Naik Basikal

1) Wanita yang minat sukan berbasikal dan aktiviti-aktiviti sukan yang lain sambil memakai pakaian ketat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) hukumnya jelas lagi nyata tanpa perlu kepada fatwa mufti.

Ini kerana ia termasuk dalam urusan agama yang ‘tidak boleh tidak’ mesti dan pasti diketahui hukumnya (المعلوم من الدين بالضرورة), tidak kira orang awam atau tidak, semuanya tahu hukumnya haram yang nyata.

2) Saya pernah ditanya tentang kenyataan para ulama Syafi’iyyah yang menyatakan wanita yang memakai pakaian ketat ketika solat hukumnya makruh. Adakah hukum makruh ini boleh dibawa di luar solat?

Jawapan sudah tentu TIDAK. Ini kerana jelas dalam kitab-kitab fiqh menjelaskan hukum itu dalam bab solat sahaja bukan situasi luar solat iaitu di hadapan lelaki ajnabi atau bukan mahram.

kayuh basikal

3) Buktinya apabila fuqaha membicarakan tentang aurat lelaki mahupun perempuan, mereka memfatwakan berdasarkan situasi berbeza. Contoh ulama syafi’iyyah menyatakan wajah wanita ketika solat tidak wajib ditutup, manakala di hadapan lelaki ajnabi mereka wajib menutup wajah mereka menurut pendapat muktamad (ada pendapat kedua dalam mazhab Syafi’ie wanita harus mendedahkan muka jika aman dari fitnah).

4) Sama juga perkara yang melibatkan aurat lelaki yang mana para fuqaha menyatakan bahawa aurat lelaki ketika solat paling minimum antara pusat dan lutut. Namun apabila seorang lelaki berhadapan dengan wanita ajnabi maka lelaki itu wajib menutup tubuh badan mereka.

Dalam erti kata yang lain haram si lelaki berlengging (tidak berbaju) di hadapan wanita ajnabi. Jelas bukan? Fatwa berbeza berdasarkan situasi yang tak sama.

5) Dalam kitab al-Majmu’ (rujukan utama kitab fiqh Syafi’ie), Imam Nawawi menjelaskan maksudnya perkataan نساء كاسيات عاريات

(Wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang) dalam hadis sahih adalah wanita yang menzahirkan kecantikan tubuh badan mereka meskipun berpakaian, wanita sebegini termasuk dalam dua golongan ahli nereka.

Maka jelas di sini menurut ulama wanita berpakaian ketat di hadapan lelaki ajnabi haram hukumnya. Yang makruh hanyalah ketika solat berseorangan atau bersama mahramnya.

6) Hukum lelaki memakai pakaian ketat termasuk pakaian sukan. Dalam kitab fiqh menyatakan lelaki memakai pakaian ketat ketika solat hukumnya “Khilaf Awla” iaitu lebih afdal ditinggalkan. Namun jelas apa yang dinyatakan ini berkait rapat ketika solat dan berbeza di luar solat terutama di hadapan wanita ajnabi.

Sepakat para ulama dari mana-mana mazhab pun bahawa apa jenis pakaian dan ketrampilan lelaki yang boleh menimbulkan syahwat dari pihak wanita hukumnya haram.

jogging

7) Oleh itu tidak mustahil lelaki yang berbadan cantik, slim dan sado mampu menaikkan syahwat wanita yang melihatnya. Jika tidak, mengapa Allah perintahkan wanita agar menjaga mata mereka seperti yang dinyatakan dalam surah al-Nur, ayat 31? Lelaki boroi yang berpakaian ketat pun ada wanita yang bersyahwat.

8)) Konklusinya lelaki yang berpakaian ketat boleh jatuh haram kerana mendedahkan diri kepada fitnah yang berbahaya, oleh itu sewajarnya dielakkan. Bayangkan isteri orang boleh puji ‘kesadoan’ badan lelaki ajnabi. Suami orang jangan cakaplah, lebih ramai yang puji dan terpikat dengan kecantikan tubuh badan wanita lain.

Ini hakikat yang perlu diterima kerana kita kita hidup dalam persekitaran yang tidak sihat. Orang yang dipuji akan berasa bangga tetapi sedarkah pujian itu hasil dari perbuatan dosa?

9) Akhir sekali segala keputusan dalam menentukan gaya hidup berada di tangan kita sendiri. Kita yang menentukan sama hidup kita ini tunduk pada syariat Allah atau tidak. Tidak salah bersukan tetapi biarlah ia berlandaskan patuh syariah.

Baca juga : Teguran Saiful Nang Buat Penunggang Basikal

Sebagai suami, anda bertanggungjawab mendidik isteri anda sendiri ke jalan yang diredhai Allah Ta’ala. Jangan pula suami berperanan sebagai ajen penyebarkan perbuatan yang salah di sisi agama.

“Ya Allah, Sesungguhnya Engkau saksi yang Maha Adil bahawa aku telah menyampaikan kebenaran.”

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge