Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyifatkan perbuatan vandalisme dengan menconteng perkataan kurang menyenangkan pada mural gergasi potret beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 di sini hari ini, sebagai tindakan sangat biadap.
Sultan Sharafuddin dalam satu kenyataan hari ini menzahirkan rasa sangat dukacita, kesal dan kecewa dengan perbuatan vandalisme itu kerana baginda sangat menghargai karya seni pelukis tempatan yang dihasilkan di Selangor.
Baginda turut berpandangan kejadian itu bukan dilakukan oleh individu kurang siuman atau budak-budak nakal, tetapi lebih kepada bermotifkan politik kebencian.
Sultan Selangor turut mengharapkan supaya pelaku vandalisme itu dapat ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang.
Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, menerusi ciapan Twitternya menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam insiden vandalisme berkenaan.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyatakan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku vandalisme mural gergasi potret beberapa pemimpin negara itu.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata, pihaknya memandang serius perbuatan tersebut dan tindakan akan diambil mengikut Undang-Undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005.
“Tindakan vandalisme seperti ini amat dikesali kerana mural gergasi tersebut diabadikan sebagai menghargai peranan serta sumbangan semua pihak khususnya pemimpin negara yang bekerja keras dan komited dalam menangani wabak COVID-19.
“MBSA telah mengambil langkah segera dengan mengecat semula dinding tersebut dengan cat putih dan pada masa yang sama, satu laporan polis mengenai perkara tersebut dibuat di Balai Polis Seksyen 6 pagi tadi,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama katanya, MBSA juga menasihatkan mana-mana pihak supaya merujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa tempatan tersebut sebelum melakukan aktiviti melukis mural di tempat awam di bawah pentadbiran majlis berkenaan.
Dalam pada itu, UMNO Bahagian Shah Alam turut membuat satu laporan polis berhubung insiden vandalisme berkenaan di balai polis sama kira-kira pukul 3 petang tadi.
Ketua Bahagiannya, Datuk Azhari Shaari berkata laporan itu dibuat bagi menggesa polis mengesan individu yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana mural itu diabadikan bagi menghargai peranan dan sumbangan semua pihak yang bekerja keras menangani pandemik COVID-19 dan perbuatan ini dianggap memalukan dan menghina pemimpin negara,” katanya.
Kejadian vandalisme ke atas mural gergasi potret pemimpin negara tersebut disedari seorang pekerja restoran di kawasan itu yang kebetulan melalui lokasi mural tersebut kira-kira 8 pagi tadi.
Mural gergasi itu memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah.
Mural itu adalah hasil karya tiga anak muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27, Muhamad Firdaus Nordin, 26, dan Abdul Hadi Ramli, 27 tahun.
Kurang akal la sapa yang conteng ni. Ada yg cakap budak superring tu? haha
Laila recently posted…“Kuda Dah Mati, Turunlah Jalan Kaki”.