Oklahoma jail baby shark

Tiga bekas banduan di Oklahoma, Amerika Syarikat memfailkan saman terhadap seorang polis bernama Tommie Johnson III dan tiga pegawai penjara kerana memaksa mereka mendengarkan lagu ‘Baby Shark’ berulang kali di dalam Penjara Daerah Oklahoma.

Daniel Hedrick, Joseph “Joey” Mitchell dan John Basco memfailkan tuntutan hak sivil pada Isnin lalu di mahkamah persekutuan Oklahoma City.

Peguam mereka menyifatkan taktik disiplin tersebut sebagai “penyeksaan”.

Siasatan jenayah tahun lalu mendapati sekurang-kurangnya empat banduan telah dikenakan tindakan disiplin di bilik lawatan peguam penjara itu pada November dan Disember 2019. Banduan-banduan tersebut dipaksa mendengar lagu kanak-kanak popular itu secara berterusan dalam jangka masa yang agak lama.

Oklahoma County Jail

Para banduan dipaksa berdiri dengan tangan digari di belakang mereka dan diikat pada dinding sepanjang masa. Menurut laporan tuntutan saman tersebut, seorang bekas banduan bernama Mitchell ditinggalkan dalam kedudukan berdiri di bilik lawatan peguam penjara tersebut selama tiga hingga empat jam.

“Lagu itu dipasang sangat kuat sehingga bergema di sepanjang lorong,” kata Mitchell

Melalui hasil siasatan, dua bekas pegawai tahanan dan penyelia mereka didakwa atas pertuduhan salah laku kejam dan konspirasi terhadap banduan.

Perbicaraan juri dalam kes jenayah ditetapkan pada Februari tahun hadapan.

Baby Shark Oklahoma

Kes sivil ini boleh mengakibatkan cukai yang lebih tinggi kepada pemilik harta di daerah Oklahoma jika bekas banduan berkenaan memenangi tuntutan saman ini atau pesuruhjaya daerah bersetuju untuk menyelesaikan kes ini.

Dalam tuntutan saman berkenaan, peguam menjelaskan memasang lagu ‘Baby Shark’ berulang kali telah dikesan sebagai alat untuk menyeksa.

Sebuah bandar di Florida, West Palm Beach sebelum ini memasang lagu ‘Baby Shark’ dengan kuat di pusat acara untuk membanteras gelandangan dari tidur di pusat tersebut pada 2019.

Sumber : The Oklahoman

3 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge