Umpama pepatah ‘rumah siap pahat berbunyi’, filem pecah panggung, Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang dilaporkan mengaut RM18 juta selepas lima hari ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei, tidak terlepas kritikan di sebalik sambutan hangat pencinta filem tempatan.

Sebaik poster dan treler filem arahan Syamsul Yusof itu dipromosikan hingga tular, kedengaran suara menghentam dan membantah tayangan filem yang mengangkat kisah pahlawan tersohor, Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau lakonan Datuk Adi Putra ini.

Tidak kurang juga yang membandingkan kualiti filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan dengan karya Hollywood, selain mempersenda nilai produksi dan kesalahan dalam penggunaan props serta dialog filem ini.

Malah, poster yang menampakkan sebilah keris diselit di pinggang watak Haji Muhammad lakonan Datuk Jalaluddin Hassan dikritik sebuah persatuan budaya dan adat yang mendakwa senjata itu berasal dari Jawa, bukan Tanah Melayu.

Filem Mat Kilau

Menjawab kritikan itu, penerbit dan Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali, berkata filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan dibikin dengan merujuk kepada waris Allahyarham Mat Kilau bagi mendapatkan maklumat dan kesahihan peristiwa serta maklumat lain mengenai pahlawan negara itu.

“Kami jumpa waris Mat Kilau, Dr Baharin Ibrahim yang bukan calang-calang orang. Beliau memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang sukan dan pernah menjadi hakim pertandingan silat antarabangsa.

“Malah, penulis skrip bertemu Tan Sri Sallehuddin Mohammed yang juga bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Penasihat Persatuan Indera Gajah Pahang bagi menyokong pembikinan filem ini.

“Kami mengangkat nama baik arwah. Saya yakin keturunan Mat Kilau bersyukur kami mengangkat ketokohannya dan ramai yang sedekah al-Fatihah kepada arwah,” katanya kepada BH Online.

Mengenai isu keris, Abdul Rahman tidak melatah, sebaliknya, menjelaskan keris sebagai senjata simbolik umat Melayu Nusantara.

“Kalau kaji genetik sama sahaja, tiada isu pun. Ini juga sedikit silap di mana mungkin terlepas pandang.

“Hakikatnya, filem Hollywood pun ada cacat cela. Masing-masing ada pendapat berbeza dalam hal ini,” katanya ditemui pada malam gala filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Abdul Rahman menambah, filem berkenaan dibikin atas tujuan memberi hiburan bermanfaat.

“Jadi, masalah kecil berbangkit (seperti isu keris) tidak jadi masalah,” katanya.

Abdul Rahman bersyukur selepas 15 tahun, usaha menghasilkan filem yang membangkitkan rasa cinta kepada tanah air tercapai dan mendapat sambutan baik penonton.

Malah, kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada malam gala filem berkenaan di Petaling Jaya, baru-baru ini membuktikan hasil kerja anak tempatan mendapat perhatian pelbagai pihak.

“Saya sangat menghargai dan mengucapkan terima kasih Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kerana menyokong dan membantu menjayakan projek filem ini dari awal lagi sehingga akhir.

“Kehadiran Pengerusi FINAS, Senator Datuk Seri Zurainah Musa dan Ketua Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim membuktikan komitmen agensi itu dalam memajukan industri perfileman negara.

Baca juga : Amalan Mandi Embun Mat Kilau

Pelakon Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan

“Filem yang baik boleh menjadi medium pembangunan dan mampu mengharumkan nama negara.

“Dalam hal ini, Studio Kembara sedia membantu mengangkat agenda nasional pada masa akan datang dengan penghasilan produk yang mengambil nilai rakyat Malaysia,” katanya.

Abdul Rahman berkata, pemilihan Mat Kilau sebagai tokoh yang diangkat kisahnya ke layar perak dianggap tepat.

“Mat Kilau menampilkan contoh sifat kelelakian yang sentiasa diperlukan setiap zaman kerana berpegang kuat kepada agama, budaya Melayu, berakhlak baik, cintakan tanah air, berani dan sedia berkorban.

“Arwah (Mat Kilau) tokoh negara yang diiktiraf. Kehebatan dan sejarah perjuangannya tidak boleh dipertikaikan. Malah, ada dokumentari British yang membuktikan kekuasaan dan kebangkitannya,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata, tidak semua perkara dapat diceritakan dalam filem berkenaan.

“Kita tidak boleh ceritakan semua perkara. Ada lebih 30 pengajaran dalam filem ini.

“Tetapi apa sifat wataknya sendiri sangat kuat dengan pegangan agama. Arwah Mat Kilau adalah pejuang Islam sebenar yang mempertahankan tanah air, bukan pemberontak seperti dilabelkan British dalam buku sejarah.

“Walaupun kuasa British besar ketika itu, arwah mampu menerobos psikologi orang Melayu untuk sama-sama bangkit mengalahkan kubu kuat mereka.

“Arwah menyuntik keyakinan bangsa sendiri dan jangan dibuli pendatang tidak diundang,” katanya.

Mengenai hasil kerja Syamsul yang mengambil alih kerja pembikinan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan selepas lama tergendala, Abdul Rahman bersyukur pengarah itu dapat menghayati apa yang mahu sampaikan penerbit.

“Sebelum menggunakan khidmat Syamsul, kami cerita apa yang mahu dibuat termasuk semangat yang ingin diterapkan dalam naskhah itu.

“Pengarahan Syamsul meninggalkan kesan, selain dibantu pelakon hebat,” katanya.

Sementara itu, Syamsul optimis dengan hasil kerjanya itu.

“Saya tahu akan ada segelintir penonton Melayu kurang senang dengan beberapa dialog dan babak dalam filem ini.

“Saya sengaja mempersembahkan sedemikian kerana itulah hakikat sebenar dan semangat perpaduan Melayu yang kian pudar hari ini.

Adi Putra Syamsul Yusof

“Kepada yang mungkin tidak suka dengan filem ini, jangan pula disalahkan penulis asal kerana skrip asal dengan 90 peratus jalan cerita dan dialog, diolah saya dan Rizal Ashraf.

“Rombakan besar skrip dibuat untuk mengikut kehendak saya sebagai pengarah dan penulis. Semoga filem ini memberi manfaat kepada kita semua, Insya-Allah,” katanya.

Syamsul menghargai penonton yang boleh ‘membaca’ dan menilai apa yang cuba dipersembahkan dalam filem yang menelan bajet RM8 juta itu.

“Kepada yang rasa dan nampak metafora perjuangan Melayu yang cuba disampaikan, anda adalah sasaran khalayak saya,” katanya.

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan diterajui Adi yang diberi tanggungjawab menghidupkan watak pahlawan Mat Kilau.

Filem itu disokong bintang hebat termasuk Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As’ari (Yassin).

Tidak ketinggalan Datuk Rahim Razali, Namron, Shaharuddin Thamby, Ellie Suriaty, Farah Ahmad dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

Filem Mat Kilau dibikin dalam suasana 1892 ketika kolonial British menduduki tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang Melayu.

Tidak membiarkan kebiadapan British di bumi Pahang berleluasa, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabatnya bangkit menentang British.

Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan menyebabkan British mengalami tekanan dan kerugian hingga berlakunya pertempuran sengit. – BH Online

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge