494Shares

Bagi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik, Maybank melanjutkan tempoh permohonan bantuan pembayaran balik untuk pinjaman atau pembiayaan sehingga 30 Jun tahun hadapan.

Menurut laporan Berita Harian, tindakan itu sebagai usahanya meneruskan penyediaan bantuan kewangan kepada pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas.

Pakej bantuan pembayaran balik

Maybank dalam satu kenyataan, berkata pelanggan yang memerlukan bantuan kewangan masih boleh menghubungi bank untuk berbincang tentang pakej bantuan pembayaran balik yang paling sesuai untuk memenuhi keperluan kewangan semasa.

“Memandangkan situasi pandemik COVID-19 masih berterusan, keutamaan Maybank pada masa ini adalah untuk memastikan bahawa pelanggan yang masih menghadapi kesukaran mempunyai akses kepada bantuan pembiayaan untuk menolong mereka mengatasi cabaran ini,” katanya.

Hingga kini, Maybank telah memproses lebih 90,000 permohonan bantuan pembayaran balik yang diterima daripada pelanggan dan telah meluluskan hampir 45 peratus dari permohonan yang layak.

Maybank juga turut menawarkan Bantuan Pembayaran Balik Bersasar (TRA) kepada pelanggan individu B40 dan perusahaan mikro yang layak mulai hari ini hingga 30 Jun 2021untuk pakej bantuan pembayaran balik.

Siapa yang layak memohon?

Antara kriteria kelayakan TRA adalah seperti yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2021 dan Bank Negara Malaysia pada 6 November lalu.

“Kriterianya adalah individu B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). Bagi perusahaan mikro dengan jumlah kelulusan pinjaman atau pembiayaan sehingga RM150,000 bagi setiap kemudahan pula perlu memenuhi salah satu kriteria iaitu perolehan jualan kurang daripada RM300,000 setahun atau mempunyai kurang daripada lima pekerja sepenuh masa.

“Bagi memenuhi kriteria kelayakan TRA, pinjaman atau pembiayaan pelanggan juga mesti diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak melebihi 90 hari pada tarikh permohonan.

“Pelanggan yang memohon TRA boleh memilih antara penangguhan ansuran bulanan selama tiga bulan atau pengurangan bayaran ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan untuk pinjaman/pembiayaan mereka,” katanya.

TRA Berkuatkuasa 1 Disember

Katanya, semua permohonan TRA yang diluluskan akan berkuatkuasa dari 1 Disember 2020 sehingga 30 Jun 2021.

Maybank menjelaskan, proses permohonan juga telah dipermudahkan untuk kumpulan terpilih di mana bagi pelanggan B40 dan perusahaan mikro yang memenuhi kriteria kelayakan untuk TRA, tidak memerlukan dokumentasi.

“Bagi pelanggan M40 yang berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional (BPN), mereka hanya perlu membuat pengisytiharan diri untuk permohonan bantuan pembayaran balik mereka,” katanya.

Bagi maklumat lanjut, Khidmat Pelanggan Maybank di talian 1-300-88-6688, dan tekan *1 untuk Bantuan Pembayaran Balik; atau memohon secara dalam talian melalui Maybank2u (untuk pelanggan individu dan perniagaan milikan tunggal) atau Maybank2u Biz (untuk perusahaan mikro dan PKS) – tersedia bermula 5 Disember 2020.

494Shares

3 Comments

  1. semoga membantu meringankan beban ekonomi/kewangan mereka yang mengalami masalah membayar balik pinjaman.


Leave a Reply to Laila Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge