Jam tangan emas

Assalamualaikum, Saya ingin bertanya berkaitan hukum memakai jam tangan emas bagi perempuan? Saya ada terdengar bahawa jam tangan emas dilarang pakai bagi wanita kerana ia termasuk dalam pengharaman bekas pekakas  dengan menyamakan peralatan jam tangan? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Pengharaman Peralatan Perkakas Emas

Penggunaan peralatan  bekas perkakas daripada emas dan perak dilarang bagi lelaki dan wanita.  Bahkan, azab yang dasyat bagi orang yang makan dan minum daripada bekas emas atau perak berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah RA bahawa  Rasullullah SAW bersabda :

مَنْ شَرِبَ فِى إِنَاءٍ مِنْ ذَهَبٍ أَوْ فِضَّةٍ فَإِنَّمَا يُجَرْجِرُ فِى بَطْنِهِ نَارًا مِنْ جَهَنَّمَ

Maksudnya:” Sesiapa yang minum daripada bekas (yang diperbuat daripada) emas atau perak. Maka perutnya akan menggelegak disebabkan api neraka.” – Riwayat Muslim (5509)

Para ulama bersepakat mengharamkan penggunaan bekas-bekas daripada emas dan perak sama ada untuk makan dan minum ke atas lelaki mahupun wanita. Seterusnya, ijmak ulama turut mengharamkan segala jenis perkakas lain yang diperbuat daripada emas dan perak bagi kegunaan bersuci, mandi, bekas bara bukhur, kencing ke dalam bekas emas dan perak dan semua jenis penggunaan seperti bekas celak dan selain daripada itu sama ada bekas kecil atau besar .Dilarang juga   pinggang emas mahupun  perak yang  menghiasi  rumah, kedai dan menghiasi majlis dengan bekas perkakas emas dan perak. 

Fuqaha menyamakan pengharaman bekas makan dan minum dengan semua kegunaan lain seperti kandungan bekas bara bukhur 

Selain itu, terdapat dalil – dalil yang menyatakan larangan mengunakan perkakas (bejana) emas  mahupun  perak  adalah   merujuk kepada perkakas  minum dan makan.  Perkakas emas dan perak  hanya selayaknya untuk mereka yang  menjadi penghuni syurga di akhirat.    

Firman Allah SWT,

وَيُطَافُ عَلَيْهِم بِآنِيَةٍ مِّن فِضَّةٍ وَأَكْوَابٍ كَانَتْ قَوَارِيرَا

Maksudnya: “Dan (selain itu) diedarkan kepada mereka (oleh pelayan-pelayannya): bejana dari perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya)”. – Surah al-Insan (15)

Jam tangan emas perempuan

Sementara itu, mereka yang menggunakan perkakas (إِنَاءِ) makan dan minum  daripada  emas dan perak ketika di dunia perumpamaan seperti menyerupai amalan  orang kafir di dunia berdasarkan   riwayat Huzaifah bin al Yaman RA.nhuma bahawa  Nabi SAW bersabda:

لَا تَشْرَبُوا فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ والْفِضَّةِ، وَلَا تَأْكُلُوا فِي صِحَافِهَا، فَإِنَّهَا لَهُمْ فِي الدُّنْيَا، وَلَكُمْ فِي الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Jangan kalian minum dalam bekas-bekas daripada emas dan perak dan jangan kalian makan dalam pinggan daripada keduanya kerana sesungguhnya ia untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia dan untuk kamu di akhirat”. – Riwayat al-Bukhari (5426) dan Muslim (2067)

Berdasarkan dalil serta perbahasan fuqaha menunjukkan pengharaman alatan perkakas (إِنَاءِ) seperti yang dilarang merujuk perkakas yang digunakan ketika minum dan makan mahupun apa-apa kegunaan bekas sama ada kecil atau besar.

Takrif perkakas (إِنَاءِ) menurut kamus Mu’jam al-Wasith ialah mangkuk untuk makan dan minum.

Sementara maksud perkakas menurut Kamus Dewan ialah benda – benda yang digunakan untuk memasak, bertukang mahupun perlalatan untuk kegunaan makan seperti pinggan, mangkuk, sudu, senduk dan perlatan memasak.

Justeru itu, wanita boleh memakai jam emas bagi tujuan perhiasan dan aksesori seolah memakai gelang emas.  Wanita dibolehkan  memakai perhiasan emas berdasarkan riwayat  daripada Abi Musa RA, Nabi SAW bersabda:

أُحِلَّ الذَّهَبُ وَالْحَرِيرُ لإِنَاثِ أُمَّتِي وَحُرِّمَ عَلَى ذُكُورِهَا

Maksudnya: “Telah dihalalkan emas dan sutera asli bagi perempuan dikalangan umatku dan diharamkan (keduanya) bagi lelaki. “ – Riwayat al-Nasai’e (9387)

Sehubungan itu, penggunaan jam  emas untuk tujuan perhiasan adalah harus bagi kaum wanita dan  haram bagi kaum lelaki.

Ringkasan Jawapan:

Hukum wanita memakai jam tangan emas adalah dibolehkan bagi tujuan perhiasan  mahupun aksesori dan tidak termasuk kategori peralatan perkakas. Sementara, pengharaman emas bagi perempuan  hanya pada (إِنَاءٍ)  iaitu bekas  perkakas makanan dan minuman seperti pinggan mangkuk dan seumpamanya daripada jenis- jenis perkakas  sama ada bekas besar mahupun kecil.  

Penutup

Setelah meneliti perbahasan fuqaha, pengharaman peralatan perkakas yang dinyatakan dalam hadis merujuk bekas-bekas untuk makan, minum, bersuci, bekas bara bukhur dan seumpamanya daripada jenis- jenis bekas perkakas. Justeru itu, hukum wanita memakai jam tangan emas adalah dibolehkan bagi tujuan perhiasan dan tidak termasuk kategori peralatan perkakas.

MuftiWP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge