser tersebut menggunakan pendekatan ini. Sel kanser yang dikaji mereka ialah kanser limfoma.
Oleh itu, mereka menyimpulkan bahawa budu sesungguhnya mempunyai potensi anti kanser yang sangat baik dan meyakinkan.
Baca juga : Khasiat Ayam Kampung Yang Ramai Orang Tidak Tahu
Khasiat Nutrien Yang Bagus Untuk Kesihatan
Penyelidikan bersama para saintif Oregon dan Korea pada tahun 2001 menyenaraikan komposisi nutrien yang menyihatkan yang terdapat dalam budu. Antara kandungan nutrien dalam sos ikan atau budu ini ialah:
- protein
- lemak
- kalsium
- fosforus
- zat besi
- vitamin A
- vitamin B1
- vitamin B2
- niacin
Setiap nutrien ini akan berbeza komposisi mengikut jenis ikan yang digunakan seperti ikan bilis, ikan kembung atau ikan herring. Namun, semua jenis sos ikan akan membekalkan nutrien yang mencukupi untuk kegunaan kesihatan tubuh.
Makanan Kaya Protein
Proses penapaian budu yang mengambil masa berbulan-bulan ini selain daripada memberikan rasa budu yang unik dan tersendiri, sebenarnya menguraikan molekul protein yang besar pada ikan bilis menjadi komponen asid amino yang lebih mudah diserap oleh badan kita. Kandungan protein yang tinggi sangat berguna untuk sistem tubuh kita gunakan bagi menghasilkan proses pembaikan kerosakan sel dan mengganti sel lama.
Proses penguraian protein ini dilaporkan berlaku sekitar 80 ke 120 hari dan taburan sebatian nitrogen dicatatkan pada hari ke-140 hingga hari ke-200. Terdapat hampir 18 asid amino perlu yang direkodkan hadir dalam setiap 100 mL budu yang sememangnya sangat berkhasiat.
Kajian lepas juga melihat kesan penukaran asid amino ini bermula selepas hari ke-60, jadi amat disarankan proses penapaian budu ini dilakukan sekurang-kurangnya selama 60 hari untuk mendapatkan khasiatnya.
Bac juga : 11 Khasiat Halia, Campuran Salah Satu Minuman Syurga
Budu Sebagai Pembuka Selera
Bagi mereka yang mengalami masalah tidak berselera makan, budu boleh dijadikan sebagai juadah pilihan untuk membuka selera. Umumnya, saintis mengenal pasti 3 jenis aroma yang dihasilkan oleh budu atau sos ikan ini yang berkeupayaan membuka selera seseorang.
Berbau seperti ammonia, keju atau daging merupakan 3 jenis aroma dihasilkan oleh proses penapaian budu. Ada orang yang akan mudah berselera dengan aroma yang terhasil tersebut. Para saintis mendapati bahawa setiap aroma tersebut datang daripada perubahan nilai pH atau keasidan budu yang sedang ditapai.
Khasiat Budu Mencegah Penuaan
Sekumpulan penyelidik di Vietnam pada tahun 2017 turut mengkaji khasiat kesihatan budu atau dikenali sebagai ‘nuoc nam’ di negara mereka. Mereka mendapati bahawa sebatian bioaktif khususnya bioflavonoid dalam budu atau sos ikan berperanan memperlahankan proses penuaan dan mampu membaiki kerosakan sel dengan cepat.
Kesannya, proses penuaan boleh berkurang dan berpotensi menjadikan tubuh badan lebih kuat dan sihat dengan sumber antioksidan yang mencukupi daripada diet pengambilan budu.
Juadah makanan dari Pantai Timur yang dikenali sebagai budu ini sememangnya memberikan pelbagai khasiat kesihatan, selain daripada rasanya yang unik. Antara khasiat kesihatan budu ialah aktiviti anti bakteria dan antimikrob, potensi pencegah kanser, sumber nutrien yang bagus untuk kesihatan, kaya dengan protein, membuka selera dan mencegah penuaan.
Penyelidikan berkenaan kualiti budu, cara penyediaan dan analisis kimia kandungan budu makin giat dijalankan memandangkan budu menjadi pilihan lebih ramai orang terutamanya bagi pasaran dunia. -Bidadari