Ekoran kesan Covid-19 yang buat julung kalinya melanda dunia, kerajaan di seluruh dunia termasuk Malaysia terpaksa meningkatkan perbelanjaan dengan meminjam atau mengeluarkan hutang awam. Tetapi adakah ini perlu? Tidak bolehkah kerajaan mencetak wang untuk diagihkan bagaikan wang dari helikopter agar setiap orang mempunyai wang untuk berdepan ekonomi sedang merudum?
Meskipun kerajaan boleh mencetak wang, namun tidak bermakna ia boleh berbuat demikian dengan sewenang-wenangnya.
Pada prinsipnya, mencetak wang untuk meningkatkan perbelanjaan bagi mengelakkan berhutang tidak wajar dalam keadaan mata wang negara mengalami penyusutan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Tekanan Susut Nilai Ringgit
Mencetak wang akan menambah tekanan penyusutan terhadap nilai ringgit kerana pasaran mata wang asing menjangkakan kerajaan akan mencetak lebih banyak lagi wang pada masa depan.
Realitinya, mencetak wang akan disusuli lebih banyak pencetakan wang seperti yang berlaku di Zimbabwe dan Republik Weimar (Jerman) pasca Perang Dunia Pertama.
Oleh itu, kita masih perlu mengeluarkan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) bersama Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dan sukuk untuk menampung perbelanjaan pembangunan serta infrastruktur negara.
Ini bukan saja dapat mengekalkan integriti ringgit, tetapi juga mendorong permintaan baru daripada pelabur atau pembeli asing. Namun, risikonya ialah pelarian modal atau penjualan sebelum sekuriti itu tamat tempoh.
Bimbang Tahap Hutang Kerajaan
Tidak seperti pasaran modal, apabila merujuk pasaran bon kerajaan, ianya dengan mudah dapat dibeli di pasaran kedua oleh Bank Negara (walaupun terbatas) bersama bank komersial.
Tambahan pula, pencetakan wang harus menjadi pilihan terakhir. Kali terakhir Bank Negara dikatakan mencetak wang adalah semasa krisis kewangan Asia 1997/98 ketika Danaharta mengeluarkan bon kupon sifar bertaraf tiga A untuk pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah, dana pencen dan syarikat insurans yang kemudiannya ditukar dengan pinjaman tidak berbayar (NPL) daripada bank yang mengambil bahagian.
Namun, terdapat kebimbangan mengenai tahap hutang kerajaan berdasarkan analogi perbelanjaan “isi rumah”. Dengan kata lain, mereka bimbang beban hutang kerajaan sekarang akan ditanggung generasi akan datang dalam bentuk cukai lebih tinggi.
Secara umumnya, setiap kerajaan di seluruh dunia, termasuk Malaysia menghidupkan semula hutang yang lupus dengan menerbitkan hutang baru. Malah, ada juga hutang berterusan antara 50 hingga 100 tahun.
Malah, semasa kemelesetan ekonomi 2008 yang tidak begitu menjejaskan Malaysia kerana sistem kewangan kukuh dan stabil berdasarkan nisbah kecukupan modal tinggi, namun defisit belanjawan negara adalah 7%, bahkan lebih tinggi sebelum itu.
Kerajaan menyasar mengurangkan defisit belanjawan sekitar 3% hingga 3.5% jumlah KDNK sebelum Covid-19, lantas kita masih memiliki ruang untuk meningkatkan pinjaman kita dan seterusnya perbelanjaan, sekaligus menggandakan defisit tersebut seperti yang ditegaskan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Apakah faedah pinjaman kerajaan atau mengeluarkan hutang awam?
Pertama, hutang kerajaan sebenarnya lanjutan daripada dasar monetari kerajaan, iaitu kadar dasar semalaman (OPR) yang ditetapkan Bank Negara. OPR bertujuan mempengaruhi kadar faedah pasaran.
Walaupun kadar pulangan MGS tidak mempengaruhi kadar faedah pasaran secara langsung, namun mereka tetap mempengaruhi harga sekuriti hutang sektor swasta seperti bon korporat dan pasaran wang.
Seterusnya, ini akan menjadi pertimbangan dalam kunci kira-kira bank dan lantaran itu, pengiraan kadar asas (BR) digunakan untuk pinjaman.
Kedua, sama seperti bon kerajaan, ia merupakan tempat perlindungan selamat untuk pelaburan dalam aset berdaulat dan tanpa risiko. Kira-kira 97% hutang negara dalam ringgit, lantas kemungkinan kerajaan gagal membayar hampir sifar.
Sudah tentu ini menimbulkan persoalan mengenai percetakan wang. Namun, kita tidak perlu menggunakannya sebagai jalan keluar. Perlu diingatkan, kerajaan akan selalu berada dalam keadaan terus melanjutkan hutang yang lupus dengan mengeluarkan hutang baru.
Ketiga, keperluan hutang kerajaan dapat dilihat melalui peranan dan nilainya sebagai penyedia kecairan untuk pasaran kewangan, walaupun secara kitar semula.
Dana yang diperoleh pemiutang sektor swasta melalui suntikan fiskal langsung disedut keluar daripada ekonomi dan masuk semula ke tabung kerajaan.
Pada masa sama, bon secara automatik menjadi sebahagian sistem kewangan, sedia untuk diperdagangkan atau digunakan sebagai cagaran untuk pinjaman. Inilah cara kecairan sistem kewangan dikembangkan.
Oleh itu, hutang kerajaan bertindak dan berfungsi sebagai pendokong kestabilan pasaran kewangan dengan memastikan kecairan mencukupi tanpa perlu bank pusat melaksanakan operasi pelonggaran kuantitatif (QE) yang merupakan penciptaan rizab baru untuk pertukaran aset berkualiti tinggi.
Bank Negara amat berwaspada dan berhati-hati untuk terlibat dalam QE serta pendekatan sebegini adalah wajar. Dan kerajaan kita menyedari keperluan berhemah dalam perbelanjaan dan pinjaman, oleh itu siling 55% nisbah hutang-kepada-KDNK disasarkan.
Hutang kerajaan itu sememangnya perlu dan kerajaan tidak akan mempertaruhkan masa depan kewangan negara dengan mencetak wang sewenang-wenangya dan juga tiada bahaya “pinjaman berlebihan”.
Tambahan, penting untuk memastikan hutang digunakan bagi hasil produktif yang mempunyai kesan berlipat ganda, bukan untuk perbelanjaan tidak produktif dalam pembinaan gajah putih atau projek mega lain yang tidak produktif.
Jason Loh ialah ketua bahagian sosial, perundangan dan hak asasi Emir Research. -FMT-