Rata-rata yang datang ke Qatar untuk menyaksikan Piala Dunia FIFA kagum dengan segala infrastruktur yang dibangunkan dan segala yang dibelanjakan. Qatar yang pertahankan Islam berjaya menganjurkannya dengan bergaya dan mendapat sokongan dari negara-negara Arab yang lain.
Di sebalik semua kejayaan ini, Piala Dunia FIFA kali ini turut terpalit dengan kontroversi yang menjadi bualan hangat sehingga berlakunya protes ke atas Qatar sebagai tuan rumah dan FIFA sebagai penganjur kejohanan yang sedikit sebanyak mencacatkan Piala Dunia FIFA kali ini.
Kontroversi tercetus disebabkan beberapa peraturan yang dikuatkuasakan seperti tidak dibenarkan kapten pasukan memakai lilitan lengan yang mempunyai logo LGbeeTQ “OneLove“, tidak dibenarkan mengibar bendera serta memakai baju dan seumpamanya yang mempamerkan “Pride Flag” atau “Rainbow Flag“ (corak bendera LGbeeTQ) termasuk tidak dibenarkan penjualan minuman beralkohol di stadium-stadium.
Peminat-peminat bola sepak dari golongan LGBeeTQ yang berkunjung ke Qatar untuk menyaksikan Piala Dunia FIFA kali ini mengkritik keras tindakan FIFA dan Qatar malah ada yang tidak mengendahkan larangan tersebut dengan terus memakai baju, topi dan mengibarkan bendera “Pride Flag” sehingga ditahan pihak keselamatan Qatar.
Qatar Pertahankan Islam
Oleh itu sewajarnya peminat-peminat bola sepak di seluruh dunia yang mengikuti Piala Dunia FIFA menghormati Qatar, undang-undang dan perlembagaannya kerana Qatar adalah sebuah negara Islam yang merdeka dan berdaulat.
Ini kerana dengan mengkritik Qatar dikira sudah mencampuri urusan dalaman Qatar. Bagi kita umat Islam apabila kita mengkritik Qatar dalam isu yang sama bermakna kita seolah-olah memperlekehkan hukum Allah SWT. Sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran yang secara jelas mengharamkan hubungan sejenis atau aktiviti LGBeeTQ yang merosakkan akhlak manusia. Semua ini telah disebut dalam firman Allah SWT dalam Surah al A’raf ayat 80-84.
Namun kritikan terhadap Qatar dalam isu yang menjadi kontroversi tersebut adalah amat tidak adil dan saksama terutamanya daripada peminat bola sepak dan negara-negara Barat. Jika umat dan negara Islam mengkritik tindakan pengharaman pemakaian hijab seperti di Perancis mereka dituduh mencampuri urusan dalaman negara tersebut.
Baca juga : 10 Lapangan Terbaik Dunia 2021, Qatar Kalahkan Singapura
Berlaku Adil Terhadap Qatar
Jika umat dan negara Islam bertindak mengkritik karikatur Rasulullah SAW yang dijadikan bahan satira di Barat, mereka dituduh tidak mengetahui undang-undang kebebasan yang diamalkan di negara-negara Barat.
Maka sewajarnya perlu berlaku adil terhadap Qatar dalam segala kritikan dan cemuhan yang dilemparkan. Umpama pepatah Melayu “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak“. Usahlah mengambil kesempatan ke atas Qatar dengan tujuan-tujuan yang tidak baik seperti mengambil kesempatan dan menekan untuk kepentingan geopolitik.
Apabila bertandang ke negara orang, hormatilah undang-undang, adat resam dan kebudayaannya. Usahlah sesuka hati mengkritik dan menghentam tidak tentu haluan. Syabas diucapkan kepada Qatar kerana telah mempertahan dan mengangkat syariat Islam ke tempat yang sewajarnya.
Bola sepak adalah sukan yang paling popular di seluruh dunia. Sebagaimana ungkapan banyak pihak, bola sepak mampu menyatukan umat manusia yang berbilang agama, bangsa, kaum dan ideologi. Tetapi dalam masa perlu saling hormat-menghormati dan bertoleransi.
Hormatilah Qatar dan undang-undangnya, juga hormatilah Islam dan penganut-penganutnya. Semoga Qatar berjaya menjadi penganjur terbaik Piala Dunia FIFA serta terus makmur, sejahtera dan diberkati Allah SWT.
(YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi)