Pernahkah anda berada dalam situasi kereta tak boleh start atau sukar untuk dihidupkan sebelum ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah atau ketika ada urusan penting lain? Biasanya, masalah kereta tak boleh hidup atau start disebabkan oleh aspek penyelenggaraan yang tidak mengikut jadual.
Penggunaan kereta secara berterusan tanpa penggantian bahagian atau komponen tertentu dalam kereta yang bermasalah turut menyumbang kepada permasalah ini. Masalah sebegini boleh terjadi secara tiba-tiba. Terdapat beberapa faktor dan punca yang menyebabkan masalah enjin kereta tak boleh start berlaku.
Start Kereta Tak Hidup: Kenapa Kereta Tak Boleh Start?
Situasi kereta tak boleh start atau kereta sukar untuk dihidupkan merupakan antara masalah yang biasa berlaku dalam kalangan pemilik kereta. Secara amnya, banyak punca yang boleh menyebabkan masalah kereta tak boleh start berlaku. Dalam kes-kes tertentu, situasi ini disebabkan oleh masalah biasa yang boleh diselesaikan sendiri.
Dalam situasi yang sedikit complicated, anda perlu menghantar kereta ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut. Carsome menyenaraikan punca kereta tak boleh start kepada dua bahagian seperti berikut – anda boleh baiki kereta secara DIY sendiri di rumah atau bawa ke bengkel untuk memudahkan anda.
Kereta Tak Boleh Start – Baiki Sendiri Kereta Secara DIY
Jika kereta anda tidak boleh dihidupkan, anda boleh memeriksa sendiri kereta anda untuk mengetahui punca-puncanya. Berikut merupakan antara punca kereta sukar untuk dihidupkan yang boleh dilakukan sendiri secara DIY di rumah:
1. Gear Lever Berada pada ‘D’
Walaupun situasi ini kedengaran agak kelakar, kes sebegini biasa berlaku dalam kalangan pengguna kereta. Mereka beranggapan bahawa kereta mereka sukar untuk dihidupkan disebabkan oleh masalah bateri kong, tetapi sebenarnya disebabkan oleh kedudukan gear pada kedudukan yang salah.
Situasi sebegini biasa berlaku kerana pemandu tergesa-gesa atau ingin cepat sehingga terlupa meletakkan gear pada kedudukan ‘P’ semasa parkir kereta. Jika anda menggunakan kereta dengan transmisi automatik dan kereta anda tiba-tiba tidak boleh dihidupkan, perkara pertama yang boleh anda lakukan ialah periksa gear lever kereta anda terlebih dahulu untuk kepastian.
2. Bateri Kereta Kong atau Lemah
Secara amnya, bateri kereta berfungsi membekalkan kuasa elektrik untuk menghidupkan enjin kereta. Kebanyakan kereta moden hari ini dilengkapi dengan pelbagai peralatan elektronik seperti sensor, radio, skrin lcd dan sebagainya yang secara tidak langsung meningkatkan penggunaan bateri kereta. Masalah kereta tak boleh start biasanya berpunca daripada bateri kereta kong atau sudah lemah. Biasanya, bateri kereta akan menunjukkan tanda bateri kereta kong selepas 12 hingga 15 bulan penggunaan.
Anda boleh mengenal pasti punca kereta tak boleh start melalui bunyi yang dihasilkan. Kereta tak boleh start bunyi tik tik atau kereta tak boleh start bunyi tak tak. Masalah bateri ini berlaku mungkin disebabkan oleh pemilik kenderaan terlupa untuk mematikan lampu kereta, kereta lama tak start atau bateri kereta sudah kong dan perlu digantikan.
Namun sekiranya bateri baru tapi tak boleh start (kurang daripada setahun), anda mungkin boleh mencuba lakukan jump start bateri kereta terlebih dahulu. Pastikan anda mengamalkan cara jumper bateri kereta yang betul untuk mengelakkan litar pintas.
Bateri Baru Tapi Tak Boleh Start: Dah Jumper Kereta Tapi Tak Hidup
Ada kemungkinan situasi ini berlaku disebabkan oleh bateri rosak (faulty products). Biasanya, bateri kereta diberikan waranti minimum selama setahun atau 25,000 km. Sekiranya penggunaan bateri kurang daripada setahun dan jarak pemanduan kurang daripada 25,000 km, anda boleh menuntut waranti bateri daripada bengkel atau pusat servis. Anda disarankan untuk menyimpan resit pembelian sebagai bukti untuk proses tuntutan waranti.
Tetapi sekiranya bateri kereta sudah lama (lebih daripada setahun), besar kemungkinan bateri kereta anda perlu digantikan kerana sudah kong. Anda boleh mencabut bateri kereta dan mengecas bateri kereta tersebut di bengkel berdekatan.
Biasanya, bateri yang sudah berusia akan menjadi lemah semula selepas beberapa hari. Minta pendapat mekanik anda – mekanik akan memeriksa sama ada bateri kereta perlu digantikan atau tidak dengan menggunakan alatan khas.
Baca juga : Cara Mudah Jual Kereta, Pantas dan Harga Terbaik
Kereta Tak Boleh Start – Bawa Kereta ke Bengkel untuk Pemeriksaan
Jika kadar kerosakan terlalu serius, anda disarankan untuk membawa kereta anda ke bengkel berdekatan untuk pemeriksaan lanjut. Cara ini juga dapat mengelakkan anda daripada mengeluarkan belanja yang lebih besar sekiranya kerosakan yang lebih serius berlaku.
1. Alternator Rosak
Jika anda menggunakan kereta anda setiap hari namun bateri kereta anda masih kong meskipun anda baru sahaja menggantikan bateri baharu, besar kemungkinan alternator kereta anda sudah rosak. Secara amnya, alternator memainkan peranan yang penting dalam sistem operasi kenderaan, ia berfungsi membekalkan cas elektrik kepada komponen kereta seperti radio, lampu, wiper dan sebagainya selain mengecas semula bateri dan menukarkan tenaga mekanikal kepada tenaga elektrik.
Tanda Alternator Rosak
Berikut merupakan antara tanda-tanda yang boleh membantu anda mengesan alternator kereta yang rosak:
- Lampu amaran kereta menyala – simbol bateri menyala.
- Lampu utama atau lampu hadapan kereta menjadi malap.
- Bateri kereta kong.
- Bunyi pelik tidak seperti kebiasaan di bahagian enjin atau terdapat bau getah terbakar.
- Tiada masalah kerosakan atau sambungan terminal bateri yang longgar, tetapi bateri masih kehilangan kuasa.
Alternator yang rosak boleh menyebabkan kereta tidak boleh dihidupkan. Bawa kereta anda ke bengkel atau ekdai bateri berhampiran untuk pemeriksaan. Bacaan voltage dan ampere akan dilakukan untuk mengetahui sama ada alternator kereta berada dalam keadaan baik atau tidak –undervoltage atau overvoltage menandakan alternator kereta bermasalah atau rosak.
2. Palam Pencucuh atau Spark Plug Rosak
Palam pencucuh atau spark plug boleh dianggap sebagai unsung hero dalam komponen kereta. Ia merupakan komponen penting dalam sistem pembakaran kereta yang berfungsi menyalakan campuran udara dan bahan bakar dalam silinder enjin kereta anda sekali gus membolehkan kereta anda boleh dihidupkan dan bergerak.
Jika kereta anda tidak boleh dihidupkan, ini bermakna komponen ini mungkin mengalami masalah. Pemeriksaan spark plug secara berkala penting untuk mengelakkan kerosakan yang lebih serius. Harga untuk penggantian spark plug kereta bergantung pada jenis dan model kereta.
Tanda Spark Plug Kereta Rosak
Berikut merupakan antara tanda-tanda yang boleh membantu anda mengesan kerosakan spark plug kereta anda:
- Pembakaran enjin tidak stabil terutama semasa berhenti (idling).
- Enjin berbunyi bising dan tidak seperti kebiasaan.
- Enjin sukar untuk dihidupkan terutamanya pada waktu pagi.
- Penggunaan bahan api yang tinggi.
- Enjin mengalami pembakaran yang tidak sekata (misfires).
- Kuasa pecutan berkurangan, enjin semput.
Kebiasaannya, penggantian komponen ini akan dilakukan setelah mengambil kira saranan daripada mekanik terutamanya apabila keadaan elektrod pada spark plug terlalu berminyak atau berkarbon. Secara purata, jangka hayat spark plug boleh bertahan sehingga 45,000 km atau perlu digantikan setiap empat hingga lima kali penyelenggaraan enjin.
Namun begitu, jangka hayat ini mungkin berkurangan bergantung pada cara pemanduan. Cara pemanduan yang lebih agresif boleh menyebabkan pembentukan minyak dan karbon yang lebih cepat berbanding pemanduan biasa.
3. Crank Sensor Enjin Kereta Rosak
Secara amnya, crank sensor merupakan komponen elektronik yang digunakan dalam enjin pembakaran dalaman sama ada petrol atau diesel untuk memantau kedudukan dan kelajuan putaran crankshaft. Maklumat ini akan digunakan oleh sistem pengurusan enjin untuk mengawal suntikan bahan bakar atau pemasaan sistem pencucuhan dan parameter enjin yang lain.
Oleh sebab itu, kegagalan pada sensor ini untuk menghantar isyarat dan maklumat yang tepat boleh menyebabkan proses pembakaran enjin terganggu sekali gus menyebabkan enjin kereta sukar untuk dihidupkan.
4. ECU Kereta Tidak Berfungsi dengan Baik
Electronik Control Unit (ECU) atau Unit Kawalan Elektronik kereta merupakan peranti kecil yang tersedia dalam kenderaan yang bertanggungjawab untuk mengawal fungsi-fungsi tertentu. Ia berfungsi mengawal sistem penting kenderaan antaranya kawalan enjin dan stereng kereta, tingkap kuasa, kunci pintu dan sebagainya termasuk beg udara dan sistem keselamatan asas seperti brek kecemasan automatik. Dalam erti kata lain, ECU kereta memainkan fungsi yang sama seperti CPU dalam komputer.
Tanda ECU Kereta Rosak
ECU boleh diibaratkan seperti otak kereta yang berfungsi sebagai pusat kawalan yang mengawal aktiviti komponen elektronik kereta. Berikut merupakan antara tanda-tanda ECU kereta rosak untuk panduan dan rujukan anda:
- Kereta sukar untuk dihidupkan.
- Peningkatan penggunaan bahan bakar atau petrol.
- Kuasa enjin berkurangan.
- Lampu amaran check engine menyala.
5. Masalah Starter Kereta Rosak
Starter atau starter kereta merupakan peranti elektrik yang digunakan untuk memutarkan (crank) enjin pembakaran dalaman untuk memulakan operasi enjin dengan kuasanya sendiri. Sebaik sahaja enjin beroperasi, enjin akan memutuskan sambungan dengan komponen ini dan bergantung sepenuhnya pada proses pembakaran kereta. Ini bermaksud, starter kereta secara amnya berfungsi menghidupkan kereta dan mengerakkan piston dalam sistem pembakaran dalaman sehingga dapat beroperasi sendiri.
Kebiasaannya, bahagian enjin kereta akan menghasilkan bunyi crank semasa kereta dihidupkan. Jika bunyi ini tidak kedengaran, besar kemungkinan starter kereta anda mungkin sudah rosak dan perlu digantikan. Anda boleh mengesan tanda-tanda awal kerosakan starter kereta seperti berikut:
Tanda Starter Kereta Rosak
Berikut merupakan antara simptom starter kereta yang rosak untuk membantu memudahkan urusan anda:
- Tiada pergerakan enjin atau apa-apa berlaku semasa enjin kereta dihidupkan. Dalam erti kata lain, kereta boleh start tapi tak hidup – ada bunyi starter diaktifkan, tetapi enjin tidak beroperasi.
- Kereta tak boleh start, tetapi lampu pada meter dashboard menyala.
- Kereta menghasilkan bunyi pelik semasa dihidupkan – kereta tak boleh start bunyi tik tik atau kereta tak boleh start bunyi tak tak.
- Bahagian enjin kereta berasap atau berbau terbakar semasa menghidupkan enjin.
Semoga perkongsian ini dapat membantu mengurangkan situasi panik atau setidak-tidaknya dapat menenangkan fikiran anda sekiranya berdepan dengan situasi kereta tidak boleh start sebegini.
Selain itu, jika anda sedang merancang untuk menjual kereta lama atau membeli kereta terpakai, anda boleh layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan perkhidmatan jual beli kereta terpakai yang profesional, mudah dan pantas!