Salah satu tabiat masyarakat kita adalah suka bercerita keburukan orang lain. Itu adalah perbuatan ‘ghibah’ atau mengumpat. Ia menjadi tabiat yang menyeronokkan kerana sesi mengumpat biasanya dilapik dengan ayat seperti, “Aku bukannya hendak cerita buruk orang.”
Untuk menampakkan perbuatan mengumpat satu perbuatan yang baik, ia dialas dengan ayat, “Aku cerita benda yang betulkan?”
Bercerita perkara yang betul itulah dikategorikan sebagai mengumpat. Sebaliknya, jika bercerita perkara yang tidak betul atau palsu, ia dikategorikan sebagai fitnah.
Daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Adakah kamu tahu apa itu ghibah?”
Mereka berkata: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda berkata: “Engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya.”
Dikatakan: “Beritahu kepadaku, bagaimana sekiranya ada pada saudaraku itu apa yang aku katakan? Baginda berkata: “Sekiranya ada padanya apa yang kamu katakan, maka kamu mengumpatnya, jika tiada padanya apa yang kamu katakan maka kamu telah memfitnahnya.” (Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Darimi, Ahmad dan Ibn Hibban)
Bukan perempuan saja mengumpat, malah lelaki juga suka mengumpat. Ternyata orang yang mengumpat lebih buruk berbanding orang yang diumpat.
Salah satu sebab manusia mengumpat kerana ia akan membuatkan mereka berasa lebih bagus berbanding orang yang diumpat.
Bercerita kelemahan orang lain dan menunjukkan diri sendiri lebih baik. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “…dan jangan pula setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentu kamu benci memakannya. Takutlah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)
Ibn Kathir yang menafsirkan ayat itu menyatakan: “Sebagaimana secara fitrahnya kamu benci memakan daging saudara kamu sendiri, maka bencilah juga ghibah itu sebagaimana yang ditetapkan secara syarak.”
Tanya kepada sesiapa pun yang waras, tiada siapa yang berselera untuk memakan daging manusia.
Daripada Abi Darda’ r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melarang seseorang daripada (mengaibkan) maruah saudaranya, maka Allah akan menahan mukanya daripada api neraka pada hari kiamat kelak.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Perbuatan mengumpat akan mendedahkan banyak keaiban manusia. Daripada seorang yang tahu, ia akan merebak menyebabkan lebih ramai yang tahu.
Baca juga : Berdamailah dan Berlapang Dada – Dr Zul Nasihat Caprice dan Ebit Lew
Daripada cerita yang asas, ia akan ditokok tambah untuk membuatkan cerita lebih sedap didengar. Ibarat masakan yang perlu ditambah perasa untuk lebih lazat. Ada orang mengumpat kerana ingin mendapatkan perhatian di mana dia mahu menjadi sebahagian komuniti. Ada yang kurang perhatian dan kasih sayang.
Dengan cara membawa cerita ‘panas’, dia akan disanjung dalam komuniti pengumpat. Justeru, kita perlu meninggalkan budaya mengumpat kerana dengan sibuk bercerita tentang keburukan orang lain tidak membuatkan diri dan kehidupan kita lebih baik.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apabila mereka mendengar percakapan sia-sia, mereka berpaling daripadanya.” (Surah al-Qasas, ayat 55)
Penulis Perunding Psikologi Bahasa – HMetro