Site icon Geng Borak

Pesanan Ustazah Asma’ Harun Tentang Ancaman dan Azab Mencuri Dengar Perbualan Orang

Pesan Ustazah Asma Harun

Allahu Akbar, mungkin selama ini kita merasakan bahawa perbuatan mencuri dengar perbualan orang lain adalah perkara biasa dan tidak diambil berat dalam Islam.

Contohnya meletakkan telinga di pintu bilik ibu ayah atau bilik majikan untuk mendengar perbualan yang kita inginkan. Memasang telinga mendengar perbualan rakan sekerja yang sedang bercakap telefon, atau seseorang yang sedang berbual secara rahsia.

Jika perbuatan mencuri dengar itu dengan niat mendapatkan cerita ‘panas’ untuk diumpat, melibatkan aib atau perbualan yang ingin dirahsiakan, maka ia adalah satu dosa besar yang diberi ancaman azab yang berat.

Dari Ibnu Abbas, dari Nabi SAW bersabda:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ : «وَمَنِ اسْتَمَعَ إِلَى حَدِيثِ قَوْمٍ، وَهُمْ لَهُ كَارِهُونَ، أَوْ يَفِرُّونَ مِنْهُ، صُبَّ فِي أُذُنِهِ الآنُكُ يَوْمَ القِيَامَةِ…

Maksudnya: “Dan barangsiapa mencuri dengar pembicaraan suatu kaum padahal mereka tidak menyukai atau telah menyingkir untuk menghindarinya, maka telinganya akan dicurahkan cairan tembaga pada hari kiamat…” HR Bukhari (7042), bertaraf sahih.

Imam al-Qastallani menyebutkan di dalam kitab syarahnya bahawa yang dimaksud dengan perkataan al-aanuk (الآنك) yang disebut di dalam hadis di atas ialah tembaga cair. Dan apabila disebut ‘tembaga cair’ tentu saja dalam keadaan yang begitu panas. Nauzubillah.

Sebahagian ulama’ menyatakan, hadis ini menunjukkan bahawa orang yang mendapat ancaman ini hanyalah orang yang mencuri dengar perbualanan yang ingin dirahsiakan, dan tidak suka orang lain mendengarkannya.

Adapun, jika yang membicarakan tersebut redha dengan perbuatan mencuri dengar itu, maka ianya tidak termasuk di dalam ancaman ini. Namun jika tidak diketahui mereka suka atau tidak, maka sebaiknya janganlah mencuri dengar perbicaraan tersebut kecuali dengan izin mereka.

Islam mengajarkan kita untuk sentiasa hidup dalam toleransi dengan menjaga hak-hak peribadi orang yang ada di sekeliling kita, juga melarang umatnya untuk mencampuri dan mengintip hal-hal peribadi yang tidak menjadi urusan kita.

Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Hujurat, ayat 12:

وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا

Maksudnya: Dan janganlah kalian melakukan tajassus (mencari-cari keaiban) serta janganlah kalian saling mengumpat antara satu sama lain.

Mencuri dengar perbualan orang lain boleh menjadi punca tersebarnya aib seseorang dan menyebabkan berlakunya pergaduhan antara kita. Mencegah kemungkaran itu memang digalakkan dalam Islam, tetapi mencari-cari kesalahan yang tersembunyi itu tidak dibenarkan.

Mari bersama-sama mengamalkan doa ini agar aib kita sentiasa ditutup daripada mata-mata manusia:

اللهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي

Maksudnya: “Ya Allah, tutupilah aib-aibku dan berilah ketenteraman di dalam hatiku.”

SILA SEBARKAN, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA

Asma’ binti Harun
#UAHSahabatDuniaAkhirat

Exit mobile version