Penyanyi dan pelakon, Aman Shah Abu Kassim disahkan meninggal dunia pada usia 68 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) sebentar tadi akibat komplikasi jantung. Berita duka itu disahkan pembantu peribadi adik Allahyarham, Amirudin Mokhtar.
“Ya, Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 2.20 petang tadi. Dia terjatuh selepas menjalani pembedahan malam tadi.
“Allahyarham dimasukkan ke hospital tiga hari lepas. Sekarang kami sedang menunggu proses pengurusan jenazah,” katanya.
Sementara itu, pelakon, Lizawati Hamdan yang berada di IJN dan turut mengesahkan perkara terbabit.
“Saya baru melihat jenazahnya sebentar tadi. Allahyarham dimasukkan ke IJN sejak Rabu lalu dan punca kematiannya akibat masalah jantung,” katanya.
Aman amat diingati peminat dengan lagunya Kepulangan Yang Dinanti yang sering dimainkan semasa ketibaan Hari Raya Aidilfitri.
Aman Shah merupakan seorang penyanyi dan pelakon di Malaysia yang mula dikenali dalam bidang seni suara tanah air sejak tahun 1979, Aman Shah dikenali ramai sebagai penyanyi yang popular dengan lagu-lagu berkonsepkan muzik pop.
Aman Shah kemudiannya mengikat kontrak dengan syarikat rakaman EMI mulai tahun 1980 hingga 1987. Allahyarham juga pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Darah Satria. Berita duka tentang Aman Shah meninggal dunia juga disahkan oleh anak sulung Allahyarham, Hadzly kepada Astro AWANI sebentar tadi.