Kedah menandatangani perjanjian dengan pemaju untuk membina lapangan terbang baharu Kulim menjelang 2026 dengan syarikat itu akan membelanjakan RM6 bilion dalam fasa pertama, termasuk pengambilalihan tanah.
Sebuah syarikat tujuan khas (SPV) akan ditubuhkan dengan pemaju ECK Group memegang 80% saham, manakala selebihnya dimiliki KXP AirportCity Sdn Bhd, syarikat milik kerajaan negeri.
Satu perjanjian dimeterai hari ini oleh Pengarah Urusan ECK, Khor Eng Chuen dan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor selaku pengerusi KXP AirportCity. Projek itu akan meningkatkan ekonomi negeri dan menyediakan hampir 20,000 pekerjaan baharu kepada warga tempatan.
Katanya, projek itu akan meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah kepada 7.5% berbanding 4.5% sekarang, sebaik sahaja ia dimulakan. Pendapatan kasar RM1.18 bilion turut dijangkakan daripada projek itu menjelang 2026.
Imej dan status Kedah akan berubah tidak lama lagi. Dalam beberapa tahun lagi, ia akan berubah daripada negeri miskin menjadi pusat pertumbuhan baharu yang sama dengan Lembah Klang. Sebuah lebuh raya baharu juga akan merentasi Seberang Perai melalui sebuah lebuh raya dari Bandar Baharu di selatan ke Sungai Petani dan menyediakan akses mudah ke lapangan terbang baharu itu.
Kereta api baharu yang menghubungkan Tasek Gelugor ke Sungai Petani dengan hentian di Taman Teknologi Tinggi Kulim akan memudahkan penumpang dipindahkan dari lokasi strategik.
Lapangan terbang itu akan memainkan peranan penting sebagai hab penerbangan, industri halal dan e-dagang serantau untuk Asean, industri farmaseutikal dan juga hab kargo.
Rakyat Kedah dan negeri utara juga akan gembira kerana lapangan terbang itu akan digunakan sebagai hab untuk penerbangan haji dan umrah.
Lapangan terbang itu dicadangkan bekas menteri besar, Mukhriz Mahathir yang berkata, lapangan terbang terbabit dan pembangunan berkaitan memerlukan RM6.8 bilion untuk dibina. Ia mampu mengendalikan 15 juta penumpang setiap tahun.
Ia dijangka dibina atas tapak seluas 1,700ha berhampiran Sidam Kiri, dekat Sungai Petani, kira-kira 40km utara Kulim. Negeri itu pada awalnya menjangkakan ia menerima penerbangan pertama seawal 2024.
Januari lalu, ECK Development Sdn Bhd turut memperoleh saham majoriti dalam syarikat projek jalan serta terowong dasar laut di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd. ECK Development dipengerusikan Tunku Shazuddin Ariff.