Peristiwa ini membuat saya terharu dan tidak dapat menahan air mata. Seorang lelaki bangun dan bertanya soalan di hadapan semua hadirin Keluarga Sunnah lepas yang buat saya terasa sebak didada dan menangis.
Lelaki tersebut bertanya “Ustaz, bagaimana saya hendak jadi lelaki yang dapat membawa wanita-wanita dalam hidup saya ke syurga. Saya hendak membawa ibu saya ke syurga. Saya hendak bawa isteri saya ke syurga. Saya hendak bawa anak-anak perempuan saya ke syurga. Saya hendak bawa adik beradik saya ke syurga…”
Itulah soalan terbaik dari seorang lelaki dan ketua yang baik. Lelaki yang sebenarnya. Lelaki paling “macho”. Lelaki paling “owsem”. Saya rasa sedih, sebab itu jugalah yang menjadi matlamat saya. Dengan menyedari kelemahan diri saya yang tersangat memerlukan pertolongan dan kekuatan daripada Allah SWT. Menggenggam dengan erat tangan orang yang disayangi dan tidak akan lepaskan tangan orang yang kita sayang sehingga dapat melangkah masuk ke syurga Allah SWT.
Untuk merealisasikan impian ini, lelaki sebagai ketua keluarga mesti menjaga solat di awal waktu secara berjemaah. Bawa dan pimpin ahli keluarga menjaga solat. Kejutkan keluarga dengan sabar dan kasih sayang untuk bangun Tahajud. Perbanyakan menangis dan mengadu kepada Allah SWT di waktu malam yang sunyi.
Bangunlah awal sebelum Subuh setiap hari. Rasulullah SAW mengejutkan isteri dan anaknya solat. Abu Bakr RA mengajar setiap ahli keluarganya solat dengan cara paling khusyuk dan hebat. Menegur anak walau sudah beristeri apabila tidak solat berjemaah.
Umar ra solat malam dan membangunkan semua ahli keluarga bangun malam menangis di hadapan Allah SWT. Aisyah ra berkata apabila azan dilaungkan Rasulullah SAW seolah-olah-olah sudah tidak kenal sesiapa lagi.
Jadikan Allah nombor 1, barulah hidup kita dan keluarga menjadi berkat dan bahagia. Bila hati penuh kebesaranNya segalanya menjadi mudah. Jadilah lelaki ketua keluarga yang paling lemah lembut dengan ahli keluarga. Melayan dengan rasa sayang. Bergurau, berbual dan bermanja. Sentiasa membantu melakukan kerja rumah apabila berada di rumah.
Rasulullah SAW sangat rajin di rumah. Rasulullah SAW urus sendiri pakaian baginda SAW, membantu siapkan makanan, dan jahit baju dan kasut sendiri. Tidak ada rasa geli dan jijik bersihkan darah haid isteri. Lelaki “macho” rajin basuh berak anak kecil. Memberi khidmat kepada isteri semasa isteri sakit. Ambil berat kesihatan isteri. Picit dan prihatin perasaan, kepenatan dan sakit isteri. Tidak geli melihat darah isteri.
Rajin khidmat kepada ibu bapa sendiri dan isteri. Abu Bakr RA selalu menolong memerah susu kambing. Selalu memberi khidmat walau kerja remeh sedangkan beliau adalah seorang khalifah besar. Umar ra seorang yang pandai memasak. Masak dengan menggunakan dapur kayu api sehingga Janggut berbau asap. Beliau sediakan dan hidangkan makanan untuk anak-anak kecil.
Beliau bergurau dan seronok ketika melihat anak-anak bermain. Beliau seorang pejuang yang hebat, pemikir nasib ummah, paling tegas namun kuat menangis ketika di hadapan Allah SWT. Itulah contoh lelaki yang sebenarnya.
Hiasi rumahtangga dengan amalan bacaan Al-Quran dan bacaan hadis Nabi SAW. Perkenalkan kepada ahli keluarga dengan keagungan dan kebesaran Allah SWT serta mengenal sunnah Nabi SAW dan kepada ahli keluarga Nabi SAW dan para sahabat rhum.
Seorang ketua keluarga akan sentiasa membangunkan pembinaan keluarga dengan dakwah dan kasih sayang, bersama-sama melaksanakan dengan penuh keinsafan dan kesabaran. Sentiasalah bertenang dalam pelbagai situasi yang mencabar dan istiqamah dalam mendidik keluarga.
Setelah kita usahakan semuanya dengan cara yang paling terbaik maka pada akhir hari di waktu malam bangunlah dan perlahan-lahan kita mengadu, berbisik dan berdoa, “Ya Allah betapa diriku sayang isteriku yang banyak berkorban. Sayangi dan ampunilah dia. Betapa aku sayang ibubapaku dan ibubapa mertuaku.
Ampunkan mereka dan sayangi mereka semua. Ampunkan dan sayangilah Anak-anakku, anak saudaraku semuanya, adik beradikku, dan seluruh manusia di seluruh alam maafkan kami semua. Sayangi dan ampunkan kami semua. – Ebit Lew –