Ketua Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) Sittah Annur, 39 mengumumkan pengisytiharan taubat (Istitabah) secara terbuka di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Isnin.

Sittah Annur atau nama sebenarnya Masitah Ab Jalar melafazkan taubat dan menandatangani dokumen pengisytiharan taubat di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di hadapan empat saksi.

“Saya Masitah Ab Jalar, sesungguhnya membuat pengisytiharan ini dengan suci hati, penuh keinsafan dan keikhlasan, sesungguhnya tiada sebarang paksaan dari mana-mana individu atau mana-mana pihak.

“Dengan kesedaran diri sendiri bahawa saya sebelum ini mengeluarkan suatu pernyataan yang bertentangan dengan hukum syarak dan ia juga suatu yang terkeluar dari pemahaman manusia pada lazimnya tentang mimpi saya.

“Antaranya, saya telah menyatakan kepada umum bahawa berdasarkan mimpi, saya telah diberitahu oleh ALLAH SWT bahawa saya adalah seorang yang mengetahui tentang sesuatu peristiwa yang bakal berlaku,” antara lafaz taubat Masitah.

Pengisytiharan taubat Masitah dilafazkan di hadapan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Dua lagi saksi ialah Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Dr Ahmad Shahir Makhtar dan wakil Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mahd Ansarullah Mohd Hashim.

Dalam pada itu, Masitah dalam lafaz taubatnya turut berkata, pelbagai lagi perkara yang bercanggah dengan hukum syarak atau syariat Islam menjadi pegangan dan sandarannya. Masitah mengakui sangat menyesal di atas perbuatannya malah berjanji tidak akan mengulangi dengan apa juga cara yang boleh membawa kepada keadaan yang dinyatakan.

“Dengan ini saya bertaubat, kembali ke pangkal jalan, mengamalkan ajaran Islam berdasarkan sumber pengetahuan dan ilmu yang benar.

“Saya insaf bahawa tiada jalan pintas ke syurga melainkan dengan keyakinan akidah Islam yang jazam (disimpul mati), melaksanakan amar maaruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran dengan cara yang baik serta bijaksana berlandaskan prinsip-prinsip perlaksanaannya dan bertingkah laku mengikut akhlak Islam,” Masitah Ab Jalar.

Baca : Perjalanan Mimpi Yang Terakhir, Sittah Annur Ditahan

PMYT sittah annur

Masitah Seru Pengikut Bertaubat

Pada masa sama, beliau meminta mana-mana individu mendengar, mengikuti, mempercayai dan pernyataan tentang mimpinya, agar segera menghentikan apa-apa bentuk kepercayaan atau keyakinan yang terbina berdasarkan pernyataannya serta kembali kepada Islam yang benar.

JAIS sebelum ini telah meneliti dan memperhalusi setiap pernyataan di dalam video-video milik Masitah yang dikongsi di laman sosial.

Dapatan JAIS kemudiannya dirujuk ke Jabatan Mufti Negeri Selangor dan diperakukan Sahibus Samahah Datuk Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor bahawa perbuatan dan penyataan Masitah bertentangan dengan hukum syarak.

Penyataan Masitah adalah satu perbuatan yang disyaki bersalahan dengan Seksyen 7 dan Seksyen 8(b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) Tahun 1995. Pada 20 September, Masitah dipanggil bagi menghadiri sesi penjelasan bersama tiga panel pakar akidah dilantik oleh JAIS.

Hasil daripada sesi penjelasan tersebut Masitah akur, insaf dan menyesal tentang perbuatannya dan pernyataan yang bercanggah dengan hukum syarak serta menyeleweng, menyimpang dari akidah Ahli Sunah Wal Jamaah.

perjalanan mimpi yang terakhir sesat

Sebelum ini, tular di media sosial seorang wanita dengan gelaran Sittah Annur dikaitkan dengan ajaran sesat PMYT mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

Wanita terbabit juga mendakwa dirinya mempunyai keistimewaan dan berupaya membuat ramalan berkaitan apa-apa yang akan berlaku pada masa depan

4 Comments

Leave a Reply to shamiera osment Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge