Cerap anak bulan antara kaedah untuk memastikan tarikh permulaan puasa dan raya untuk umat Islam di negara ini. Anak bulan boleh dilihat pada hari rukyah (kebolehnampakan) yang ditetapkan setiap 29 hari bulan hijrah pada waktu matahari belum terbenam.
Cerapan anak bulan pertama kali bagi menetapkan permulaan puasa seluruh negara pada 7 Oktober 1972 bersamaan 29 Syaaban 1392 di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan. Bermula saat itu, pengisytiharan permulaan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui radio dan televisyen setelah diperkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Namun, tiada catatan yang jelas bilakah cerapan hilal (bulan sabit) yang pertama di Selangor. Dipercayai, cerapan pertama di negeri ini adalah bagi menentukan awal bulan Ramadan awal tahun 1970-an bagi melaksanakan arahan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di Baitulhilal Bukit Malawati mengguna pakai peralatan teodolit milik Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Negeri Selangor.
Lokasi Pilihan Cerap Anak Bulan
Lokasi awal bagi aktiviti cerap anak bulan di Selangor antaranya Baitulhilal Bukit Malawati, Kuala Selangor, Pulau Angsa Kuala Selangor dan Baitulhilal Bukit Jugra Kuala Langat. Kebanyakan lokasi asalnya hanya meliputi kawasan tanah tinggi, ufuk menghadap laut iaitu tiada halangan untuk pandangan ufuk dan menghadap arah mata angin sebelah barat serta tiada bangunan khusus.
Selangor mencatatkan sejarah apabila terbinanya Balai Cerap Selangor di Sabak Bernam sebagai pusat penyelidikan ilmu falak yang baharu. Balai ini berfungsi sebagai pusat pengembangan ilmu falak dan astronomi termasuk cerapan yang dilaksanakan setiap bulan. Balai Cerap secara rasminya dibina pada 2009 dan beroperasi sepenuhnya pada 2010 seterusnya dirasmikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 2012.
Bilangan tempat cerapan di Selangor yang banyak sebagai keperluan bagi mendapatkan data cerapan hilal di lokasi ufuk berbeza meliputi utara, pertengahan dan selatan Selangor. Selain itu, kerana kedudukannya yang strategik menghadap ufuk barat. Ia merupakan tempat terbenamnya matahari dan bulan dan tiada halangan pada pandangan ufuk cerapan serta kurangnya pencemaran cahaya. Setakat ini, Selangor tiada rancangan untuk menambah lokasi baharu.
Proses Cerapan Anak Bulan
Antara asas pelaksanaan cerapan awal Ramadan dan Syawal dari sudut syarak, ia merujuk kepada panduan yang diterangkan Allah SWT dan junjungan besar Nabi Muhammad kepada kita iaitu al-Quran dan Sunnah. Proses cerapan ini satu kewajipan fardu kifayah yang mesti dilakukan pemerintah dan dilakukan sehingga kini secara berterusan. Bukan sahaja cerapan hilal Ramadan dan Syawal tetapi melibatkan semua bulan-bulan hijrah yang lain. Ketika ini, terdapat tiga lokasi cerapan hilal di Selangor iaitu Baitulhilal Bukit di Malawati, Baitulhilal Bukit Jugra dan Balai Cerap Selangor.
Proses cerapan hilal dilakukan bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Negeri Selangor. Cerapan ini menggunakan beberapa peralatan termasuk teodolit, teleskop dan binokular. Ia peralatan yang seragam digunakan di semua negeri di Malaysia. Kos keseluruhan peralatan bagi proses cerapan hilal sekitar RM10,000 hingga RM50,000. Bagaimanapun, kemudahan peralatan di Balai Cerap Selangor lebih canggih dalam penjejakan hilal yang terletak dalam satu kubah cerapan.
Tarikh, lokasi dan waktu perlaksanaan cerapan hilal ini ditentukan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Namun, pewartaan satu-satu tempat cerapan hilal di Selangor dibuat selepas dipersetujui Majlis Agama Islam Selangor. Ia juga dengan perkenan Sultan Selangor dan diperakui sah oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Teleskop Cerap Anak Bulan
Terdapat kaedah baru dalam proses cerapan hilal iaitu penggunaan teleskop yang dihubungkan dengan kamera ‘Charge Couple Device ‘ (CCD) yang lebih peka dalam mengesan cahaya hilal. Juga penggunaan teleskop radio yang dapat menentu kedudukan hilal secara tepat melalui gelombang radio berbanding kaedah semasa berdasarkan konsep visual.
Penggunaan CCD dan teleskop radio ini mungkin tidak dapat dilihat dengan mata tapi dapat dibuktikan kewujudannya. Bagaimanapun, setiap teknik cerapan perlu disahkan kebolehgunaannya menurut syarak dan disabitkan kenampakannya.
Melihat anak bulan adalah fardu kifayah. Perlu satu pihak bertanggungjawab melihat hilal pada hari rukyah bagi menentukan kenampakan atau ketidaknampakan pada hari tersebut. Walaupun hisab falak dapat menghitung kedudukan hilal secara tepat tetapi syarak menetapkan cerapan hendaklah dilakukan. Rukayah dengan mata bersifat qatie berbanding hitungan yang bersifat zanni.
Qatie bermaksud tepat yang tidak boleh diragui manakala zanni bermakna andaian atau sangkaan
Di Malaysia, kaedah untuk menentukan awal bulan hijrah ketika cerap anak bulan adalah kaedah Imkanur (kedudukan) Rukyah. Kaedah ini meliputi gabungan kedua-dua kaedah iaitu rukyah dan hisab. Melalui Imkanur Rukyah, hilal dianggap boleh kelihatan apabila memenuhi syarat-syarat berikut. Iaitu ketika matahari terbenam ketinggian bulan tidak kurang dari tiga darjah dan jarak lengkung bulan ke matahari tidak kurang dari 6.4 darjah.
Jika syarat kriteria dipenuhi ketika hari cerapan 29 hari bulan hijrah, maka keesokan harinya dikira 1 haribulan hijrah. Jika tidak memenuhi syarat, maka keesokan hari dikira 30 haribulan hijrah. Namun, bagi bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah tetap tertakluk kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.