Berkahwin dan ingin memiliki zuriat itu adalah fitrah manusia. Sesiapa tentu saja mengangankan perkara ini. Selain ingin memiliki pasangan hidup yang baik, tentunya bila sudah menjadi ibu bapa inginkan pula anak-anak soleh.
Selain didikan yang elok untuk anak-anak, berdoa juga merupakan salah satu cara yang boleh anda praktikan. Ada beberapa doa yang boleh anda amalkan bersama pasangan
1) Doa Agar Anak Rajin Solat
رَبِّ ٱجعَلنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوةِ
وَمِن ذُرِّيَّتِى رَبَّنَا وَتَقَبَّل دُعَآءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku”. (Surah Ibrahim ayat 40)
Doa ini adalah doa Nabi Ibrahim as untuk anak-anaknya. Sungguh besar harapan ibu bapa, agar zuriat keturunannya adalah dari golongan yang menjaga solat. Sebagai ibu bapa, kita tidak mampu nak perhatikan anak-anak kita setiap masa, mudah-mudahan, dengan doa ini, anak-anak serta zuriat keturunan kita sentiasa terpelihara dan memelihara solat mereka.
2) Doa Agar Anak Menjadi Penyejuk Mata
رَبَّنَا هَبۡ لَـنَا مِنۡ اَزۡوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعۡيُنٍ
وَّاجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِيۡنَ اِمَامًا
Maksudnya: “…Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata kami melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan ayat 74)
Doa ini sangat elok diamalkan oleh setiap pasangan yang mendambakan keluarga yang bahagia. Ini kerana, doa ini bukan sahaja memohon agar beroleh pasangan serta anak-anak yang menjadi penyejuk mata dan penenang hati, malah, doa ini juga memohon agar kita sebagai ibu bapa dapat menjadi role model (qudwah hasanah) buat anak-anak.
3) Doa Agar Anak Diberi Rahmat
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ
وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي
Maksudnya: “…Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)…” (Surah al-Ahqaf ayat 15)
Doa ini membawa maksud yang sangat mendalam. Sebagai seorang hamba kepada Allah swt, sememangnya kita perlu sentiasa berdoa agar kita tidak lalai dengan nikmat dan rezeki yang Allah telah berikan. Malah, doa ini juga memohon agar kita serta zuriat keturunan kita dapat terus istiqamah beramal soleh kepada Allah swt.
4) Doa Agar Anak Mentaati Perintah Allah
رَبَّنَا وَٱجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ
وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيم
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah ayat 128)
Doa ini dibacakan oleh Nabi Ibrahim as ketika membina Kaabah bersama Nabi Ismail as. Mudah-mudahan dengan mengamalkan doa ini, kita serta keturunan kita menjadi hamba Allah yang taat dan beribadah dengan cara yang benar serta tidak sesat. Semoga Allah menerima taubat kita.
5) Doa Mendapat Zuriat Yang Baik
قَالَ رَبِّ هَبْ لِى مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ ٱلدُّعَآء
Maksudnya: “…Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.” (Surah Ali Imran ayat 38)
Doa ini dibaca oleh Nabi Zakaria as ketika memohon daripada Allah swt agar dikurniakan zuriat. Nabi Zakaria sudah bertahun-tahun kahwin tetapi diuji dengan tiada zuriat. Nabi Zakaria as tanpa putus asa sentiasa berdoa kepada Allah swt agar dikurniakan zuriat yang soleh sebagai penyambung dakwahnya. Akhirnya Allah swt perkenankan doa Baginda dan mengurniakan seorang anak yang bernama Nabi Yahya as.
6) Doa Agar Anak Diberi Kefahaman Agama
اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ
Maksudnya: “Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil (tafsir al-Quran).”
Doa ni dibaca oleh Rasulullah saw sewaktu baginda mengusap kepala Ibnu Abbas ketika beliau kanak-kanak. Dan kesannya Ibnu Abbas menjadi seorang yang bijak dan tawaduk. Beliau adalah yang paling banyak meriwayatkan hadis Rasulullah saw semasa hayat beliau.
Kita boleh amalkan bacaan doa ini kepada anak-anak sambil mengusap ubun-ubun mereka. Boleh baca doa ini sewaktu anak-anak tidur ataupun sebelum pergi ke sekolah.