Ibubapa merupakan individu yang telah banyak berkorban untuk kehidupan kita. Pengorbanan mereka tidak dapat dibalas walau dihadiahkan segunung emas permata, ia tetap tidak akan dapat menyamai kasih sayang mereka terhadap kita.
Allah telah mewasiatkan kepada hambaNya untuk berbuat baik kepada ibu bapa masing-masing.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَنْ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا ثُمَّ لَمْ يَدْخُلْ الْجَنَّةَ
Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Nabi SAW bersabda: “Dia celaka! Dia celaka! Dia celaka!” lalu baginda ditanya; “Siapakah yang celaka, ya Rasulullah?” Jawab Nabi SAW: “Barang Siapa yang mendapati kedua orang tuanya (dalam usia lanjut), atau salah seorang dari keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan berusaha berbakti kepadanya dengan sebaik-baiknya).” (HR Muslim No: 4628)
Jangan jadikan kita orang yang celaka, orang yang celaka dimurkai Allah dan menyediakan dirinya ke neraka. Orang yang celaka adalah mereka yang masih ada ibu atau bapa yang sudah tua tapi tidak berusaha berbakti kepada mereka.
Celakalah anak-anak yang tidak sanggup menjaga kedua ibu bapa lalu menghantar kerumah orang tua. Dibiarkan orang tua tanpa diziarahi.
Bagi yang ada ibu atau bapa yang sudah tua, rebutlah peluang berbakti dan berbuat baik kepada mereka dengan segala daya upaya.
Daripada Abu Darda’ RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
الوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الجَنَّةِ، فَإِنْ شِئْتَ فَأَضِعْ ذَلِكَ البَابَ أَوْ احْفَظْهُ
“Ibubapa (orang tua) merupakan pintu tengah syurga, Jika kamu mahu letakkanlah pintu itu atau jagalah ia”.(HR Tirmizi No:1900)
Syeikh al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis ini berkata bahawa kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa. Barangsiapa yang mentaati orang tua maka dia telah mentaati Allah dan barangsiapa yang memurkai mereka sesungguhnya mereka dimurkai Allah. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 21,23/6]
Baca juga : Disebabkan Cinta, Sanggup Biar dan Tinggalkan Mak Ayah?
Gembirakan Ibu bapa
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, ia berkata; terdapat seorang laki-laki yang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata; aku datang membaiah engkau untuk berhijrah, dan aku telah meninggalkan kedua orang tua ku dalam keadaan menangis. Kemudian baginda bersabda: “Kembalilah kepada mereka berdua dan buatlah mereka tertawa sebagaimana engkau membuat mereka menangis!” (HR Abu Daud: 2166)
Kewajipan anak ialah sentiasa mengembirakan kedua ibu bapanya. Lakukan sesuatu yang sentiasa membuatkan kedua orang tua kita gembira.
Tidak ada hadiah yang berharga melainkan sesuatu yang membuatkan kedua ibu bapa gembira di dunia dan gembira di syurga. Bagi setiap anak yang masih memiliki kedua ibu bapa atau salah seorang daripadanya, buatlah sesuatu yang mengembirakan kedua mereka.
Anak Tidak Mampu Membalas Jasa Ibu Bapa
Pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anak amat besar. Bermula dari kesusahan si ibu ketika mengandungkannya, melahirkan hinggalah membesarkannya. Seorang anak tidak akan mampu membalas kebaikan ibu bapanya yang telah mengasuh, membimbing dan memberikan pendidikan di samping keperluan fizikal.
Perbandingan membalas jasa keduanya diumpamakan jika orang tuanya seorang hamba, lalu si anak membeli dan memerdekakannya.
Daripada kedua ibu bapa, kita dilahirkan ke dunia. Berkhidmatlah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa semampu yang boleh.
Dosa Besar Menderhaka Kepada Ibu bapa
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْكَبَائِرِ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَقَتْلُ النَّفْسِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ
Daripada Anas radliallahu ‘anhu berkata; Nabi SAW ditanya tentang dosa-dosa besar. Maka baginda bersabda: “Menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua orang tua, membunuh orang dan bersumpah palsu”. (HR Bukhari No: 2459)
Dosa besar ialah kesalahan yang dijanjikan azab yang pedih jika pelakunya tidak melakukan taubat nasuhah hingga diampunkan dosanya oleh Allah.
Antara dosa besar tersebut:
a. Syirik kepada Allah
b. Derhaka kepada kedua ibu bapa
c. Membunuh
d. Bersumpah dengan sumpah palsu
Setiap anak tidak boleh menyakiti kedua ibu bapaknya, baik dengan perkataan, tindakan mahupun perbuatan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Berbuat baiklah kepada kedua ibubapa. Firman Allah SWT:
وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
“Dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” al-Isra’:24
Derhaka kepada ibu bapa merupakan dosa besar kedua selepas dosa perbuatan syirik. Semoga kita menjauhi dosa-dosa besar ini.