PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) akan membuat pengumuman pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 secara maya.
Tahun ini menyaksikan PNB membuat pengumuman agihan pendapatan ASB secara maya buat kali pertama.
Ia juga adalah saat yang dinanti-nantikan pemegang saham berikutan prestasi kali ini berlaku di saat ekonomi global terjejas akibat pandemik Covid-19.
Pada tahun 2019, PNB mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit.
Pada 2018, dividen sebanyak 6.50 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit diumumkan manakala, pada 2017 (dividen 7.00 sen seunit dan bonus 0.25 sen seunit) termasuk tambahan 1.00 sen seunit bagi bonus khas ulang tahun PNB.
Pada 2016, PNB mengumumkan agihan dividen sebanyak 6.75 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit manakala, pada 2015 (dividen 7.25 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit).
Pengumuman agihan pendapatan pada 2019 adalah pulangan terendah dalam sejarah.
Permodalan Nasional Bhd (PNB) menerusi anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) pada hari Rabu 23 Disember 2020 telah mengumumkan agihan pendapatan (dividen) 4.25 sen seunit dan ehsan 0.75 sen (untuk 30,000 unit pertama) sempena sambutan ulang tahun ke-30 untuk dana utamanya Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.
Dalam pada itu, semua urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB seluruh negara telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 Disember 2020 hingga 3 Januari untuk ASB dan ASN yang bertujuan memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.
Secara ringkasnya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) merupakan dana amanah pelaburan khusus untuk kaum bumiputera Malaysia. Objektif dana ini adalah untuk menyediakan satu cara simpanan alternatif bagi Bumiputera Malaysia.
Selain itu, ia bertujuan untuk menjana pulangan jangka panjang yang konsisten dan berdaya saing kepada pelabur-pelabur.