Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa dagu remaja perempuan Sindrom Down, Bella dipegang dan dipaksa memakan nasi goreng bercampur cili. Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun paksa Bella dengan perbuatan tersebut di sebuah unit Kondomonium di Wangsa Maju, tahun lalu.

Pegawai Penyelidik Undang-Undang di sebuah firma guaman, Suhana Zam, 40, berkata dia melihat sendiri Siti Bainun meletakkan sejumlah cili yang sudah dipotong dengan nisbah cili yang banyak ketika dia berada di meja makan rumah tersebut untuk makan tengah hari.

“Di antara Siti Bainun dan Bella ada bangku kayu, saya nampak Siti Bainun letak satu pinggan nasi goreng dan sejumlah cili yang telah dipotong yang mana pada saya nisbah cili itu banyak berbanding nasi.

“Dia (Siti Bainun) gaul-gaul nasi goreng itu, dia pegang dagu Bella dan suapkan Bella dengan nasi goreng dengan cili. Bella elak tak nak makan tetapi dia paksa Bella makan, saya terkejut kenapa buat Bella macam ini, saya tak cakap apa-apa sebab pada waktu itu saya tak nak ada ‘confront’ (bersemuka) dengan Siti Bainun sebab saya bimbang kalau confront nanti saya tidak pasti reaksi dia,” kata saksi itu yang tidak mengingati secara tepat tarikh dan waktu kejadian.

Diberi makan 20 biji cili selama beberapa kali seminggu

Sebelum ini, dalam prosiding terdahulu saksi pendakwaan kelima yang juga bekas penghuni rumah kebajikan tersebut, Yasmin Nahar Mahmood, 19, memberitahu mahkamah bahawa Bella diberi makan 20 biji cili selama beberapa kali seminggu oleh Siti Bainun.

Sementara itu, dalam prosiding sama, saksi itu turut memberitahu mahkamah bahawa dia pernah melihat muka Bella mempunyai kesan lebam sebesar tapak tangan di bahagian kanan muka ketika ke rumah Siti Bainun pada 13 Jun 2021.

“Saya ke rumah Bainun pada (13 Jun) sebab Bainun ajak makan ‘King Crab’ untuk ‘Shell Out’. Semasa sampai di rumah pukul 5 petang saya nampak rambut Bella dipotong pendek ‘tobek’, pakai baju lengan panjang, muka Bella ketakutan ada kesan lebam sebesar tapak tangan di bahagian muka sebelah kanan dan itulah keadaan Bella paling teruk,” kata saksi itu.

Siti Bainun Paksa Bella

Timbalan Pendakwa Raya bertanya mengapa saksi itu tidak bertanya lebih lanjut tentang apa yang berlaku, (keadaan Bella). Suhana menjawab, bimbang dengan reaksi Bainun akan terhadapnya dan Bella.

“Saya fikir kalau beritahu Bainun dan Bainun tidak suka dengan apa yang saya cakap pada dia. Saya bimbang dengan keselamatan Bella dan saya tidak tahu mungkin Bella akan disorokkan kalau saya dah confront (bersemuka) dengan Bainun.

Jelas Suhana lagi, unit kondominium yang didiami oleh Siti Bainun bukan mudah untuk diakses. Ini kerana tuan rumah perlu memberikan kod bar (bar code) untuk masuk ke lobi kondominium tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung lagi petang ini. – KOSMO! ONLINE

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge