Tiada kertas siasatan dibuka oleh pihak polis susulan dakwaan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh selebriti yang terlibat dalam rakaman program realiti All Together Now Malaysia yang tular baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, setelah semakan dibuat, pihaknya mendapati rakaman program tersebut telah dibuat sebelum arahan PKP 3.0 dikuatkuasakan.
“Tiada sebarang tindakan akan diambil oleh pihak polis kerana program berkenaan dirakam sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedang dikuatkuasakan dan bukannya sewaktu PKP 3.0 seperti yang didakwa oleh orang ramai.
Rakaman sewaktu tempoh PKPP itu difahamkan telah mendapat kebenaran daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) jadi untuk sebarang perkembangan boleh rujuk dengan mereka,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan bahawa program pencarian bakat terbaharu itu terpaksa dihentikan siaran buat sementara waktu sehinggalah siasatan berhubung dakwaan berlakunya pelanggaran SOP selesai.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, rakaman program tersebut telah dilakukan pada bulan Mac lalu di Putrajaya sebelum pelaksanaan PKP 3.0. MKN turut dilaporkan telah mengarahkan agar siasatan dilakukan ke atas penerbitan rancangan tersebut selepas dakwaan pelanggaran SOP tular dalam media sosial yang akan dikendalikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Baca juga : MKN Arah KKMM Siasat Program ’50 Juri’
Terdahulu, program tersebut tular di laman media sosial selepas ramai netizen tidak berpuas hati dengan cara rancangan tersebut yang didakwa dilaksanakan ketika negara sedang dilanda pandemik. Rata-rata netizen berpendapat, program tersebut tidak mematuhi SOP kerana barisan selebriti yang bertindak sebagai juri tidak memakai pelitup muka sepanjang rakaman berlangsung.
Program All Together Now Malaysia yang disiarkan pada setiap hari Ahad pukul 9 malam itu diadaptasi daripada format rancangan popular All Together Now yang berasal dari United Kingdom terbitan BBC One.
Sumber: Kosmo! Online (Eddy Aqmal Mohamed Hamidi)