Di Malaysia, Crypto Coins atau disebut sebagai matawang kripto masih belum dianggap sebagai medium pertukaran yang sah sepertimana duit ringgit (RM) kerana Bank Negara Malaysia (BNM) masih belum mengiktirafnya. Walau bagaimanapun, dalam konteks semasa Malaysia wang kripto dianggap sebagai barang komoditi yang boleh diperdagangkan dan dijadikan sebagai aset.
Huraian Jawapan
Mas kahwin atau mahar merupakan suatu pemberian yang wajib pihak suami tunaikan kepada pihak isteri. Dalam istilah fiqh, mahar membawa maksud sesuatu harta yang wajib diserahkan oleh pihak lelaki kepada perempuan kerana berlakunya akad nikah yang menghalalkan perhubungan di antara keduanya. (Rujuk: Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/109-110)
Seterusnya, tiada had yang tertentu bagi sesebuah mahar sama ada had terendah mahupun had maksimum. Sebaliknya,semua benda yang bernilai dan mempunyai nilai untuk dijual ataupun dijadikan sewaan boleh dijadikan mahar sama ada berbentuk ‘ain (barang tersebut), hutang ataupun manfaat. Begitu juga dari segi kuantiti sedikit atau banyak sama ada sebuah kereta, wang tunai 10000 Dirham ataupun sebuah rumah. Bahkan mahar juga boleh diberikan dalam bentuk mengajarkan sesuatu ilmu seperti ilmu Al-Quran kepada isteri. (Rujuk: Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/113)
Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:
وَأُحِلَّ لَكُمْ مَا وَرَاءَ ذَلِكُمْ أَنْ تَبْتَغُوا بِأَمْوَالِكُمْ
Maksudnya: “Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian (iaitu) mencari isteri-isteri dengan hartamu.” – Surah al-Nisa’ (24)
Ayat ini hanya menyebut harta (المال) secara umum tanpa menetapkan bentuk atau kadar harta secara spesifik. Begitu juga, panduan Rasulullah SAW melalui hadisnya:
أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ
Maksudnya: “Berikanlah kepada perempuan itu walaupun sebentuk cincin besi.” – Riwayat al-Bukhari (4741)
Dalam sebuah hadis Amir bin Rabi’ah RA memperihalkan pendirian sebegini dengan lebih jelas, hadisnya:
أَنَّ امْرَأَةً مِنْ بَنِي فَزَارَةَ تَزَوَّجَتْ عَلَى نَعْلَيْنِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرَضِيتِ مِنْ نَفْسِكِ وَمَالِكِ بِنَعْلَيْنِ. قَالَتْ نَعَمْ قَالَ فَأَجَازَهُ
Maksudnya: “Seorang perempuan daripada Bani Fazarah berkahwin dengan mas kahwin sepasang selipar. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu reda mendapat sepasang selipar sebagai mas kahwin?” Perempuan itu menjawab: “Ya!” Lalu Baginda membenarkannya.” Riwayat al-Tirmizi (1113)
Baca juga : Mastercard kini sokong Wang Kripto
Berkenaan kedudukan wang kripto, kenyataan pertama Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan Bitcoin dikeluarkan pada 2 Januari 2014 di laman web rasmi mereka. Dalam kenyataan ringkas tersebut, BNM menegaskan bahawa Bitcoin tidak diiktiraf sebagai satu mata wang rasmi (legal tender) di Malaysia dan BNM juga tidak mengawal selia operasi Bitcoin lantas orang awam dinasihatkan agar berhati-hati dengan risiko yang muncul daripada penggunaan mata wang digital seumpamanya.
Namun begitu, walaupun wang kripto masih belum dianggap mata wang yang sah seperti Ringgit Malaysia (RM) dan lain-lain, ia tetap dianggap sebagai suatu barang komoditi yang boleh diperdagangkan dan dijadikan sebagai aset pelaburan.
Bertitik tolak daripada konsep ini, maka wang kripto sah dijadikan sebagai salah satu bentuk mahar kerana dianggap sebagai suatu barangan yang bernilai sama seperti barang-barang yang lain.
Wallahu a’lam.
Mufti WP