Ternyata apa yang digembar-gemburkan sebelum ini yang menggambarkan prestasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bakal terjejas akibat pengeluaran RM101 bilion bagi tujuan i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra adalah meleset, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Dengan jumlah aset KWSP terus berkembang mencecah RM1 trilion dan dividen yang dianggarkan mencecah enam peratus, sewajarnya pengeluaran kali terakhir RM10,000 yang amat dituntut dan diharapkan oleh rakyat dipenuhi.
Anggaran kira-kira RM25 ke RM30 bilion kesan pengeluaran terakhir tidak akan menjejaskan aset pelaburan KWSP sebanyak RM983 bilion.
Malah prestasi pasaran modal dan kewangan yang baik juga pastinya mampu memberikan pulangan balik kepada dana KWSP yang dikeluarkan dalam jangka masa pendek.
Pengeluaran kali terakhir ini juga wajar kerana dapat membantu beban rakyat yang terhimpit kesan pandemik COVID-19 selain memenuhi Akta KWSP.
Pengeluaran kali terakhir ini juga penting bagi memenuhi keperluan mendesak rakyat yang sememangnya susah, gelisah dan amat terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan pelbagai komitmen dan hutang yang tertunggak akibat pandemik.
Bahkan ia bertepatan dengan roh dan semangat Akta KWSP 1991 di bawah Seksyen 54 (6) (k)(l)(m) yang menyatakan pengeluar adalah dibenarkan kepada “ahli Kumpulan Wang itu yang memerlukan pembiayaan untuk menambah pendapatannya bagi maksud kelangsungan hidup”.
Baca juga : Pengeluaran RM10,000 One-Off KWSP Boleh Dilakukan Dengan Syarat – Pakar Kewangan
Untuk rekod, Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada 27 Ogos tahun lalu menggesa kerajaan mesti menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan mereka.
Ini termasuklah berkaitan pengeluaran kali terakhir i-Citra RM10,000 secara ‘one-off’.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam hal berkenaan pernah menegaskan bahawa desakan pengeluaran ‘one-off’ wang KWSP RM10,000 buat kali terakhir bukan isu politik, tetapi isu berkenaan kepentingan rakyat yang masih dalam kesusahan berdepan kesan ‘long COVID’ ekonomi.– UMNO ONLINE