Site icon Geng Borak

KWSP 10K One Off, Rakyat Sedang Bergadai Teruskan Kehidupan?

Asyraf Wajdi Kwsp

Apakah KWSP satu-satunya cara untuk menjamin keselamatan hidup hari tua? Apakah jaminan untuk hidup hari tua jika rakyat hari ini pun amat terdesak untuk penuhi keperluan hidup diri dan keluarga

Rakyat hakikatnya rata-rata menuntut simpanan mereka sendiri hari ini bukan saja-saja.
Ramai yang mula dihalau dari rumah tak dapat bayar sewa.
Ramai yang ditarik kereta dan motor kerana sudah tidak mampu bayar ansuran.
Ramai yang berhutang keliling pinggang untuk penuhi keperluan hidup.
Ramai yang tertekan memikirkan bagaimana nak pastikan makanan di atas meja terus terhidang buat keluarga.
Ramai hilang punca pendapatan, hilang kerja akibat pandemik.

Mereka ini tak semuanya dapat bantuan kerajaan. Kalau dapatpun tak mencukupi. Sedangkan mereka tergolong dikalangan 6.83 juta pencarum yang punya wang simpanan KWSP melebihi RM10k bahkan beratus ribu.

Baca juga : Pengeluaran RM10,000 One-Off KWSP Boleh Dilakukan Dengan Syarat – Pakar Kewangan

Sedangkan Akta KWSP di bawah Seksyen 54 sendiri jelas membenarkan pengeluaran hari ini untuk penuhi keperluan dan keberterusan hidup apatah lagi yang terkesan akibat pandemik (Rujuk sub-seksyen 54 (k), 54(l) dan 54(m). Percaya dan yakinlah bahawa konsep rezeki bukannya diukur atas nilaian banyak atau sikitnya tabungan KWSP.

Pun begitu, ikhtiar juga tidak pernah dinafikan. Malah pelbagai justifikasi dan hujah ekonomi juga telah banyak kali saya berikan. Bahkan bagaimana cara untuk menampung kembali simpanan peribadi dan kantong KWSP secara keseluruhan juga telah beberapa kali dihujahkan. Lebih utama mengelakkan mudarat besar yang dihadapi rakyat hari ini dengan mengambil mudarat kecil iaitu benarkan pengeluaran kali terakhir wang simpanan hari tua demi kelangsungan hidup ketika ini.

Baca juga : Alternatif i-Citra KWSP : Tambahan Bantuan Atau Galakan Berhutang?

Artikel Berkaitan : Rakyat Bukan Saja-saja Tuntut Pengeluaran RM10K i-Citra KWSP!

RESPON KEPADA PENJELASAN TENGKU ZAFRUL : DENGARLAH DAN BACALAH KELUHAN RAKYAT!

Walaupun anggaran pengeluaran wajib pencarum mencecah RM34 bilion setahun, tetapi caruman wajib yang diterima oleh KWSP pada tahun ini (2022) juga dianggarkan mencecah RM70 bilion (mengambilkira unjuran data daripada Tengku Zafrul sendiri) Maka masih wujud lebihan tunai sebanyak RM36 bilion.

Jadi apa masalahnya jika tuntutan i-Citra 2.0 ini dipenuhi memandangkan anggaran jumlahnya cuma sekitar RM25 bilion hingga RM30 bilion sahaja? Ia tidak melibatkan apa-apa kecairan di pasaran modal atau memerlukan KWSP menjual apa-apa aset di luar negara yang merupakan sebahagian daripada aset KWSP berjumlah RM988.55 bilion.

Begitu juga alasan Tengku Zafrul bagi menolak cadangan melaksanakan Unconventional Monetary Policy. Walhal idea ini telah diaplikasikan oleh banyak negara dan terbukti dapat memperbaiki ekonomi negara-negara Eropah ketika krisis kewangan 2009. Hakikatnya rakyat yang sedang susah dan terdesak tidak berminat dengan alasan teknikal dasar monetari negara kerana mereka tahu bahawa Akta KWSP 1991 sendiri membenarkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP apabila pencarum berdepan dengan krisis kehidupan seperti hari ini.

Pun begitu pelbagai solusi, cadangan penyelesaian dan alternatif yang kami turut berikan untuk mengembalikan dana yang dikeluarkan (replenish). Saya dan teman-teman di Pemuda UMNO tidak mahu menghabiskan masa melakukan perdebatan di media sosial. Lebih baik masa yang ada ini digunakan DS Tengku Zafrul untuk mencari jalan bagi membolehkan pengeluaran dapat dibuat dan mandat KWSP dapat dilaksanakan.Kita boleh adakan sesi debat lain diantara saya dan DS Tengku Zafrul untuk beri keadilan kepada rakyat yang sedang menunggu dan berharap.

Tetapi kehendak dan keperluan rakyat mesti diutamakan. Janganlah mengeluh kononnya KWSP perlu menjual saham sedangkan rakyat sudahpun menggadai pelbagai tanggungan demi meneruskan kehidupan!

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Exit mobile version