Site icon Geng Borak

Gerakan #RasuahBusters : Ayuh Bina Malaysia Yang Lebih Baik

Rasuah busters logo

Assalamualaikum wrt wbh & Salam Sejahtera, Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk bergabung bersama kami di dalam Gerakan #RasuahBusters dan menjadi agen perubahan di dalam masyarakat.

Apakah #RasuahBusters

#RasuahBusters ialah sebuah kempen untuk membanteras rasuah di Malaysia –  rasuah, peras ugut, kronisme, nepotisme, memberi sogokan untuk mendapatkan perlindungan, salahguna kuasa, suapan dan penyelewengan dana. Ini termasuk rasuah besar atau kecil, konvensional atau tidak, secara terbuka mahupun tertutup. 

Kenapa kita perlu banteras rasuah?

Rasuah memberi kesan buruk kepada masyarakat dan perniagaan.  Sumber ekonomi tidak diuruskan dengan baik.  Orang yang salah dan tidak layak mendapat peluang, pekerjaan atau kuasa. 

Produktiviti bermakna menggunakan sumber paling sedikit untuk mendapatkan hasil yang terbaik.  Rasuah menghalang produktiviti berlaku kerana ia mendorong pembaziran terjadi (sumber yang berlebihan digunakan).  Apabila orang yang salah mendapat pekerjaan, kesannya produk akhir atau khidmat yang diberikan bukanlah yang terbaik, malah tidak mencapai kualiti yang diharapkan. 

Apabila rasuah disogokkan, dan orang yang tidak layak diberikan projek, semua orang rugi, termasuk yang menerima sogokan.  Kesannya adalah pengurangan kualiti ke atas projek itu sendiri.  Penerima suapan rasuah tidak akan melakukan kerja mengikut piawaian yang sepatutnya, kerana kepentingan mereka bukan lagi kepentingan awam tetapi diri sendiri.

Ketika kejujuran hilang dan rasuah berleluasa di dalam Negara ini, setiap warga Malaysia berada dalam kerugian. Kita tidak mahu perkara ini terus berlaku.  CUKUP, CUKUP SUDAH!

Kita perlukan perkhidmatan moden dan tahap kehidupan yang lebih baik. Kita perlukan kemudahan perubatan setaraf dunia dinikmati oleh rakyat Malaysia.  Kita hasratkan infrastruktur yang mantap dan cekap sebagai sistem sokongan ke arah kehidupan yang lebih unggul,

Namun, semua impian kita telah musnah oleh rakusnya Rasuah!

Kita inginkan kemudahan yang lebih baik; sekolah, jalanraya, hospital, pejabat, kedai, perumahan.  Kita impikan kualiti pengajian yang lebih baik di institusi pendidikan tinggi di mana anak-anak kita boleh berkembang maju setelah mereka menerima ijazah, mendapat kerja yang baik dengan pendapatan bagus.  Kita inginkan peningkatan untuk bergerak ke hadapan dengan masa hadapan yang bersinar.

Tetapi rasuah mencuri semua harapan ini dari kita!

Pada tahap yang lebih dalam, rasuah adalah amat bertentangan dengan kepercayaan, keyakinan dan nilai moral kita.

Kita perlu sedar, walau masyarakat boleh membina institusi, merangka peraturan dan undang-undang mencegah rasuah, namun pada akhirnya ia terpulang kepada diri kita sendiri.

Di dalam kita mengatur strategi menggempur rasuah, kita perlu fokus kepada diri kita juga.  Kita perlu saling memberikan keyakinan bahawa rasuah ini boleh meranapkan semua yang kita ada dan impikan pada akhirnya.  Kita perlu bertegas mengingatkan pemimpin bahawa kita inginkan pembangunan tanpa rasuah dan pada masa yang sama kita perlu berikrar bahawa kita tidak akan tunduk pada apapun atas nama rasuah, hatta untuk mengelakkan saman jalanraya!

Kita boleh lakukannya!  Kita ada kebolehan dan keupayaan untuk membina diri yang lebih baik, dan Malaysia yang lebih sejahtera!

Kitalah #RasuahBusters! Kami perlu anda untuk bersama.  Bersama kita berganding bahu membina hati nurani Negara ini.

Apakah pendekatan kami? 

Kompas kami adalah Rukun Negara, Perlembagaan Persekutuan dan nilai-nilai yang dikongsi bersama di dalam budaya dan kepercayaan beragama. 

Sebagai ejen perubahan, panduan berikut menjadi etika dan pegangan Gerakan #RasuahBusters

ETIKA Gerakan #RasuahBusters

  1. Berbudi dan berihsan sebagai tindakan terawal dalam mencari penyelesaian
  2. Tidak mudah menghukum dan semua orang adalah tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya
  3. Niat tidak membenarkan cara. Proses adalah sama pentingnya dengan tujuan 
  4. Menggunakan kata-kata positif dan tidak bersikap kasar
  5. Sentiasa berfikir ke hadapan dan menggunakan hikmah kebijaksanaan dalam mempertimbangkan kemaafan sekiranya bersesuaian serta bersyarat

Siapakah #RasuahBusters?

Kami, anda dan saya adalah gabungan pihak yang berkemahuan dan bersedia dengan perubahan ini. Sama ada individu atau pun dalam bentuk kumpulan. 

Gerakan ini mengambil pendekatan desentralisasi iaitu Pasukan Pusat Rasuah Busters (PPRB) di peringkat pusat bertindak sebagai pemula. PPRB bertindak membentuk kesedaran dan penyediaan material asas, kepakaran, skil dan pengetahuan berkaitan bagi memulakan dan memperkembangkan gerakan #RasuahBusters ini.

#RasuahBusters membantu menyusun asas sikap serta tingkah laku yang diperlukan bagi mewujudkan budaya positif untuk mengelakkan pengambilan dan pemberian rasuah. Kami juga berusaha dalam bentuk kerangka yang lebih besar untuk membantu Negara melalui proses dan struktur penting yang mendatangkan impak untuk jangka masa yang panjang. 

Anda juga boleh menjadi sebahagian dari #RasuahBusters dengan MULA bertindak sebagai: 

  1. Individu yang mewakili kepercayaan anda sendiri 
  2. Keluarga anda.
  3. Komuniti sekitar anda – kumpulan rakan-rakan, sekolah, kelab-kelab, di pejabat, qariah atau di mana sahaja.
  4. Tempat Kerja sama ada di badan kerajaan mahupun bukan kerajaan – contohnya ketua boleh melancarkan inisiatif #RasuahBuster dan memulakannya di dalam organisasi masing-masing dan mengerakkan Tim #RasuahBusters di tempat kerja 
  5. Kumpulan sosial ataupun politik  –Badan-badan NGOs, NPOs, parti politik, kumpulan-kumpulan tertentu dan lain-lain lagi

* Jangan lupa untuk merujuk kepada Panduan #RasuahBusters, sebagai sistem operasi standard tingkahlaku kita 

Bila, di mana, dan Bagaimana kita ingin memulakan Gerakan #RasuahBusters? 

SEKARANG!

  1. Bermula dengan berjanji dengan diri sendiri bahawa kita akan berusaha sedaya upaya untuk tidak mengambil atau pun menerima rasuah seumur hidup kita;
  2. Tegas dan nyatakan pendirian anda dan lakukannya di hadapan keluarga dan sahabat handai anda; 
  3. Bina Pasukan #Rasuah Busters anda di dalam kumpulan sosial anda yang tersendiri, sama ada secara langsung mahu pun maya. Namakan Pasukan Rasuan Busters anda contohnya #RasuahBustersGangLamaPg, #RasuahBustersKeluargaMamat, #RasuahBustersFrenz4Life  dan lain-lain lagi. 
  4. Jemput keluarga dan rakan-rakan anda untuk Bersama dengan berkongsi surat ini dengan mereka. 
  5. Kongsi dan hasilkan bahan-bahan yang berkaitan dengan Gerakan RasuahBusters ini,
  6. Sebarkan seluas-luasnya maklumat berkenaan #RasuahBusters ini dengan mengajak keluarga dan rakan anda mendaftar sebagai #RasuahBusters dan layari platform-platform di bawah untuk mendapatkan maklumat serta bahan berkaitan:

Daftar  #RasuahBusters di : https://bit.ly/3ctmxSy

Portal: www.rasuahbusters.com
Facebook: Rasuah Busters
Instagram: rasuahbusters
Twitter:rasuahbusters
email : rasuahbusters@gmail.com, 

(WA) :
019-3823635 – Untuk bergabung sebagai sukarelawan #RasuahBuster
019-6680920 – Untuk sebarang aduan

Gunakan hashtag #RasuahBusters untuk penilaian kempen ini

Adakah kita boleh menghasilkan bahan-bahan kreatif kita sendiri ?

Ya! Sudah tentu. Lakukankanlah! Kita mahu memanfaatkan segala bentuk semangat dan bakat yang boleh dilahirkan oleh rakyat Malaysia. Tidak kira muda mahu pun tua, – dari Perlis hinggalah ke Sabah. Kita rakyat Malaysia yang kreatif. Kita juga ingin menjalinkan kerjasama dengan mereka yang lebih bijak dan berbakat untuk usaha ini.

Lakukanlah apa pun saja untuk membantu kami menghapuskan gejala rasuah ini tetapi kekal di dalam kerangkan panduan dan etika yang digariskan di perenggan ke 3 di atas.

Rakyat Malaysia yang dikasihi, 

Tahniah diucapkan atas kebersamaan kita di dalam perjalanan yang paling penting untuk Negara ini. Walau bagaimanapun, kita perlu sentiasa beringat bahawa matlamat membanteras rasuah ini jauh lebih besar dari diri dan kumpulan kita sendiri. Oleh itu, prinsipnya adalah mengikut dan menyokong usaha saya dan pasukan kami ini selagi mana ianya benar dan betul.

Perbaiki kami jika terdapat sebarang kesilapan tanpa kami sengajakan. Kami hanyalah insan biasa di dalam gerakan ini, namun kami tetap beriltizam untuk melakukan yang terbaik. Saya  juga berkeyakinan anda akan melakukan perkara yang sama untuk diri dan kumpulan anda juga.

Ikhtiar dan perjalanan ini baru saja bermula.Dalam kita melihat rasuah sebagai sebuah simptom penyakit yang perlu diuruskan diperingkat awal lagi, dan dalam berusaha membina perubahan jangka panjang dengan kemenangan-kemenangan yang kecil,  matlamat utama kita tidak akan lari daripada membangunkan budaya dan norma nasional dengan standard etika tertinggi bersama nilai moral karakter bangsa untuk kita tangani punca kepada berlakunya wabak rasuah.

Bersama kita membanteras rasuah dan bina Malaysia yang lebih baik.

Terima kasih

Saya yang tak nak terima dan beri rasuah,

Hussamuddin Yaacub

Ketua Pasukan #RasuahBusters 
Kuala Lumpur

Exit mobile version