Beberapa pendekatan yang diambil pemerintah Emiriah Arab Bersatu (UAE) kebelakangan ini, langsung tidak mengendahkan sentimen dan kepentingan dunia Arab, apatah lagi dengan nasib umat Islam sejagat.

Pengumuman jalinan hubungan diplomatik antara Negara Teluk yang kaya raya itu dengan regim Zionis dianggap satu tindakan melampau yang sama sekali bercanggah dengan kesepakatan majoriti masyarakat Islam selama yang menentang kewujudan negara Israel di bumi rantau berkenaan sejak 72 tahun lalu.

Apatah lagi ia dibuat ketika rejim Zionis sedang merancang untuk merampas 30 peratus lagi tanah yang didiami penduduk Palestin di Tebing Barat termasuk Lembah Jordan.

Meskipun ia bukan perintis kepada hubungan berkenaan kerana sebelum ini, Presiden Anwar Sadat dari Mesir dan Raja Hussein dari Jordan telah memulakan hubungan diplomatik dengan Tel Aviv, perkembangan terbaru membuka wajah sebenar pemimpinnya.

Ia bukan perkara yang mengejutkan kerana sebelum ini UAE telah lama membuka pintu dengan menyambut lawatan menteri, membenarkan atlet serta menjalinkan kerjasama perdagangan dengan syarikat-syarikat dari Israel.

Bagi pencatur kuasa di Asia Barat, Amerika Syarikat, keputusan UAE menjadi satu jaminan lagi dalam usahanya “mengukuhkan” pengaruh Israel di rantau berkenaan.

Presiden Donald Trump menjadi pemimpin dunia paling gembira dengan perkembangan itu kerana segala dakyahnya untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan seterusnya menaja ‘Deal of the Century’ beransur-ansur diterima pemimpin Arab.

Keterujaan Trump disuarakan kepada media dan beliau mengumumkan untuk menawarkan diri untuk untuk menjadi tuan rumah pada sidang kemuncak untuk menandatangani perjanjian damai yang dijangka akan dibuat dalam tempoh tiga minggu lagi.

Perkembangan itu mengundang rasa kurang senang Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan ‘mungkin’ menggantung hubungan dengan selepas negara itu menyatakan persetujuan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Ankara sebelum ini mengecam perjanjian tersebut dan menganggapnya sebagai mengkhianati perjuangan rakyat Palestin.

Apa yang menjadi tanda tanya sekarang adalah nasib lebih 100,000 rakyat Palestin yang berlindung di UAE kerana sejarah lama yang pernah menimpa mereka di negara Teluk mungkin akan berulang kerana kebanyakan mereka tidak pernah bersetuju dengan sebarang bentuk kewujudan hubungan diplomatik dengan Israel.

Pengukuhan pengaruh Yahudi ke atas UAE dilihat memberi kesan kepada rakyat Palestin yang menjadikan negara berkenaan lubuk rezeki yang mana sebahagian besar pendapatan disalur ke Tebing Barat dan Gaza.

Ramai yang tidak tahu, lebih 400,000 rakyat Palestin yang berada di Kuwait pernah diusir apabila pemerintah negara itu kembali semula ke tampuk kuasa selepas pendudukan tentera Iraq berjaya diusir keluar kerana pendirian Yasser Arafat yang memihak kepada Presiden Saddam Husein.

Kini dengan perkembangan yang berlaku, ia telah menampakkan petanda yang sama.

Secara diam-diam mereka yang lantang bersuara telah diusir dan dipenjara. Pihak berkuasa menggunakan alasan mudah, mereka yang berkenaan telah mencabuli urusan dalaman UAE.

Susulan perkembangan yang berlaku TRT World dalam laporannya mendakwa penduduk Palestin yang berada di sana mengambil pendekatan mendiamkan diri bagi mengelak dari ditimpa nasib buruk.

Hakikatnya, keputusan yang dibuat pemerintah UAE itu, bukan perkara pelik dan baharu.

Ketika satu dunia Islam menyuarakan bantahan terhadap penutupan wilayah dan kekerasan yang dilakukan ke atas orang Islam di Kashmir, pemerintahnya langsung tidak mempedulikan mereka.

Sebaliknya, Narendra Modi Perdana Menteri India diberi sambutan dan disanjung sebagai seorang yang banyak budi dengan dikurnia Order of Zayed, anugerah awam tertinggi UAE, pada 24 Ogos 2019.

Ia disampaikan sendiri oleh Putera Mahkota  Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan (MBZ).

Pengiktirafan itu dilihat sebagai usahanya membalas budi India yang menjadi negara ketiga terbesar pengimport minyak mentah dunia, yang menjadi tonggak utama ekonomi negara Teluk.

Baca juga : Sindiket Badal Haji, Sudah-Sudahlah Cari Mangsa dan Tipu Lagi

Ia diberikan ketika hubungannya sedang “masam manis” dengan Pakistan, sebuah negara Islam yang menjadi seteru tradisi New Delhi.

Selepas UAE berjaya dilobi dan ditarik hidung oleh Zionis, apakah Dinasti As Saud yang memegang tampuk kuasa monarki di Arab Saudi akan menurut jejak?

Khabar angin telah lama tersebar, hanya masa yang akan menentukan. – SM

1 Comment

Leave a Reply to Laila Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge