Site icon Geng Borak

Berkorban Untuk Negara, Semarakkan Semangat Patriotik

Tentera Malaysia

Bulan Ogos dan September pada setiap tahun membawa makna yang sangat besar kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kita meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Pada detik ini juga, kita menginsafi segala sumbangan dan semangat berkorban untuk negara daripada generasi terdahulu dalam membebaskan negara tercinta ini dari cengkaman penjajah.

Kita sedang berada dalam bulan yang sangat penting dan menjadi masa yang terbaik untuk kita bermuhasabah diri tentang sejauh mana kita sedia berkorban untuk agama, bangsa dan negara tercinta ini.

Bila bercakap tentang pengorbanan kepada negara, penulis teringat kata-kata hebat bekas Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy iaitu, “jangan tanya apa sumbangan negara kepada anda tetapi tanyalah apa sumbangan anda kepada negara.” Memasuki usia kemerdekaan yang ke-63 tahun, negara ini telah memberikan segala-galanya kepada kita.

Misalnya, kita dapat meneruskan kehidupan seharian dengan tenang, selamat dan aman sebagai sebuah masyarakat yang bebas dan berdaulat. Kita tidak lagi dijajah oleh mana-mana penjajah dan sudah mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara membangun dan maju yang lain. Maka, timbul persoalan apa pula balasan, sumbangan dan pengorbanan kita kepada negara?

Perlukan pengorbanan

Ironinya, sudah tiba masanya untuk rakyat bermuhasabah diri dan melakukan sedikit pengorbanan untuk negara tercinta ini mengikut kemampuan diri masing-masing. Pengorbanan di sini tidaklah bermaksud sumbangan wang ringgit semata-mata tetapi boleh turut menyumbang dari pelbagai aspek lain bagi membantu mengekalkan kemerdekaan, kebebasan, kedaulatan, keamanan, keselamatan dan kesejahteraan yang sedia ada dan sedang dinikmati sekarang. Nampak mudah tetapi percayalah tidak ramai yang sanggup dan bersedia melakukannya.

Semasa negara kita sedang diuji dengan serangan pandemik C0VID-19, kita dilihat berjaya “memaksa” diri kita untuk melazimi kebiasaan baharu sebagai cara dan gaya hidup terkini. Pada ketika ini, negara meminta kita mengorbankan segala ego dan sikap mementingkan diri yang ada demi menjaga dan memelihara kesihatan dan keselamatan seluruh anggota masyarakat.

Kita diminta mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti memakai pelitup muka di kawasan yang telah ditetapkan, kerap mencuci tangan, menggunakan pensanitasi tangan serta amalkan penjarakan fizikal agar dapat memutuskan rantaian penularan wabak. Tetapi, malangnya masih ada yang degil dan tidak mahu mematuhi SOP tersebut sehingga mula mencetuskan beberapa kluster baru. Maka persoalannya, apakah berat sangat nilai pengorbanan yang negara tuntut dari kita sekarang untuk menangani wabak ini?

Baca juga : Didik Jiwa Berkorban Walau Baru Bertatih

Perpaduan masyarakat majmuk

Perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini adalah formula mujarab yang berjaya meletakkan Malaysia di peta dunia pada kedudukan yang cukup membanggakan. Ia juga menjadi faktor utama yang membolehkan negara mencapai kemerdekaan daripada penjajah pada 1957.

Namun, mutakhir ini kita dapat lihat terlalu banyak perbuatan dan tingkah laku segelintir rakyat kita berbentuk provokasi perkauman yang mula menganggu gugat jambatan perpaduan yang ada. Sudah ada yang lupa keperluan untuk mematuhi Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta kontrak sosial yang menjadi asas pembentukan negara serta panduan hidup rakyat selama ini.

Lantas kelompok yang ada kepentingan peribadi dan agenda tersendiri ini mula mempertikai, mempersoal dan memperdebatkan isu-isu sensitif seperti hak keistimewaan sesuatu kaum serta kedudukan agama dan bahasa rasmi negara secara terbuka. Ini mula mencetuskan kegelisahan dan kebimbangan dalam kalangan anggota masyarakat. Semangat sanggup berkorban untuk negara, nilai toleransi, persefahaman dan kerjasama yang didukung selama ini umpama hilang dalam sekelip mata.

Persoalannya, apakah kita tidak boleh melakukan sedikit pengorbanan dengan bertoleransi, bersikap lebih bertanggungjawab dan memahami sensitiviti rakyat demi mengekalkan perpaduan yang ada?

Kita berada di bulan kemerdekaan dan kerajaan telahpun melancarkan Kempen Kibar jalur Gemilang. Malangnya, baik premis kerajaan, perniagaan, rumah mahupun kenderaan yang mengibarkan Jalur Gemilang masih tidak begitu banyak. Jangan kita lupa betapa Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan negara kita dan apakah terlalu mahal harganya sehingga kita tidak boleh membeli dan mengibarkannya?

Kenapa terlalu sukar untuk menzahirkan rasa cinta dan sayang kepada negara sendiri? Ingatlah, membeli dan mengibarkan Jalur Gemilang adalah cara yang paling mudah dan murah untuk menzahirkan semangat patriotisme kita. Maka persoalannya, apakah kita tidak boleh mengorbankan sedikit wang ringgit untuk membeli dan mengibarkan Jalur Gemilang?

Baca juga : Kronologi dan Sejarah Jata Negara Malaysia Yang Perlu Dipertahankan

Gambar fail

Berkorban untuk negara

Persekitaran ekonomi dunia semasa sangat tidak memberangsangkan dan negara kita juga turut terkena tempiasnya. Para peniaga sedang bergelut untuk meneruskan perniagaan, ramai juga yang angkat bendera putih dan menutup operasi. Manakala bilangan rakyat yang diberhentikan kerja juga semakin bertambah dan kadar pengangguran terus meningkat. Kita bersyukur kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memacu ekonomi rakyat dan negara.

Dalam kedaaan yang begitu rumit ini, negara mengharapkan pengorbanan rakyat dari segi menyokong dasar dan inisiatif kerajaan di samping membantu merancakkan ekonomi domestik. Antara yang kita boleh lakukan ialah, membeli produk keluaran tempatan dan bagi yang mampu pula bantulah merancakkan industri pelancongan domestik.

Dengan ini, ekonomi rakyat akan mula meningkat, malah peluang pekerjaan juga akan kembali bertambah. Apakah kita sanggup berkorban untuk negara dan mengorbankan sedikit gaya hidup mewah dengan menyokong produk tempatan serta industri pelancongan domestik?

Jujurnya, banyak lagi pengorbanan yang boleh kita lakukan demi negara tercinta ini yang akhirnya membolehkan kita terus menikmati kehidupan yang aman, selamat dan sejahtera. Jadi marilah kita bermuhasabah diri dan menilai dengan jujurnya apa pengorbanan yang telah kita lakukan selama ini kepada negara serta apa pula yang boleh kita lakukan selepas ini. `

Tuntasnya, korbankanlah sedikit ego, kepentingan dan kemahuan kita demi negara tercinta ini. Bersama-samalah kita sanggup berkorban untuk negara Malaysia agar negara terus aman dan makmur sepanjang masa. Ingat, negara kita adalah tanggungjawab kita sendiri.

BERNAMA – Noor Mohamad Shakil Hameed (UPM)

Exit mobile version