Kisah mengenai seorang kanak-kanak berusia 5 tahun, Rayan yang terjatuh ke dalam perigi sedalam 32 meter menjadi tajuk dan peristiwa besar di Maghribi. Malahan, ianya mendapat liputan seluruh dunia ekoran ramai yang mengikut rapat perkembanga Rayyan dalam proses menyelamatkannya.
Namun begitu, ajal maut di tangan tuhan, Rayan disahkan meninggal dunia sebaik sahaja anak syurga itu berjaya dikeluarkan dari perigi berkenaan. Ketika ini, seluruh dunia sebak dengan berita pemergian ini di samping mendoakan kesejahteraan roh Rayan.
Kronologi Tragedi Rayan Jatuh Perigi
Menurut sumber Facebook Mohd Aznam Abduh Rahman, beliau mencoret kronologi tragedi Rayan telah jatuh ke perigi. Ianya bermula pada 1 Februari lalu, Rayan telah mengikuti bapanya untuk membaikpulih sebuah perigi kering berdekatan rumah. Difahamkan, bapa Rayan yang sedang sibuk bekerja, tidak menyedari kehilangan Rayan yang ketika itu sedang bermain di sekitar perigi sebelum menyedari bahawa anak kesayangan telah hilang dari pandangan.
Puas mencari, akhirnya bapa Rayan menyedari anaknya terjatuh ke dalam perigi kering tersebut. Tidak menunggu lama, bapa Rayan memanggil orang kampung untuk meminta bantuan namun tersedar bahawa Rayan telah jatuh terlalu dalam, kira-kira lebih 30 meter.
Lubang Perigi Terlalu Kecil, Operasi Menyelamat Agak Sukar
Malangnya, lubang perigi hanya berukur lilit 25 sentimeter lebar sahaja dan pasukan penyelamat mengesahkan semakin dalam lubang, ianya semakin sempit. Segala input ini telah dicerap oleh pasukan bantuan dari pelbagai agensi yang datang kemudiannya untuk membantu mengeluarkan Rayan.
Syukur Alhamdulillah, pasukan penyelamat mengesahkan Rayan masih hidup dan memberikan segala bantuan dari segi corong oksigen, lampu, makanan dan minuman serta kamera yang bertindak untuk mengawasi Rayan dari bawah.
Pelbagai usaha menyelamat telah dijalankan, termasuklah menghantar seseorang untuk ‘mengambil’ Rayan di bawah dengan menggunakan tali namun usaha ini menemui jalan buntu. Hal ini demikian kerana lubang perigi yang semakin kecil ke bawah menjadikan ruang untuk penyelamat masuk sangat sempit dan mustahil.
Gali Seluruh Tanah, Risiko Tanah Runtuh
Setelah beberapa ketika, akhirnya pasukan penyelamat menggunakan kaedah menggali keseluruhan tanah hingga ke dasar perigi, di mana Rayan berada. Proses galian melibatkan bertan-tan tanah dikorek hingga mencapai lebih 30 meter. Pun begitu, kaedah ini meninggalkan risiko besar iaitu kejadian tanah runtuh yang mungkin boleh berlaku bila-bila masa.
Rayan Berjaya Diselamatkan, Namun Meninggal Dunia
Tidak lama kemudian, usaha menyelamatkan Rayan akhirnya membuahkan hasil membuatkan hampir ratusan orang yang melihat di sekeliling bersorak gembira tatkala Rayan di bawa keluar. Namun begitu, kebahagiaan cuma seketika, akhirnya Rayan disahkan meninggal dunia.