Dugaan tiap insan itu berbeza-beza. Begitu juga denganku yang mengalami pelbagai dugaan dalam hidup. Begitu juga dengan wanita muda ini yang berkongsi kisahnya.
Pada usia mencecah 34 tahun, aku sudah setahun lebih menggalas title janda. Rasanya semua wanita takut dengan gelaran itu termasuklah diriku. Namun, tiada siapa dapat menghalang takdir. Aku bergelar janda selepas 10 tahun berkahwin dan memiliki dua orang anak yang berusia 9 dan 7 tahun. Mereka di bawah jagaanku.
Dugaan Hubungan Jarak Jauh
Punca perceraian aku dan bekas suami adalah disebabkan hubungan jarak jauh. Aku di Selangor manakala suami di Terengganu. Kerja membuatkan kami terpisah sejak awal kahwin. Aku pernah suarakan hasrat untuk meminta tukar ke negeri Terengganu namun bekas suami halang.
Katanya, sudah elok aku dapat mengajar di negeri kelahiranku. Keluargaku juga dekat saja dan apa-apa masalah aku ada tempat bergantung. Ditambah pula dia juga orang Selangor walau pun bukan sedaerah. Jadi, cadangnya, kami akan menetap di Selangor kelak bila sudah pencen.
Minta Berpoligami
Namun ternyata kami tak mampu menghalang dugaan yang mendatang. Jauh di mata rupanya jauh juga di hati. Kami jumpa tiga minggu atau sebulan sekali. Ia membuatkan hubungan kami makin renggang. Tapi sebagai isteri, tak pernah aku terlintas untuk curang.
Sehinggalah akhirnya bekas suami berterus terang bahawa dia jatuh cinta dengan rakan sekerjanya dan meminta izin untuk berkahwin lagi. Saat itu, tipu andai aku tak sedih. Kami kahwin atas dasar cinta. Aku tak rela bermadu lantas aku meminta dilepaskan secara baik. Dipendekkan cerita, kami berpisah secara baik.
Dugaan Hilang Rakan
Bila berstatus ibu tunggal, aku perasan ramai wanita yang pandang serong pada aku. Jika dulu okay, sekarang tak okay. Kalau berbual dengan suami mereka pun dah dipandang semacam walau pun jiran atau rakan sekerja. Apatah lagi kalau nak minta tolong. Rupanya tak mudah bila bergelar janda. Kita tak ada apa-apa niat pun orang pandang kita lain.
Lelaki pula lain cerita. Tak dinafikan, bila tahu aku solo, ramai yang cuba masuk daun termasuk suami rakan sendiri. Akhirnya aku sendiri terpaksa jarakkan diri dengan isterinya kerana menyampah dengan sikap suaminya itu. Kalau aku tak fikir panjang, mahu aku beritahu isterinya tapi aku tak nak rosakkan rumah tangga orang. Lebih-lebih lagi persahabatan yang terjalin.
Baca juga : Bercinta Dengan Pasangan Introvert Yang Misteri, Betul Ke Ni?
Kenapa Disalah Erti?
Sering kali aku terfikir, kenapa agaknya wanita yang berstatus janda ini sering disalah erti? Aku tak maksudkan seluruh masyarakat, tapi ada segelintir. Kita tak buat apa-apa pun, orang salahkan kita juga. Bila balik lewat dituduh buat kerja tak elok sedangkan kita kerja keras cari rezeki halal. Bila baik dengan lelaki walau pun rakan sekerja, dituduh nak menggoda! Aduh. Serba salah dibuatnya.
Tak dinafikan, ada juga wanita berstatus janda yang gedik atau cuba goda suami orang. Tapi jangan pukul sama rata.
Tapi, yang peliknya kenapa lelaki yang bergelar DUDA tak pula dipandang serong? Saham makin tinggi. Ramai pula kasihan, konon tak ada orang nak tolong jaga makan minum. Habis, ibu tunggal ni? Dah double standard.
Baik Fikir Soal Anak
Rasanya lebih ramai wanita ibu tunggal yang lebih fikirkan soal kehidupannya dengan anak-anak berbanding sibuk nak mengatal dengan lelaki. Lebih baik fikir cara macam mana nak cari rezeki lebih untuk kesenangan dirinya dan anak-anak.
Status ibu tunggal bukan alasan untuk down selamanya.
Lagi pun, tak mudah sebenarnya nak lupakan kepahitan kegagalan rumah tangga yang lalu. Sebab itu ramai janda yang lebih rela hidup sendiri daripada kembali bergelar isteri!