Kerajaan Negeri Kelantan mula melaksanakan undang-undang Islam di negeri ini dengan menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 pada Isnin. Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pelaksanaan enakmen itu dibuat selepas mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 telah memilih kaedah pelaksanaan hukuman retributif (hukuman setimpal dengan kesalahan) dan restoratif (hukuman bersifat pemulihan) untuk memulih dan memberi kesedaran kepada pesalah syariah.

Undang-undang itu bertujuan mendidik dan menepati perintah agama dan menjadikan syariat Islam sebagai panduan kehidupan.

Sejak Pas diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir Kelantan pada tahun 1990, pelbagai usaha dijalankan bagi merealisasikan impian melaksanakan undang-undang Islam di negeri ini. Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-undang Jenayah Syariah pada tahun 1993 sebelum diwujudkan Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993.

MB Kelantan

Enakmen edisi 1993 tidak dapat dikuatkuasakan atas sebab dan halangan tertentu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu berbangga kerana kerajaan negeri mampu menggubal enakmen tersebut. Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil inisiatif lain membuat kajian dan penambahbaikan terhadap enakmen sedia ada di Kelantan.

Ia termasuk Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 dan mula disemak semula pada tahun 2016 dan berakhir pada tahun 2019. Peruntukan enakmen sedia ada telah dikaji, diteliti dan wajar untuk ditambah baik sesuai dengan perkembangan sosial masyarakat masa kini selain menepati Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1965.

Mahkamah Syariah diberi kuasa membicarakan kes-kes yang had hukumannya maksimum tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau enam sebatan atau gabungan mana-mana hukuman terbabit. Justeru wujud Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

Tukang sihir
Tukang Sihir akan berdepan dengan hukuman

Info:

Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019

– Kajian bagi penggubalan enakmen ini mengambil masa enam tahun.

– Dibentangkan di sidang DUN Kelantan pada 14 hingga 16 Oktober 2019.

– Mendapat persetujuan diraja pada 14 Julai 2020.

– Diwartakan pada 31 Disember 2020 mengikut dalam Warta Kerajaan.

– Sultan hendaklah menetapkan suatu tarikh bagi enakmen itu mula berkuat kuasa.

– Sultan Muhammad V memperkenankan bermula 1 November 2021.

Mahkamah Rendah Syariah – 25 seksyen

Mahkamah Tinggi Syariah – 27 seksyen

Peruntukan sedia ada dalam enakmen ini :

1.Takfir.

2.Menghina undang-undang.

3.Memberikan anak kepada orang bukan Islam.

4.Liwat

5.Menghasut suami isteri supaya bercerai.

6.Perempuan lari dari jagaan.

7.Lelaki berlagak perempuan.

8.Perempuan berlagak lelaki.

9.Percakapan tidak sopan.

10.Musahaqah

11.Dedah aurat tempat awam.

12.Beri keterangan palsu.

13.Minuman yang memabukkan.

14.Memberi khidmat maksiat.

15.Percubaan untuk perkhidmatan maksiat.

16.Zina.

17.Perbuatan sumbang mahram.

18.Muncikari.

19.Hamil luar nikah.

20.Khalwat.

21.Persubahatan.

Peruntukan baru dalam enakmen ini :

1.Sihir.

2.Dakwaan palsu.

3.Percubaan keluar Islam.

4.Memutarbelitkan ajaran Islam.

5.Tidak menghormati bulan Ramadan.

6.Memusnahkan tempat ibadat.

7.Persetubuhan dengan mayat.

8.Persetubuhan dengan bukan manusia.

9.Mencacah tatu/pembedahan kosmetik.

10.Menggangu rumah tangga orang.

11.Halang hidup sebagai suami isteri.

12.Memujuk orang Islam lari dari jagaan.

13.Kata-kata yang boleh memecah keamanan.

14.Memutuskan hubungan kerabat.

15.Derhaka kepada ibu bapa.

16.Apa-apa yang mengkhayalkan.

17.Berjudi.

18.Makan harta anak yatim.

19.Tipu dalam sukatan/ukuran.

20.Muamalat yang berlawanan dengan hukum.

21.Penyalahgunaan tanda halal.

22.Menuduh melakukan zina, liwat.

23.Subahat.

24.Penetapan hukuman restoratif

-SinarHarian-

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge