Peguam pemerhati yang dilantik Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kes melibatkan remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella, melawat remaja itu di sebuah rumah kebajikan di sini hari ini.

Mereka ialah Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Datuk Ikbal Salam.

Baljit berkata lawatan bagi melihat keadaan Bella di pusat jagaan tersebut adalah yang pertama semenjak dilantik sebagai peguam pemerhati. Beliau berkata Bella dilihat dalam keadaan baik, sihat dan kecederaan yang dialami semakin sembuh.

“Kami amat gembira melihat keadaan adik Bella kerana perhatian bagus telah diberikan. Kami melakukan tanggungjawab pertama iaitu melihat keadaan adik Bella di sini dan langkah seterusnya kita akan memainkan peranan sebagai pasukan peguam pemerhati.

“Kami juga berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera dengan berlunaskan undang-undang. Namun ini terpulang kepada jadual mahkamah untuk segerakan perkara sebegini,” katanya kepada pemberita.

Pada 20 April lepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan peguam yang dilantik oleh Tunku Ismail untuk bertindak sebagai peguam pemerhati dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda yang didakwa mengabai dan menganiaya Bella.

Kes Bella tular di media sosial tahun lepas, selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.

Susulan itu, Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Wanita itu, yang kini dibicarakan atas pertuduhan tersebut didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes itu bersambung pada 30 Mei ini. –AlHijrah Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge