Ramai ibu bapa yang akan menolak jika anak teruna mereka membawa pulang pilihan hatinya yang berstatus ibu tunggal, terutama ibu mereka. Kadang-kala seorang ibu itu sanggup memberi kata-dua, pilih ibu atau ‘janda itu’, tidak kurang ramai yang sanggup berpatah arang berkerat rotan jika anak teruna mereka memilih janda ibu tunggal sebagai pasangan mereka.
Bagi mereka, jika teruna, jodohnya mestilah juga dengan anak dara, sedangkan hakikatnya ajal maut jodoh pertemuan ditentukan Allah SWT. Mungkin mereka juga terlupa, isteri pertama junjungan besar Rasulullah SAW iaitu Khadijah r.ha. juga seorang janda, yang pernah mendirikan rumahtangga, sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW.
Jodoh pertemuan yang diaturkan adalah sesuatu yang sangat unik. Manusia hanya mampu merancang dan hakikatnya Allah juga yang menentukannya. Memilih ibu tunggal sebagai pasangan hidup tidaklah salah, namun anda perlu bersedia dari aspek fizikal dan mental. Selain perlu mengawal emosi, anda juga perlu melalui satu fasa baru dalam perhubungan iaitu sudah mempunyai anak segera dan jika tidak tanganinya dengan betul, anda mungkin akan berasa tertekan.
Jika anda mengalami konflik sebegini, mungkin tips di bawah dapat membantu meleraikan masalah yang dihadapi.
1 – Masa bersama
Bila anda memilih ibu tunggal yang sudah mempunyai anak, bermakna anda harus mengorbankan masa kerana agak mustahil anda dapat berduaan selalu kerana mereka juga mempunyai komitmen terhadap anak-anak, khususnya jika anak masih kecil. Sebagai ibu, sudah tentu mereka akan terperangkap antara cinta dan anak, tetapi umumnya ramai ibu yang tidak sanggup membuang anak sendiri semata-mata kerana cinta baru yang ditemui. Jadi anda harus bersedia dari aspek ini. Yakinlah bahawa ia adalah pilihan yang tepat.
2 – Bersedia atau tidak
Inilah pokok persoalan utama yang harus anda hadapi. Ia bukan berkaitan dengan tentangan yang mungkin bakal anda hadapi dari keluarga, sebaliknya diri anda sendiri. Mungkin pada dasarnya anda mencintainya, tetapi agak sukar untuk anda menerima dirinya kerana anda perlu berkongsi dengan anak-anaknya juga. Tepuk dada, tanyalah selera. Kalau anda bersedia untuk mengharungi semua dugaan dalam memilih hidup, maka teruskanlah niat anda untuk memilih ibu tunggal sebagai calon hidup anda.
3 – Soal anak-anak
Ini antara soal berat yang harus anda tangani dengan sempurna. Seorang ibu yang baik, tidak akan membuang darah dagingnya sendiri semata-mata kerana cinta, kecuali mereka yang tidak waras atau tidak berkemampuan membela anak-anak sendiri. Malah, anda juga harus berani menerima hakikat bahawa anaknya mungkin tidak sama dengan anak anda sendiri dan sudah tentu, kasih sayang itu akan berbelah bahagi.
Anak-anak juga akan meningkat remaja dan anda perlu berhadapan dengan satu situasi jika mereka tidak dapat menreima anda sebagai pengganti bapa mereka. Semakin membesar anak-anak ini, pemikiran mereka juga berbeza dan mereka mungkin tidak dapat menghormati anda sebagai bapa tiri. Ibu tunggal biasanya tidak memerlukan anda sebagai pengganti ayah kepada anak-anak mereka, sebaliknya sebagai lelaki yang mampu mendampingi mereka dan bertindak sebagai pelindung di saat mereka memerlukan kasih sayang.
Jadi walaupun anda melihat soal anak adalah keperluan utama, tetapi ia tidak memberi makna buat ibu tunggal kerana mereka biasanya mampu menjaga anak-anak dengan sempurna.
Baca juga : Jodoh Adalah Cerminan Diri, Jika Salah Betulkan, Bukan Tinggalkan
Artikel Berkaitan : 10 tanda hubungan toksik, teruskan atau masih setia?
4 – Risiko bekas suami
Lazimnya bukan semua bekas suami merelakan bekas isterinya bahagia kerana ada kalanya perceraian bukan kerana saling tidak menyukai, sebaliknya disebabkan masalah lain. Malah mungkin ada dendam di jiwa dan inilah risiko-risiko yang harus anda hadapi apabila anda memilih ibu tunggal sebagai pilihan hati.
5 – Keluarga sendiri
Ia juga satu masalah kerana tidak semua ibu bapa boleh menerima menantu terdiri dari ibu tunggal dan sudah punya anak. Anda harus berani meyakinkan ibu bapa bahawa pilihan anda itu tepat dan anda juga harus bersedia menghadapi apa saja cabaran yang mendatang.