Jalan bercabang 1

Salah sebuah lagu yang cukup popular di kalangan masyarakat kita adalah lagu berjudul ‘Tanya Sama Itu Hud-Hud’ nyanyian komposer dan penyanyi terkenal Dato’ M. Nasir.

Lirik lagu itu mempunyai banyak makna yang tersirat yang setiap masa berjaya menimbulkan sifat ingin tahu dan pelbagai pertanyaan dalam masyarakat apa maksud sebenarnya. Salah satu bait lirik yang paling terkenal serta sering di ulang-ulang pula adalah baris di bawah;

“Tujuh puluh tiga pintu, tujuh puluh tiga jalan, yang sampai hanya satu jalan.”

Sekiranya anda selama ini termenung memikirkan apa maknanya atau faham maksudnya, tetapi tidak betul-betul mendalami makna disebalik baris ayat itu

Di situlah pada penulis terletaknya keistimewaan lagu ‘Tanya Sama Itu Hud-Hud’ ; mampu membuatkan kita  terhibur dan pada masa yang sama – mempersoalkan di manakah letaknya hubungan kita dengan Dia yang Maha Esa.

Burung hud hud

Ayat “tujuh puluh tiga pintu, tujuh puluh tiga jalan, yang sampai hanya satu jalan” itu sebenarnya diambil daripada hadis Rasulullah saw. yang menjadi kepercayaan umat Islam.

Asal-usul ’73 pintu 73 jalan’

Ungkapan lirik itu sebenarnya merupakan satu imaginasi semula sebuah hadis sahih yang disebutkan oleh beberapa orang periwayat hadis yang dipercayai. Bagaimanapun, atas nilai artistik – M. Nasir menggunakan metafora ‘pintu’ dan ‘jalan’ bagi menggantikan istilah asal yang digunakan dalam hadis-hadis tersebut iaitu ‘golongan.’

Kami kongsikan empat hadis yang membicarakan perkara tersebut:

Pertama

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Golongan Yahudi berpecah kepada 71 atau 72 golongan. Adapun golongan Nasrani pula berpecah kepada 71 atau 72 golongan juga dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan. (Riwayat Abu Daud)

Kedua

Daripada Mu’awiyah bin Abi Sufian RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Ketahuilah sesungguhnya golongan ahli kitab sebelum daripada kamu berpecah kepada 72 atau 73 golongan. Dan golongan ini (Islam) akan berpecah kepada 73 golongan. 72 golongan akan ke neraka dan satu golongan akan ke syurga iaitu al-Jemaah.” (Riwayat Abu Daud)

Ketiga

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan kumpulan. Semuanya akan dimasukkan ke dalam neraka melainkan satu kumpulan sahaja. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka? Nabi SAW menjawab: Apa yang aku berada di atasnya dan juga sahabat-sahabatku.” (Riwayat al-Tirmizi)

Keempat

Daripada ‘Auf bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Dan demi jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, akan berpecah umatku kepada 73 golongan kumpulan. Satu kumpulan sahaja yang akan ke syurga dan 72 kumpulan lagi akan dimasukkan ke dalam neraka. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka? Nabi SAW menjawab: al-Jamaah.” (Riwayat Ibn Majah)

Walaupun dikongsikan empat, sebenarnya masih banyak lagi rekod periwayat hadis yang menyebutkan tentang perkara ini.

Makna hadis ini mempunyai beberapa cara membacanya yang berbeza, namun pendapat yang paling popular menganggap Rasulullah saw. sudah pun mengetahui umat baginda yakni kita orang Muslim akan berpecah kepada 73 aliran atau golongan pada akhir zaman disebabkan banyak faktor dan hanya satu sahaja yang mewarisi ajaran Baginda sepenuhnya.

Bagaimanapun, membaca maksud hadis itu sedemikian rupa tidak menceritakan keseluruhan kisahnya.

tanya sama itu hud hud lirik

Lirik Lagu Tanya Sama Itu Hud Hud

Tujuh puluh tiga pintu
Tujuh puluh tiga jalan
Yang sampai hanya satu jalan

Beribu-ribu Margasatua
Mencari raja si Muraq
Yang sampai hanya tiga puluh

Ooh… Sang Algojo
Ooh… nanti dulu

Lihat dunia dari mata burung
Atau dari dalam tempurung
Yang mana satu engkau pilih

Dalam kalut ada peraturan
Peraturan mencipta kekalutan
Di mana pula kau berdiri
Di sini

Ooh… Sang Algojo
Ooh… nanti dulu

Berikan ku kesempatan akhir ini
Untuk menyatakan kalimah/kisah sebenarnya
Berikan aku kesempatan akhir ini
Lai lai la lai la lai

“Tanya sama itu hud-hud
Lang mensilang
Kui mengsikui
Kerna dia yang terbangkan ku ke mari”

jalan bercabang

Banyak pendapat ulama’ menganggap umat Islam akan berpecah menjadi 73 golongan, bermula daripada wafatnya Baginda Rasulullah saw. dan proses perpecahan itu akan berlaku sedikit demi sedikit sehinggalah tiba hari kiamat di mana pada ketika itu, umat Islam boleh dilihat terbahagi kepada 73 kelompok berbeza.

Bagaimanapun, Sheikh Yusuf Qardawi serta beberapa orang ulama’ lain berpendapat angka 73 itu sebenarnya tidak menandakan akan wujud 73 kelompok secara serentak pada penghujung hayat bumi, tetapi merupakan satu perubahan yang berlaku seiring dengan masa di mana akan wujud satu kumpulan yang menyeleweng, digantikan dengan kumpulan-kumpulan lain, dengan jumlah aliran yang sesat atau menyeleweng ini adalah 73 kesemuanya sepanjang zaman.

Terdapat banyak maksud dan tafsiran daripada lagu ini. Apa yang disertakan di sini merupakan salah satu daripada maksud lagu tersebut. Sekiranya anda mempunyai pendapat dan maksud anda yang tersendiri, anda dialu-alukan untuk memberikan komen anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge