Polis akan memanggil seorang pemilik gerai burger bagi membantu siasatan berhubung video tular yang mendakwa pihak berkuasa tidak melakukan pemantauan terhadap kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, individu dikenali sebagai Asri Janggut yang disyaki menularkan video berkenaan akan dipanggil dalam masa terdekat.
Individu berkenaan telah membangkitkan isu kegiatan perjudian di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh.
Tular video premis judi : Polis akan ambil tindakan, kata KPN
Admin Hot Burger Malaysia turut memuat naik status berkemungkinan dirinya akan dibunuh atas tindakan memuat naik video di laman sosial,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, di sini, hari ini.
Shafa’aton berkata, pemilik akaun Facebook itu juga tidak berpuas hati terhadap tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menyita gerai burger miliknya.
“Kita telah menerima dua laporan polis berhubung video berkenaan daripada Ketua Balai Sungai Buloh dan MBSA,” katanya.
Polis nafi tak ambil tindakan atas premis judi di Sg Buloh
Video yang tular di media sosial itu boleh menimbulkan fitnah dan merosakkan imej Polis Diraja Malaysia dalam menangani kegiatan perjudian di Sungai Buloh.
“Maklumat yang diberikan dalam video tersebut juga tidak tepat,” katanya.
Shafa’aton berkata, pihaknya telah membuat enam serbuan di tempat berasingan di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh, semalam
“Kita menahan dua lelaki warga Bangladesh dan merampas lima tablet, satu modem dan wang tunai RM114 dalam serbuan itu,” katanya.
Beliau berkata, manakala lima serbuan di tempat berlainan pula mendapati premis yang dinyatakan dalam keadaan berkunci.
“Kita terpaksa menggunakan pemotong besi untuk membuat pintu premis dan hasil pemeriksaan mendapati premis itu tidak beroperasi,” katanya.
Dalam laporan Sinar Harian, semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian.
“Polis akan siasat dakwaan individu terbabit yang mengatakan berlakunya kegiatan perjudian di kawasan itu,” katanya.
Dalam dua versi video berdurasi 13 minit 28 saat dan lapan minit 29 saat yang dibuat secara langsung oleh pentadbir akaun Facebook Hot Burger Malaysia itu turut mendakwa premis perniagaan diusahakan warga Aceh ‘kebal’ kerana tidak dikenakan tindakan atas kesalahan menjual rokok seludup.