Kerajaan bercadang mengeluarkan pasport vaksin sebagai dokumen pengesahan bagi individu yang menerima suntikan vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

“Ketika ini, kita cadangkan dua kaedah iaitu dipaparkan (terima suntikan) di aplikasi MySejahtera dan dokumen secara fizikal iaitu dalam bentuk pasport yang boleh diterima negara lain,” – Dr Adham Baba

Perkara ini dimaklumkan pada sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang memperhalusi cadangan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Wee berkata Malaysia sedang memuktamadkan urusan penggunaan dokumen vaksin bagi membolehkan individu yang tiba di lapangan terbang dan mempunyai rekod vaksinasi tidak perlu dikuarantin.

Katanya, perbincangan ke arah itu sudah dimulakan bersama KKM dan MOSTI.

“Kita sudah berbincang bahawa kita perlukan dokumen bagi mereka yang sudah menerima vaksin. Ini sama yang berlaku dengan Singapura, mereka sudah berjumpa dengan saya untuk menentukan sama ada kita boleh membuat perakuan bersama.

“Hal ini sudah kita bincangkan bawah Wisma Putra supaya dapat menerima satu dokumen yang boleh diterima negara serantau. Rundingan sedang berjalan dan kita akan buat tindakan susulan,” katanya.

Beliau berkata, dokumen itu berupaya menghidupkan semula sektor penerbangan di Malaysia dan serantau yang sebelum ini terjejas teruk susulan sekatan penerbangan pandemik Covid-19.

Warga Asing Tanpa Dokumen

Sementara itu, Khairy berkata kerajaan memberi jaminan tidak akan menahan warga asing tanpa dokumen yang tampil menjadi penerima vaksin Covid-19.

Pembabitan warga asing tidak berdokumen sebagai penerima vaksin penting dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, khususnya bagi memastikan Malaysia mencapai perlindungan imuniti kelompok.

Sehubungan itu, katanya kerajaan akan mendapatkan bantuan badan antarabangsa, organisasi masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyampaikan mesej itu kepada warga asing tidak berdokumen di negara ini.

“Kita sedar migran tanpa dokumen bimbang ditahan jika tampil untuk menerima vaksin dan kita sedang cuba menyampaikan mesej mereka tidak akan ditahan.

Kita akan bekerjasama dengan organisasi antarabangsa seperti Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dan organisasi masyarakat sivil serta NGO untuk berhubung dengan migran tanpa dokumen.”
– FMT –

3 Comments


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge