“Jangan lupa pertemuan kita di restoran. Tolong sampaikan kepada teman sekelas kita dahulu agar mereka bersama dalam pertemuan ini.” Sekian lama tidak berjumpa, pasti ada usaha mempertemukan sahabat lama satu sekolah. Lalu pertemuan itu menjadi saat manis mengenang pelbagai kisah lampau semasa usia masih remaja. Namun, pastinya ada yang ingin reunion di syurga.
Jika kenangan manis yang diungkit, jiwa terasa rindu saat itu, lalu doa dipanjatkan agar kenangan manis itu bakal berulang suatu hari nanti. Jika yang dikenang itu pahit atau masam, harapan dipasang agar ia tidak kembali menjengah diari hidup.
Jika diberi pilihan antara kenangan manis atau pahit, pastinya manusia waras hanya mahu yang manis. Bahkan memori manis sering direkodkan dalam bentuk gambar atau video agar kekal menjadi tatapan sehingga hari tua atau berganti generasi.
SESI MENGENANG ZAMAN MANIS DI SYURGA
Subhanallah! Rupanya saat ‘terkenang semasa dahulu’ turut berlaku dalam syurga kelak. Allah tahu mengenang memori indah zaman lampau termasuk antara saat manis ingin diingati orang baik.
Oleh kerana itu, sesi mengenang zaman manis semasa di dunia terus dipanjangkan Allah setelah manusia selesai menjalani audit akhirat dan menempati kediaman kekal abadi dalam syurga.
Ahli syurga tidak tinggal sunyi sendirian dalam istana syurga tanpa nikmat sosial bertemu teman seiman. Allah tahu manusia adalah makhluk sosial yang suka bergaul dengan orang lain.
Ertinya: “Dan (dengan berada dalam nikmat itu) mereka duduk berhadapan antara satu sama lain sambil bertanya khabar. Mereka berkata: “Sesungguhnya kami dahulu, semasa berada dalam kalangan keluarga kami – selalu merasa cemas takut (daripada berlaku derhaka kepada Allah), “Maka Allah mengurniakan kami (rahmat dan taufiq-Nya), serta memelihara kami daripada azab neraka. “Sesungguhnya kami dahulu tetap menyembah (dan memohon pertolongan daripada Allah). Kerana sesungguhnya Dia lah sahaja yang sentiasa melimpahkan ihsan-Nya, lagi Yang Maha Mengasihani” (al-Thur: 25-28).
Kenangan manis nikmat dunia menjengah memori ahli syurga ketika mereka dihidangkan dengan pelbagai nikmat syurga. Tatkala mereka mengecap sedapnya buah-buahan syurga, mereka terkenang pernah merasai buah yang sama. Cuma pastinya buah syurga punyai gred saiz dan rasa jauh lebih baik.
Baca juga : 11 Khasiat Halia, Campuran Salah Satu Minuman Syurga
HIDAYAH ISLAM
Ketika enak menikmati segala kelazatan dalam syurga, mereka terkenang pula betapa baiknya Allah yang memberi hidayah Islam dan iman sehingga menjadi sebab mereka beroleh ‘lot istana’ kekal abadi dalam taman syurga.
Firman Allah maksudnya: “Dan Kami cabut segala dendam dan hasad dengki daripada hati mereka, (dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan mendapat petunjuk jika Allah tidak memimpin kami (dengan taufiq-Nya); sesungguhnya telah datang para rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran”. Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan” (al-A’raf 7:43).
Banyak lagi kenangan manis yang dibualkan ahli syurga antaranya luahan rasa syukur diselamatkan Allah daripada hasutan teman jahat yang hampir menjerumuskan mereka ke dalam bencana neraka.
Semoga reunion kita di akhirat kelak berlaku dalam suasana harmoni manis menghirup udara syurga. Jika di dunia ini kita mahu mengenang kenangan manis zaman silam, panjangkan nikmat itu dalam syurga kelak dengan mentaati segala perintah Allah.
Sungguh! Janji Allah itu benar-benar akan berlaku kerana Allah tak mungkin memungkiri janji-Nya.
Aaamiinn… sama-sama kita menuju ke jalan Syurga.. moga berjumpa di san.. Sungguh! Janji Allah itu benar-benar akan berlaku kerana Allah tak mungkin memungkiri janji-Nya
Sis Lin recently posted…WORDLESS WEDNESDAY – BIHUN SUP UTARA