Faizal Ismail Hijrah tabligh

Bekas penyampai radio, Faizal Ismail, bersyukur jalannya untuk lebih mendekati masyarakat melalui program berlandaskan konsep Islam diperluaskan selepas dia melakukan ‘penghijrahan’.

Doanya untuk menelusuri perjalanan hidup yang lebih baik berbanding dunia hiburan dulu dipermudahkan Allah selepas dia berjinak-jinak dengan kumpulan tabligh.

“Dulu sewaktu jadi penyampai radio atau pengacara televisyen, dunia saya menjadi terlalu sibuk, tapi sekarang keutamaan terpenting bagi saya ialah kerja-kerja berlandaskan agama. Namun masih ada rakan media belum mengetahui penghijrahan saya, justeru mereka menawarkan kerjaya dalam bidang hiburan dan yang terbaru kira-kira dua bulan lalu,” Faizal Ismail.

FBI hijrah

Pun begitu Faizal berkata hatinya sudah ‘tawar’ dan lebih berminat melakukan perkara baru berlandaskan agama.

“Itu saja niat saya sekarang,” katanya.

Faizal berkata demikian pada sidang media secara maya program Aidiladha TV Alhijrah. Katanya jika ada mana-mana pihak yang berminat untuk menawarkannya peluang mengacarakan sesebuah program di stesen radio, dia terlebih dulu akan cuba mempertimbangkan tawaran tersebut.

Pernah sukar lelapkan mata

Faizal yang mesra disapa FBI itu berkata, doanya sebelum ini seolah-olah ‘terjawab’ apabila didatangi wakil TV Alhijrah yang memintanya mengacarakan program La Tahzan.

“Ura-ura memang ada ada tapi belum betul-betul dapat tawaran yang solid (meyakinkan),” katanya yang pernah berkhidmat sebagai penyampai di stesen radio Era dan Hot FM. Saya anggap La Tahzan ni program menarik yang cuba mendekati golongan bermasalah dan suatu inisiatif baik ketika situasi pandemik Covid-19 sekarang,” katanya.

La Tahzan adalah sebuah program siaran langsung secara hibrid (Clubhouse TV) yang dikendalikan dua orang pengacara iaitu Faizal dan bekas juruhebah Sinar FM, Abby Fana.

Faizal Ismail La Tahzan

Untuk rekod, pemilik nama penuh Mohd Faizal Ismail itu menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang industri kreatif di Universiti Cardiff, United Kingdom (UK) pada Ogos 2019.

Tetapi disebabkan penularan wabak Covid-19, situasi itu memaksa semua pusat pengajian ditutup dan pembelajaran diteruskan secara dalam talian. Faizal kemudian mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air.

Berkongsi kisah bagaimana dia menyertai tabligh, Faizal, 45, berkata hatinya terdetik untuk melakukan perubahan dalam diri selepas melalui pengalaman didekati jemaah terbabit sewaktu di UK. Sedangkan, katanya, sebelum ini dia memang seboleh-bolehnya berusaha untuk menghindari golongan tersebut apabila bertemu.

“Dulu tengok orang tabligh saya lari sebab takut nanti diajak ke masjid. Tak sangka dua kali pintu rumah saya diketuk sewaktu di UK.

“Dalam agama, lelaki memang dituntut untuk solat berjemaah di masjid. Selama ni saya tak ambil berat soal begini. Ia mengakibatkan hubungan saya dengan Allah lebih jauh.

“Pulang ke Malaysia, perkara ni yang asyik saya fikirkan. Pada masa sama, saya alami kesukaran untuk tidur hingga menjadi tekanan dan hidup dalam kekecewaan,” katanya yang kemudian merujuk pada kenalan ustaz untuk cuba perbaiki hubungannya dengan Allah. -Mkini-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge